.:Followers:.

Showing posts with label muzakiratulqalbi. Show all posts
Showing posts with label muzakiratulqalbi. Show all posts

Saturday, November 14, 2015

Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin


Dalam banyak-banyak gambar, gambar candid lah yang selalunya aku suka. Candid yang betul-betul, bukan yang dibuat-buat. Aku kurang gemar bergambar kerana pada aku gambar selalunya menipu. *Lebih-lebih lagi dengan kemudahan/ aplikasi suntingan dsb.

Aku perasan, semua benda akan kelihatan lebih cantik dan indah dalam gambar. Kulit wajah, tempat (latar belakang) suasana, mood, uh hampir semuanyalah.

Sedang hakikatnya, kita sahaja yang lebih mengetahui sama ada kecantikan dan keindahan itu hanya pada sekeping gambar *yang kita mahu tunjukkan pada dunia* atau benar-benar cantik terakam dalam hati dan memori untuk kita kenang sampai mati (meski indahnya gambar itu secara zahir atau batin, kita jua lah yang memaknakannya. Heh).

Dan kekadang, melihat diri sendiri dalam satu-satu gambar adalah antara perkara yang boleh membuatkan aku rasa teruk sekali. Kerana aku akan mencari-cari kesempurnaan diri padanya - Biar bagaimanapun gambar tersebut, aku harus kelihatan cantik di dalamnya, senyumanku harus kelihatan jujur, aku perlu menunjukkan kegembiraan, aku harus begitu, aku mesti begini dan sebagainya.

Aku jadi melihat gambar sebagai ego yang berbicara, bukan sebagai cermin yang menilai. Ego yang hanya mahu mendengar dan melihat yang baik-baik tentang diri sendiri sedang buruk-buruk yang dah meninggi, mahu didiam sepi.

Kerana aku cukup tahu pada takat mana saja kebaikan aku berbanding keburukan, jadi cukuplah aku saja yang tahu. Cukup aku melihatnya lewat cermin kamar setiap hari. Tak perlu (baca: takut, bimbang) dunia turut melihatnya.

Heh.

P/s: 'Aku' boleh jadi sesiapa saja.
Ini, aku di antara lensa ego dan kaca cermin tatapan setiap hari.

Thursday, June 11, 2015

Nota Move On; Tribute to Loqman



Aku tak pasti apa yang aku dah buat seumur hidup ini; yang boleh melayakkan aku dikurniakan sahabat sehebat almarhum Loqman. Samada sebagai satu rahmat, ataupun ujian, mengenalinya membuatkan aku sedar bahawa betapalah kita boleh menyusun berjuta aksara membentuk kata, namun jika tidak benar-benar cinta, kata-kata tinggal sia-sia.

Cinta Loqman pada ilmu pengetahuan, pada bidang pendidikan, pada gelandangan, pada anak-anak yang memerlukan, pada kemanusiaan menjangkau kata-kata dan tulisannya yang kita sedang baca sekarang. Ini semua adalah perjuangannya. Kerana dulu aku juga pernah diajukan soalan yang 'berat', membuatkan aku terdiam dan buntu beberapa malam memikirkan jawapannya. Soalan Loqman, 

"Apa yang kau nak perjuangkan dalam hidup ni?"

Aku tidak sematang dan sekental dia biarpun kami dalam usia yang sama. Cara dia mengasihi dengan terus dan terus memberi adalah begitu menakjubkan. Cara dia menguruskan setiap detik dalam hidupnya dengan menjadi manfaat kepada banyak manusia adalah sesuatu yang amat membanggakan. Pernah dia katakan pada aku, 

"Busy is good. Buat apa yang kau plan tu. Those activities to keep u occupied. Masa kalau tak guna, rugi."

Kekadang aku berharap agar masa boleh berhenti seketika dan kita semua diberi lebih masa untuk mengenali susuk figura dan menelusuri pemikiran seorang Loqman dengan mendalam lagi. *Meski aku sedar siapalah kita untuk menafikan qada' dan qadar Tuhan. Kerana pemergian Loqman ini menyebabkan satu kelompongan yang besar dalam hidup aku sebagai pelatih guru kerana Loqmanlah satu-satunya sahabat di IPBA;

Yang dapat memahami kucar-kacir pemikiran aku tentang ideologi-ideologi yang rencam dan pelbagai, 
Yang boleh duduk bersembang 2-3 jam dengan aku tentang buku-buku, isu politik dan hal luar-dalam gerakan,  
Yang tak pernah jemu menghamparkan ruang dan peluang untuk sama-sama aktif beraktivisme membuat kebajikan,
Yang sedia berkongsi luahan dan pemikiran tentang kebobrokan sistem pendidikan *tak kurang juga sistem pentadbiran..


Haihh. Takpalah. Ada hikmah. Mungkin mulai detik ini, Allah pertemukan aku dengan ramai lagi teman yang lebih baik *jika tidak setandingnya. Aamiinn.

Terima kasih, Loqman. Sebab percayakan aku selama kita berkawan.


***

*Gambar adalah sambungan perbualan kami via Watsapp (26 Mei). Demi Tuhan, sampai bila-bilapun jika dia masih bertanyakan soalan yang sama, aku tetap tiada jawapan untuk itu. Loqman sahabat yang tak pernah melukakan. :)

Orang kata.. manusia, jika tidak terdidik hasil dari pengalaman, akan belajar dari contoh tauladan. Dengan siapapun Loqman 'mendapat dan menyerap dan mencontohi' citra tersebut sehingga menjadi siapa dirinya selama ini, semoga Tuhan juga merahmati mereka.


Ikhlas,
Miss Moving On.
Yang hang panggil 'Eika' @ 'Ustazah'.
Khamis 11 Jun
11.28am



Monday, June 8, 2015

Galau


Tak boleh tidur. Allahu.

Dua tiga hari ni adalah hari yang paling basah dan paling tak best dalam hidup aku. Jumaat lepas, aku kehilangan Uncle Zul (bakal ayah mertua) kerana penyakit kanser. Selang dua hari kemudian, Loqman teman baikku pula menyusul menghadap Yang Esa *susulan kejadian gempa bumi di Sabah kelmarin.

Kedua-dua individu ini membawa makna besar dalam hidup aku. Dua-dua banyak mengajar aku tentang hidup *dan perihal masa depan, menunjukkan aku erti kasih, meminjamkan aku semangat dan asas keteguhan dalam berprinsip. Dua-dua aku kagum. Dua-dua aku sayang.

Entah apalah Allah nak tunjuk ni. 
This is like..too much for me to handle. 
Aku sudahpun meredhainya, namun masih perlu memujuk dan meyakinkan hati bahawa mereka benar-benar telah pergi.

Takpalah. Uncle Zul dan Loqman orang yang gigih - Sudah sering berpenat selama ni. Selalu sibuk. Sudah masanya Allah memanggil mereka pulang berehat..

Al-fatihah. Sampai ketemu lagi, di syurga nan abadi :(


Monday, February 16, 2015

Bertahan


Tuhan ada menyeru supaya berkasih-sayang sesama manusia
Luas maknanya tu. Bukan semata-mata perlu bercinta.

Ertinya, kasih sayang sama sekali tak bertumpu kepada jejaka idaman.
Tapi juga kepada setiap seorang saudara seagama, seiman, seperjuangan.

Cuma seseorang yang di mata dan jiwa, tetap kekal seorang; yang sama.
Selagi mana kita menjaga dan percaya dengan doa kita kepadaNya.

Sakit ini barangkali ujian 2013-2015. Ujian jiwa untuk tekal gagah 2016.



*Ya, masih sakit. Doakan aku kuat.


Sunday, December 21, 2014

Tentang Eleanor


"Eleanor ini, aku lihat tindak-tanduknya.. entah mengapa seolah pinta difahami. Dia, semacam aku, Nisa, kadang-kadang. Aku merasakan ketakutannya - adakah manusia bakal menerima dirinya yang sebenar-benarnya? Maksud aku..jika gelap sejarah lalu yang dipunya, masih bisakah mereka tersenyum juga selepas mengetahuinya? Entahlah, ini aku mengagak saja." Ujarku untuk memecah kesunyian antara kami sebaik saja aku menghabiskan pembacaan novel Eleanor and Park, hadiah dari teman jauhku itu.

An-Nisa’ yang dari tadi asyik menelaah tafsir Al-Furqan langsung merenungku. "Jadi mengapa? Apa yang kau harapkan?"

Separuh berleter. "Aku sebenarnya tak mahu faham lebih dalam, Nisa’. Aku takut, sememangnya fikiranku tentang dia ini sentiasa bergema dalam minda. Semuanya terlantun semula pada pandanganku, seperti cermin yang memantulkan imej kita. Aku jadi semacam lupa yang dia yang namanya Eleanor itu bukannya aku.

Dan aku sesungguhnya faham, manusia, secara umum selalu tidak sedar betapa dalam kita membahagi suka dan mencetus tawa untuk manusia, sebenarnya jauh di dasar sukma, kekadang kita juga mengharapkan pengertian mereka terhadap kesunyian yang menggelodar jiwa. Kerana seringkali juga kita pendamkan duka sendiri, meyakinkan hati bahawasanya bahagia tetap akan ada bilamana tawa manusia lain terlihat di mata. Tetapi akhirnya kita ini disangka sedang bahagia. Lalu manusia-manusia itu tidaklah pernah perasan luka yang didiamkan, sehingga lama, dan ya, hingga terbiasa."

An-nisa’ berjenak-jenak dengan fikirannya seketika sebelum memandangku yang diam menunggu. Diukirkan satu senyuman manis buatku. "Tapi, sekurangnya, aku bersyukur kau begitu faham tentang itu. Kau masih yakin akan kataku..? Tentang bahagia yang akan menjemputmu jika dibuang apa yang menghalang itu?" 

Aku hanya mampu tergelak. Entah bila kali terakhir aku terasa yang segar amat dengan soalan-soalan yang begitu. Tetapi, syukur, Tuhanlah yang meredakan ribut, kalut dalam jiwa. Dan aku percaya, setiap pertanyaan dan interaksi, adakalanya juga satu cara mencari pantulan diri sendiri di dalam diri mereka. 

An-Nisa’ pamit dahulu. Seperti selalu, dengan caranya yang unik bagiku. Tanpa khabar. Sepintas lalu.

* * * 

Kalau ada lagi jiwa yang bisa aku tumpahkan resah sebegitu, aku mohon agar Tuhan mudahkan jalan pertemuan dengannya. Dan aku doa agar dengan diriku yang seperti ini takkan pernah lelah dalam cubaan untuk bahagia dan membahagiakan. Walaupun seperti kita maklum, kelompongan dan kekecewaan yang kita mungkin depani ketika memberi itu nantinya Tuhan sahajalah yang bisa memenuhkan dengan rahmat dan hikmahNya.

Dan pada watak fiktif, Eleanor yang menjadi pantulan diri sendiri itu, aku harusnya berterima kasih padanya (pada penulisnya, sebetulnya). Ya lah, bukan senang manusia dapat melihat apa yang ada di sebalik ketawa, lelucon dan ungkapan "Ya, saya baik-baik saja" itu. 

ValentinaVázquez
"Kau bisa lihat semua. Tapi siapa saja yang bisa melihatmu?"

Kata Paulo Coelho, menerusi watak Esther dalam novel The Zahir:

Esther, however, was the only woman who understood one very simple thing: in order to be able to find her, I first had to find myself.”


Sunday, October 12, 2014

Salam Ulang Tahun ke 21


Selamat ulangtahun kelahiran, Putri Zuleika Fereizya!

Tahun ini ulangtahun kelahiran aku adalah yang paling basah sekali. Penuh air mata. Air mata yang deras alirnya kerana sebab yang aku sendiri tidak pasti mengapa. Yang kutahu, semalaman aku bertemankan air mata. Aku seolah kehilangan makna diri, bagai terlontar jauh dalam mimpi sendiri.

Lantas aku putuskan untuk menulis begini setelah lama mendiam diri. Lalu tulisan ini barangkali tidak kunukilkan untuk/ tentang ulangtahun kelahiran gadis yang disebutkan awal tadi (akulah tu), tapi untuk mengangkat bahagia seorang wanita istimewa di sebalik kelahiran gadis yang bukanlah apa-apa ini tanpanya. Mungkin dengan menulis tentang ini, aku akan lebih bahagia. Dan agar air mata yang galak jatuhnya itu tidak terbuang sia-sia.

Aku taktahu dari mana harus aku mulakan, bila mahu berbicara tentang wanita itu - yang kupanggil Mama. Yang aku tahu, yang aku sedar, aku selalu terlihat diriku bila melihat Mama. Kerana aku fikir (intuisi aku kata) Mama banyak memendam. Terlalu banyak. Seperti aku, dalam kebanyakan perkara. Cuma bezanya Mama jauh lebih baik dalam menguruskan/ menyembunyikannya – bahkan hampir sempurna di mataku. Tentulah kann.

Mama tak seperti Papa, yang petah dan fasih menghampar hujjah, berkata-kata. Tapi Mama bijak mengatur bicara. Mama tahu bila masa yang sesuai atau tidak untuk melancarkan roket azimat dari bibirnya. Mama cakna akan perihal luar dan dalam, ruh dan jasad keluarganya.

Walaupun Mama tidak berpelajaran tinggi, namun setiap nasihat dan kata-kata hikmah yang dilafazkannya adalah lahir dari pengalaman Mama yang rencam, yang mendidik. *namun terlalu melankolik bagi aku, untuk diceritakan pada sesiapa.

Mama pendengar yang setia (aku tahu, sebab aku jualah yang selalu banyak menumpahkan cerita dan rasa). Hanya dengan berkongsi dengan Mama saja aku lekas berasa lega. Mama seolah faham semua, jika tidak sekalipun, nasihat-nasihatnya tidak pernah gagal memujuk jiwa.

Mama memang tidak begitu ‘sweet’ seperti Papa dalam menzahirkan kasih sayang. Papa lebih ekspresif, lebih mudah mengucapkan sayang kepada ahli keluarganya, berbanding Mama. Namun bagi kami, itu bukanlah satu masalah yang besar. Kerana di sebalik limitasi ekspresinya itu, kami dapat lihat tindak cintanya yang tiada terhad. Allah. Subhanallah, kasih ibu!

Pastel
"Kau umpama air itu. Aku memerlukanmu."

Waktu aku menelefon Mama tempoh hari pun, ada Mama bertanyakan kalau-kalau aku mahu pulang ke rumah pada hujung minggu. Aku mahu pulang, sebenarnya. Tapi aku lebih tidak mahu menyusahkan Mama Papa untuk datang menjemputku minggu ini kerana kami bakal bercuti lagi minggu hadapan. Mama meredhakan, meski aku tahu, jauh di dasar hatinya, dia mahu aku pulang juga. *mungkin kerana ini jugalah aku kebasahan air mata sepanjang hujung minggu – mengenangkan ulangtahunku yang hambar – keseorangan, kerinduan. Heh. Sendiri cari pasal.

Ahh. Terlalu banyak lagi sebenarnya yang mahu aku ceritakan tentang Mama. Kerana hari ini kan ulangtahun kelahiran aku.. Maknanya hari ini hari istimewa Mama juga!

Dan sebenarnya, dalam kesedihan dan kelompongan ini, aku dikejutkan dengan hadiah-hadiah yang tak terjangkakan daripada Ena kakakku, teman-teman sebilik, serumah dan juga teman sehati sejiwa nun di sana. Aku semacam menyesal kerana bersedih sakan sebelumnya. Haihh. Apalah. Namun semakin kulihat hadiah-hadiah itu, semakin aku terkenangkan Mama.

Allah. Siapalah aku, untuk dihulurkan pemberian sebegitu. Siapalah aku, untuk diraikan semanis itu. Aku terfikir, bukankah Mama yang seharusnya merasakan kebahagiaan sebegini? Siapalah aku? Mama lah yang sepatutnya dirai!


Lewat malam semalam, aku hantar mesej ini pada Mama.

Mama, terima kasih lahirkan owang (orang) harini, 21 tahun lepas. Lepas tu besarkan serba cukup semua sampai lani. Owang minta maaf salah silap yang menimbun-nimbun selama ni. Doakan Eika jadi anak yang baik untuk Mama Papa, selamat dunia akhirat. May Allah bless you and Papa. Amin.. Love you.

Lalu aku tidur, bersama air mata yang galak berjujuran sebelumnya. Mendadak rasa rindu menyerbu. Apabila terjaga, aku bingkas mencapai fon di atas meja, untuk kulihat jam, namun turut mendapati balasan mesej dari Mama.

Amin.. semoga jadi anak solehah. 20 ke 21 ni haa? Lupalah pulak. Happy birthday..

Aku hampir tersedak, mahu tergelak membacanya. Mama. Begitulalah Mama adakalanya, lucu!


*****


Allah. Terima kasih, Allah. Kerana sekali lagi membuat aku percaya pada hikmah – bila pada ulangtahun kelahiran ke 21 ini baru diri dihinggapi ‘hidayah’ tentang makna dan memaknakan setiap ulangtahun kelahiran.

Terima kasih, Aisyah. Kerana pertama kali menampar aku dengan hakikat kelahiran seorang ibu, di sebalik setiap kali ulangtahun kelahiran seseorang insan (anak) – bila kau memberitahuku satu perkara wajib yang kau akan lakukan setiap kali hari jadimu, iaitu menonton video proses kelahiran seorang bayi; agar kau sentiasa ingat akan kesakitan ibu saat beliau melahirkanmu.

Terima kasih, Sharazi. Kerana membuatkan aku tersedar semula hingga gagal mengempang tangis bila kau ‘mencadangkan’ untuk menyambut ulangtahunku kali ini dan seterusnya dengan cara yang berbeza – iaitu dengan meraikan Mama, berada dekat di sampingnya, memeluknya, menyatakan penghargaan dan menzahirkan kesyukuran yang teramat kepadanya atas kelahiranku yang pastinya teramat bermakna buat seorang bernama bonda itu.


Terima kasih.

Selamat ulangtahun kelahiran (seorang ibu) yang ke 5, Mama! :-*


Thursday, September 18, 2014

Tulis-tulisan


Awak,
Biasa-biasakanlah hidup tanpa gadis ini.
Seperti selalunya dia tidak di sisi --
Kerna sesekali di-ter-ketepikan,
Atau tiada ruang pertemuan.

Biasa-biasakanlah hidup tanpa gadis ini
Mana tahu gadis ini tiba-tiba pergi
Entah pergi tanpa perkhabaran;
Atau pergi diambil Tuhan..?

Memang..
Sebenarnya cinta sahaja tidak cukup
Sebenarnya bayangan wajah kenangan setiap malam tidak cukup
Bahkan..
Sebenarnya mimpi terindah bagai manapun tidakkan cukup.
Kerna mungkin apa yang cukup juga tak terlihat cukup.

Awak,
Jika hubungan dengan gadis ini berakhir,
Dan gadis ini tak kelihatan air matanya mengalir,
Percayalah, gadis ini sama menangis.
Fikirlah apa sahaja, tapi gadis ini bukannya kalis!

Dalam cinta,
Seperti yang awak kata,
Tak seharusnya ada syarat.
Seri, sama-sama mengikat.
Tekal jelas dan sentiasa mendekat

Tetapi andainya gadis ini.. 
Kalah menjadi gandingan hayat awak nanti,
Maka dia terima kekurangan dan kesilapan dirinya sendiri.
Andainya nanti..
Awak yang kalah membawanya menjadi suri hati,
Maka terimalah, yakinlah tiada apa yang awak ‘kan rugi.

Maaf, awak..
Awak tahu kan gadis ini?
Cuma hari ini, dia terlebih melankoli.

Tapi janganlah susah hati.
Bab sedapkan hati,
Gadis ini sudah hebat, sejak azali.

Awak, ketahuilah,
Dengan atau tanpa gadis ini di setiap langkah..
Perkara paling penting adalah;
Awak bahagia tanpa luka amarah.
Gadis ini juga akan.
Setakat galau sikit sikit tu, biasalah kan?
Sebab kita cuma seorang insan–
Ada perasaan, akal dan fikiran.

Awak, 
Tulisan ini sudah mahu gadis ini tamatkan.
Ikhlasnya dia seiring dengan ucapan;
Selamat temui jalan kebahagiaan.

Semoga cinta dibentang peluang
Semoga kita dihampar ruang
Andai semua kisah kasih terhenti
Teruslah meraih cita nan suci. 

Salam rindu tersangat rindu; 
Buat pencinta setia yang satu.

Salam sayang teramat sayang;
Buat kekasih jauh nan berseorang.










p/s: Tulisan ini tidak diharapkan sampai ke pengetahuan awak. Jika awak 'ter'-membacanya, secara automatik saya isytiharkan ianya hanya valid buat pemegang status bekas kekasih (minta dijauhkan!). Selama itu, anggaplah tulisan ini hanya tulisan pemabuk tegar atau penghuni senior Hospital Bahagia.


Tuesday, May 27, 2014

Ralat


Kau rasa kau dah cukup baik sebagai anak, 
Tapi masih mahu berusaha menjadi yang terbaik buat mak bapak.

Kerana azam itu..
Kau jadi ralat.
Antara kemahuan hati yang kuat,
Dan permintaan mereka yang mengikat.. 
Mana satu patut kau letak dalam aulawiyat..?

Kau pilih orang tua, yang pada kau penuh jasa.
Kau tangguh gerak kerja, yang sememangnya sentiasa ada.
Kau disangka-sangka yang bukan sebenarnya.

Kau bisukan bicara.
Kau tulikan telinga.
Kata-kata dan prasangka.

Apa nak dikisahkan?
Mereka bukan Tuhan.
Kekadang dungunya sesuatu persoalan..
Harus berani dipersetankan



Tuesday, April 29, 2014

Mimpi


"If you're a dream, I'm your loyal dreamer.."

Malam sedangku menulis tentang kamu,
Kamu perlahan mampir, merangkulku
Lalu membaca bait-bait nukilanku.
Kau mengajukan kekurangan ini dan itu,
Sambil mengucup lembut ubun-ubunku.

Kau menghadiahkan senyuman termanismu
Lalu perlahan melepaskan dakap mesramu
Sebelum hilang bersama dingin tiupan bayu.
Untuk kesekian waktu, kau meninggalkanku
Berseorangan, meneruskan tulisan tentang kamu.



Wednesday, February 12, 2014

Ruang-ruang Tak Berpenghadang

Aku terdengar bunyi hujan di luar blok 6 yang aku duduki ini. Aku menjenguk ke luar, ah, langsung setitik air hujan pun tiada! Ilusi bunyi kipas pusing di tengah ruang depan rupanya.

Eika dan sangkaannya.

Tiba-tiba aku teringatkan tugas aku sebagai AJK Hiasan Projek Melestari Common Room JPP yang masih bersisa di penghujung perkhidmatan kami ini. Gencar fikiranku membawa ingatan terakam seawal waktu projek itu dahulu.

"Bilik ni? Luasnya! Dah lah kena jalan jauh-jauh dari blok 6. Lepas tu, sampai sini, ruang lapang bukan main. Barang tak seberapa ada, perabot juga tak seberapa banyak. Huih. Jenuh."

"Jenuh apa?"

"Jenuh lah, kalau nak menghias."

"Tapi kita tetap memilih untuk menghias dan memperindahnya, bukan?"

"Ya..."

Dan monolog dalamanku pun terhenti.

‘Berkampung’ di blok 2 bersama Kak Nisa, Kak Faizah, Syed, Ken, Alin dan Abang Amjad malam hari tu, sembang-sembang soal persepsi dan realiti sedikit-sedikit memujuk lelahku. Cakap-cakap malam itu membuat aku melihat segenap ruang semula.

Aku bagai terapung dalam bayangan ruang-ruang dalam zihin aku.


"Kalau bukan kerana ruang, kau takkan punya peluang!"

Ruang bilik. Persepsi. Impresi. Realiti.

Aku terfikir. Bila bayangkan ruang yang lapang dan luas-luas, terasa sesak juga adakalanya. Maka, aku terfaham satu perkara.

Ada banyak ruang, dan dalam banyak-banyak ruang tu mesti ada banyak juga yang luas terbentang, tetapi itu tetaplah tidak boleh membuatkan kita memaksa manusia melihat hamparan pemandangan itu dengan mancari nilai-nilai yang ada, apatah lagi untuk disuruh masuk mengisi kelompongan yang diyakini (bukan sangkakan) ada.

Maknanya, dengan begitu banyak ruangan, dan sebab manusia suka berprasangka, ruang-ruang itu haruslah lutsinar keadaannya dan telus penciptaannya. Iya lah, supaya orang dapat lihat seluas saujana ruang pandangan dengan jelas. Barulah tiada yang sewenangnya membagi persepsi dan menyimpan tanggapan. Kan?

Erk. Aku rasa, analogi aku ini memakan tuan semula lah. Namun aku kan.. masih saja lewa.

Dan aku rasa bagai terhutang kata dengan Abang Nawi, Abang Amjad, Abang Ruznan, Baang atau mungkin semuanya (?).

Penuh. Aku kemudian letakkan jeda panjang untuk hal ni, sejak malam tu. Banyak yang belum terbungkah, kerana aku masih tercari-cari kata untuk meluah isi minda.

Allah. Bagi aku masa.


Friday, May 31, 2013

Dari Kerana Nama..

Dulu, sewaktu masih di bangku sekolah, saya cukup membenci nama sendiri. Dan saya teramatlah cemburu melihat teman-teman lain yang punya nama yang tidak aneh - cantik dan baik.

Sedang nama saya, kedengaran pelik – anggapan dan ‘pemberitahuan’ yang paling teguh dipasakkan ke dalam sukma selepas satu saat diri dihambat kekeluan dan malu yang teramat apabila seorang ustazah menegur tentang nama saya yang jelasnya ‘tiada makna’.


Large
"Ya. Aku masih tertanya-tanya.."


Dan sedang masa mendewasakan, saya mulai mengerti dan terus-terusan membilang pada diri  Apalah yang pada sebuah nama..?

Allah.

Fikir saya, nama ini sendiri adalah sebuah harapan. Harapan besar yang dibina oleh Mama Papa; yang barangkali telah (dengan teruja) membinanya sebelum roh ini ditiupkan ke rahim bonda. Mereka, tentu sepenuh mahunya untuk saya tekal mendewasa seiring harapan tersebut.

Bahkan saya percaya lagi yakin bahawa mana-mana orang tua pun tanpa kita sedar sebenarnya telah bersastera melalui nama anak-anak mereka. Ya, makna di sebalik nama itulah yang saya katakan sebagai sastera – narasi hidup yang bergerak nyata tanpa hujungnya.

Kitalah, pembawa nama ini yang bakal ‘memaknakan’ sastera itu walau ke mana saja kaki melangkah di atas bumi ini. Sekalipun langkah tersebut telah terhenti kerana kematian, tetapi akan tetap saja nama itu dikenang.


Meskipun orang tua yang memberikan nama buat kita, hakikatnya, tanpa izin-Nya juga  ia takkan menjadi sebuah kenyataan bukan ?

Ya, kerana pada asalnya Tuhanlah yang telah lebih awal menamakan kita sebenarnya. Maka dengan itu, bersaksilah harapan di atas harapan.

Maha Suci Allah, atas keindahan yang tercalit pada sebuah nama. Senyum. :)


Putri Zuleika FEREIZYA.

Mungkin tiada maknanya nama ini menurut mana-mana bahasa di dunia, tapi biarlah saya sendiri yang akan memberi makna pada nama ini. *Dengan menjadi insan yang istimewa, se-unik nama ini. Jika Allah mengizinkanku.. ;)


p/s: Siapa tahu barangkali kerana nama inilah saya sering dibaluti kekuatan yang serba aneh untuk bangun semula dari rusuh dan resah jiwa kan? :’)



Thursday, May 16, 2013

Ber Guru


Dah lama saya mahu menulis. Tapi setiap kali jari-jemari ini menekan papan kekunci, setiap kali itulah semakin banyak yang seolah-oleh hilang. Jadinya, banyak entri yang tak dapat dihabiskan, lalu tersimpan di dalam draft. Mungkin kerana mengenangkan peperiksaan akhir. Heh. 

Tapi, selalunya, bila sibuk bersedia untuk peperiksaan, saya akan lebih banyak menulis. Ataupun saya sudah berubah? Tapi, kalau menurut logik, bila kurang menulis, saya akan lebih banyak study. Tapi tak juga. Hehe. 

Perubahan hormon mungkin. 

Hmm. 

Hari Ahad lalu, semasa dalam perjalanan ke Masjid Jamek, sambil memerhati keadaan sekeliling, saya cuba juga nukilkan bait-bait satu puisi.

Mula-mula tentang makcik tua yang berdiri di hadapan saya, yang tekal berpaut pada tiang tanpa harapan di benaknya yang seorang anak muda pun akan mempelawanya duduk. Urat tangannya dah terkeluar, kelihatan dia sangat penat dan agak buntu.

Dalam tren yang bergerak, dari stesen KL Sentral.. Berjalan seharian menuju ke *Gombak, entah untuk apa pun saya kurang pasti. (*Konklusi saya bilamana dia asyik bertanyakan kepada saya setiap kali tren berhenti di setiap stesen, 'Mana ni nak, Gombak ke?) 

Saya membayangkan dia ibu saya. Dan saya bayangkan dia ada anak.
Tapi waktu dia keluar itu anak-anaknya semuanya sedang berbaring-baring di rumah sambil menonton televisyen. Oh ya, atau pun bermain Facebook macam sampah.

*aduh terasa!*

Kemudian saya tidak jadi menulis puisi. Ini kisah sedih yang saya tak mahu kenang. (??) *Maaf, cerita separuh jalan pulaknya..

Allahu rabbi~

***

Selamat Hari Guru buat Mama saya - guru pertama sejak terlahirnya diri ni.
Juga untuk semua dalam hidup ini.

Untuk makcik itu..
Selamat Hari Buruh, haritu. Mungkin makcik juga bekerja.
Dan, selamat Hari Guru untuk pelajaran buat saya haritu.

315472_4487558186358_400576153_n_large
"Watch and learn.."

Selamat Hari Guru untuk semua!!

- - -

Aku sedang maju, tetapi bukan dengan kamu.
Aku kini melangkah, jauh sekali bersama mereka.
Aku akan berjalan lagi. Untuk kejaranmu kian mendekat.

Biar sahaja aku hilang dari peta dunia,
Andai bisa kulakukan begitu.
Kerana hadir aku bukan untuk aku, tetapi mereka.
Kalau suaraku tidak mahu didengar, tulikanlah telinga.

Cuma, biarkan jasa mengalir demi hari depan.

Bukan nama, bukan harta. 
Bukan pandang sanjung yang kuperlu.
Cuma doa.

Aku cuma milik Dia.
Biar lara hiba suka ria aku, Dia yang tahu.
Tetapi untuk kalian, ingin ku sembah segala bahagia.

Kerana, bahagia kalian adalah sinar untuk aku.
Meski mungkin, aku bukan bahagia kalian.

Cukuplah dalam harapan,
 jalan ini penuh dengan suasana indah nantinya.
Itu doaku.
Meski hari itu, aku tiada lagi bersama untuk mengecapnya.

Bisik hati pendidik muda.
Mungkin nanti. Mulanya kini.

Lembah Pantai, KL.
Taipan baru. 11.40 pm.
Dengan capaian tanpa jalurlebar.


p/s:
Kata orang semua manusia adalah guru kepada dirinya sendiri.
Maka, berikan saya hadiah, orang muda! HA-ha


[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]