.:Followers:.

Friday, May 31, 2013

Dari Kerana Nama..

Dulu, sewaktu masih di bangku sekolah, saya cukup membenci nama sendiri. Dan saya teramatlah cemburu melihat teman-teman lain yang punya nama yang tidak aneh - cantik dan baik.

Sedang nama saya, kedengaran pelik – anggapan dan ‘pemberitahuan’ yang paling teguh dipasakkan ke dalam sukma selepas satu saat diri dihambat kekeluan dan malu yang teramat apabila seorang ustazah menegur tentang nama saya yang jelasnya ‘tiada makna’.


Large
"Ya. Aku masih tertanya-tanya.."


Dan sedang masa mendewasakan, saya mulai mengerti dan terus-terusan membilang pada diri  Apalah yang pada sebuah nama..?

Allah.

Fikir saya, nama ini sendiri adalah sebuah harapan. Harapan besar yang dibina oleh Mama Papa; yang barangkali telah (dengan teruja) membinanya sebelum roh ini ditiupkan ke rahim bonda. Mereka, tentu sepenuh mahunya untuk saya tekal mendewasa seiring harapan tersebut.

Bahkan saya percaya lagi yakin bahawa mana-mana orang tua pun tanpa kita sedar sebenarnya telah bersastera melalui nama anak-anak mereka. Ya, makna di sebalik nama itulah yang saya katakan sebagai sastera – narasi hidup yang bergerak nyata tanpa hujungnya.

Kitalah, pembawa nama ini yang bakal ‘memaknakan’ sastera itu walau ke mana saja kaki melangkah di atas bumi ini. Sekalipun langkah tersebut telah terhenti kerana kematian, tetapi akan tetap saja nama itu dikenang.


Meskipun orang tua yang memberikan nama buat kita, hakikatnya, tanpa izin-Nya juga  ia takkan menjadi sebuah kenyataan bukan ?

Ya, kerana pada asalnya Tuhanlah yang telah lebih awal menamakan kita sebenarnya. Maka dengan itu, bersaksilah harapan di atas harapan.

Maha Suci Allah, atas keindahan yang tercalit pada sebuah nama. Senyum. :)


Putri Zuleika FEREIZYA.

Mungkin tiada maknanya nama ini menurut mana-mana bahasa di dunia, tapi biarlah saya sendiri yang akan memberi makna pada nama ini. *Dengan menjadi insan yang istimewa, se-unik nama ini. Jika Allah mengizinkanku.. ;)


p/s: Siapa tahu barangkali kerana nama inilah saya sering dibaluti kekuatan yang serba aneh untuk bangun semula dari rusuh dan resah jiwa kan? :’)



1 comment:

Zuhair Othman said...

Ayat yg bombastik. Dpt A+++ utk SPM

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]