.:Followers:.

Showing posts with label hawa. Show all posts
Showing posts with label hawa. Show all posts

Tuesday, April 29, 2014

Mimpi


"If you're a dream, I'm your loyal dreamer.."

Malam sedangku menulis tentang kamu,
Kamu perlahan mampir, merangkulku
Lalu membaca bait-bait nukilanku.
Kau mengajukan kekurangan ini dan itu,
Sambil mengucup lembut ubun-ubunku.

Kau menghadiahkan senyuman termanismu
Lalu perlahan melepaskan dakap mesramu
Sebelum hilang bersama dingin tiupan bayu.
Untuk kesekian waktu, kau meninggalkanku
Berseorangan, meneruskan tulisan tentang kamu.



Sunday, January 5, 2014

Musim Sendu

Pretty
"Kau, bungaku, jangan selamanya layu!"

Hari yang paling panjang. Jam menunjukkan waktu itu baru pukul 10.30 pagi. Setiap nafas yang dihela seakan mencengkam rengkung. Berderu sebu perasaan memenuhi dada.

“Hei. Berangan?”, dia membisik perlahan tepi telinga kiri aku yang sedang menongkat dagu, di atas meja yang menghadap ke luar tingkap.

Terkejut. Lekas-lekas aku menyeka air mata yang galak berjujuran sebelumnya. Suasana hampir canggung, sehinggalah dia meletus tawa. Mengenangkan riak kaget aku tadi agaknya. Oh, syukur dia tidak melihat.

Aku memalingkan tubuhku menghadapnya pula. Pandangan mataku tertancap pada setiap perbuatan gadis sunti kerinduan aku itu. Dengan selamba, kulihat dia terus merebahkan tubuh di atas katilku seraya mencapai majalah fesyen dari atas meja lampu berdekatan dengannya. Waktu itu barulah kusedar, majalah itu tidak pernah sekali pun mendapat perhatianku selama ia berada di situ. Sekejap. Sejak bila dia terletak di situ?

“Hei. Mengelamun pulak?” sergah dia, separuh berseloroh. Aku spontan menggaru kepala yang tidak gatal.

Suasana senyap seketika.

“Ermm. Weh. Have you ever felt sweet pain in your heart?” tanyaku, lambat-lambat.

Dia yang sedang asyik membelek helaian-helaian majalah itu berhenti. Pandangannya mati. Berfikir, barangkali.

Dia kemudian memandangku, namun hanya mengangkat kedua–dua keningnya seraya mengerutkan dahi. Tanda hairan. Ataupun berasa aneh dengan soalan aku yang rawak begitu.

“Dia..” sambungku, “rasa dalam dada ni sakit sangat. Jantung ni macam nak meletup pun ada. Rasa macam.. ahh taktahu macam mana nak kata. Pokoknya, hati kau sakit. Bukan sakit hati, tapi hati ni, dada ni.. sakit..seba.. ”

“Kerana sayang yang terlalu?” Dia memintas percakapanku dengan soalan itu. Jelas. Seolah dapat membaca sesuatu.

Aku menghela nafas berat. “As a matter of fact, yes.” Jawabku perlahan, meski aku tahu dia sudah mengagaknya.

“Sakit rindu memang begitu.” Dia kemudian tersengih.

Perlahan-lahan dia meletakkan semula majalah tadi di tempatnya lalu duduk bersila di atas katil itu menghadapku. Gayanya seperti anak kecil yang setia menanti sesen dua daripada si ibu yang sedang berdiri mencari-cari duit untuk dihulurkan kepadanya. Cuma, dia bukan mengharap apa-apa dariku, tetapi hanya menuntut sebuah cerita.

Aku hanya mampu menangis semahu hati ini. Jika setiap titis tangis dan sendu itu mampu meluahkan segala rasa dan cerita, aku pasti aku selesai menjelaskan semuanya. Tetapi tidak. Mustahillah.

Dia yang setia mendengar esak tangisku sedari tadi akhirnya mampir dan memelukku erat seolah-olah benar-benar faham dan turut merasakan rasa hatiku. Aku merangkul lengannya. Entah aura apa yang dibawanya. Aku langsung berasa lega, kemudian reda dari tangis yang menggila. Namun masih kehilangan kata-kata. Dia memahami aku, aku tahu dari setiap tingkahnya itu.

“Nisa. Salahkah aku?” hanya itu yang terpacul. Musim ini.. Betapalah aku rasa bersalah dengan apa yang aku sedang rasakan. Aku rasa cukup berdosa atas perasaan yang kupendam lama. Aku tidak mahu perasaan itu, tetapi tidak pula mampu menghindarkannya dari menyelubungi malam-malamku.

“Tak, sayang,” ujarnya lembut sambil menyapu perlahan bahuku. “Kau hanya salah, jika kau lemah!”

Aku sedar mengapa dia katakan begitu. Aku yang menanam keyakinan terlalu dalam. Aku yang memasakkan harapan terlalu tinggi. Aku yang membebar angan terlalu jauh. Aku jualah yang menghampar segala kenangan terlalu luas. Kemudian aku berharap aku mampu lewati ruang masa ini dengan kuat dan tenang? Memang TAK lah!!

Sudah. Aku sudah cukup lama berkompromi dengan diri sendiri. Aku mengaku salah.

“Tapi jangan mengaku kalah,” katanya, bersahaja. Dia memang selalu begitu, sama ada membaca atau menebak fikiran aku ini, pun aku tidak pasti. Sudah kemahirannya, mungkin.

“Aku ni lemah sungguh, kan?”

Kedengaran dia menghela nafas panjang sebelum membalasku. “Kau berani. Terlalu berani mempertaruhkan jiwa nubari sedang kau tahu kau tiada apa-apa jaminan pun untuk tekal ‘hidup’ dalam jalan juang ini.”

“Tapi bukan juga bermakna aku ini kuat kan?” Ahh. Aku dan provokasi terhadap diri sendiri.

“Kita akan lemah selagi kita tak bergantung pada Yang Tidak Mati.” jawabnya tenang. Aku diam memandangnya.

Kami bersatu mata. Lama.

Dengan senyuman paling manis pernah kulihat, dia kemudian mencapai tanganku, erat genggamannya, sebelum bangkit mengatur langkah ke luar. Aku terbata melihat dia berjalan menghampiri muka pintu namun jelas terdengar kata-kata akhirnya yang separuh menjerit itu;

“Dan kau hanya salah jika kau lemah!”

Erk. Tersentak di pembaringan.

Mimpi (atau angan??) yang panjang. Bila aku tersedar, aku lekas mencapai fon tanganku di atas rak buku untuk melihat waktu. Bimbang-bimbang kalau aku terlepas waktu solat atau apa. "Eh? Pukul 10.30?". Musykil.

Mimpi itu macam sebuah perjalanan yang panjang. Aku rasa lebih setengah jam jugalah di alam mimpi tadi. Allahu Rabbi. Tenang-tenang aku mengenang momen di alam mimpi tadi, kononnya. Lantas mengukir senyum.

Musim ini, musim lalu.. Hadirnya pasti untuk membawa kata-kata yang akan menguatkan aku.

An-nisa’. Kau memang kutunggu!

Friday, December 28, 2012

Dara dan Zzz..

Nota: 
Penulis menulis sambil diri dihurung persoalan seperti 'Kenapa kau tulis semua ni?', 'Kau ingat apa kau nak cakap ni betul?' dan yang bermacam lagi. 
Ohh, saya ok sebenarnya, jangan risau. HA-HA

Dalam komuniti yang mengenepikan nilai-nilai Islami, ber‘couple’ atau lebih spesifik lagi, berpeleserannya pemuda dan pemudi merupakan perkara yang tidak lagi pelik. Yang sendiri (single) pula yang dilihat sebagai orang jumud, ketinggalan, ‘loser’ atau apakah lagi? Kemudian zina menjadi budaya yang diraikan (???!!). 

DARA dan ZINA

Dara, pada hemat saya ialah simbol kesucian sesebuah institusi perkahwinan. Oh bukan, maaf. Dara bukan simbol tetapi BUKTI yang paling kukuh bahawa perkahwinan bukan sekadar untuk menghalalkan yang haram. Perkahwinan nyata, lebih dari itu.

Perkahwinan ialah ke’sekufu’an fikrah, demi melahirkan pejuang agama Allah, menyambung rantaian dakwah Rasulullah SAW, melengkapkan sebahagian tuntutan hidup, di samping meramaikan umat Islam di Akhirat dan dunia juga asas agama. Perkahwinan lebih dari apa yang kita sangka!

Ahh. Ya, masakan gadis 19 tahun (yang terlampau muda belia!) seperti saya memahami falsafah perkahwinan.

Jadi, sejauh mana dara ini dilihat sebagai sesuatu yang amat berharga? Percayalah, dalam ketandusan jati diri dan kecelaruan identiti hari ini, nilai dara di mata kebanyakan mawar yang memilikinya dirasakan setaraf dengan debu hama yang berterbangan ke mana-mana. Kekadang habis rela dikencingkan anjing, kadangkala redha dihujani najis kucing! Dara sudah umpama barang dagangan paling murah dan laris. Paling mudah dan menguntungkan juga. Ya Allah, musibah apa lagi ini??

Saya tidak berkenan untuk berbincang mengenai faktor utama berleluasanya budaya ‘derma’ dara ini. Iya lah, kita sering menunding jari kepada budaya Barat - konon merekalah 'pesalah' dalam hal ini, kendatipun di manakah letak kapasiti kesalahan ketika penjenayah ini dibiar bebas?

Fikir. Sekalipun datangnya budaya Utara, Selatan dan Barat yang memudaratkan, namun jika seseorang itu benar-benar berpegang dengan ajaran agama Allah, nescaya dia akan teguh kekal berdiri di atas landasan syariat. Formula yang mudah, bukan?

Kadangkala, (hasil penilaian dan pemerhatian saya sedari zaman persekolahan) apabila berhadapan dengan kes-kes mukadimah zina, entah mengapa ayat ‘Laa taqrabuzzina (jangan dekati zina) kerna zina jalan kemungkaran’ ini sudah tidak lagi menjadi antibiotik yang berkesan untuk melumpuhkan serangan virus kejahatan dalam jiwa.

Jom kita lihat kesan hilang dara dan zina dalam konteks realistik (atau menurut sisi pandang saya yang serba dangkal ini sajakah? Tak tahulah).

SATU.
Imam Shafie ketika ditanya, "Bagaimanakah kau mendidik anakmu?" Jawabnya, "Aku mendidiknya 15 tahun sebelum dia lahir."

Wait. Bagaimana boleh mendidik seorang anak sebelum ia lahir? Jawapannya, didikan seorang anak bermula daripada IBUnya.

Ibu yang baik, yang terpelihara, yang menjaga jiwa, hati dan iman, insya-Allah, dapat melahirkan anak yang soleh dan solehah. Jadi bayangkan, jika bakal IBU tidak menjaga dirinya (dan daranya) dengan sebaiknya, bagaimana pula tempat yang bakal menjadi rumah pertama si anak (rahim)?

Di sinilah letak peranan BAKAL BAPA yang baik, untuk memilih IBU yang baik, yang akan melahirkan anak-anak yang baik. *Ha tu diaa. Free tips! Wink~ ;)

Sebagaimana kita tidak suka jika anak kita melakukan zina, melebihkan cintanya kepada 'buayafriend' yang baru dikenali dua bulan, begitu jualah kita, SEBAGAI BAKAL IBU JANGAN SESEKALI TERFIKIR UNTUK MELAKUKANNYA!

Bakal ibu (termasuk Eika), kesan perbuatan hari ini, andai tidak diiringi taubat dan kebaikan, pasti akan mengundang musibah di kemudian hari. Saya sayang anak-anak saya. Anda bagaimana? :P

DUA.
Perihal cerai, suami curang etc..
Setelah selesai rumahtangga anda terbina atas dasar cinta yang mendalam, sepuluh hari setelah akad dilafazkan, suami anda melafazkan talak pula. Oh, talak dan cerai bukan perkara main-main! Ketika itu, tentu anda akan terfikir, "Apakah yang menyebabkan institusi keluarga aku hancur?"

Tahukah anda, (Husnudzhon. Boleh jadi ada yang tidak tahu kan?) hilang dara sebelum berkahwin merupakan enzim yang mempercepat proses kehancuran sesebuah perkahwinan? Enzim ini bertindak dalam sebarang suhu dan boleh merosakkan sepotong kek paling manis dan lazat menjadi basi!

Tidakkan ada kepercayaan yang wujud dalam perkahwinan sebegini. Kerana apa? Kerana sebelum berkahwin pun (sebelum mempunyai ikatan yang sah) anda sudah berzina dengan pria yang bukan-bukan, maka sukarlah untuk anda meletakkan kepercayaan sekalipun sesudah sahnya ikatan tersebut. Maka, runtuhlah institusi keluarga. Don’t you think?

Ketika itu, apa yang merugikan bukanlah sekadar keruntuhan sistem asas negara yang Islami, tetapi juga berpuluh-puluh ribu wang ibu bapa yang telah anda ‘lesapkan’ bagai abu ketika buat kenduri ala-wedding-of-the-year, kononnya.

Jujur saya katakan, ini bukan sekadar masalah sosial, tetapi juga krisis ekonomi rakyat yang kebanyakannya hidup tidaklah seselesa mana.. Dan mungkin, kes perceraian beginilah yang merosakkan sistem ekonomi negara sehingga kita terpaksa buat, erm.. Model Ekonomi Baru? Hehe. Mungkin. Entahlah.

TIGA.
Pandangan dan penerimaan masyarakat.
Di mata masyarakat yang dianggap konvensional, orang yang berzina ini sering dicaci.
Di mata orang yang dianggap penuh intelektualiti, orang yang berzina ini dianggap perlu dilindungi.

Sungguh, benar. Ada yang tersilap langkah, maka amatlah perlu bagi mereka dilindungi. Namun, meraikan mereka yang berzina ini akan menjadikan mereka yang belum berzina lagi bakal melalui jalan yang sama kerana jalan-jalan penzinaan yang terbuka luas (rujuk SOLUSI 23, ms 36-37)
Wallah, ini ternyata mengundang musibah! Na’uzubillah.

Seperkara lagi. Sedarkah kita akan hakikat diri ini selaku hambaNya?
Sedarkah ketika anda bergelumang melayan nafsu haram, ketika anda kecundang bermujahadah melawan syaitan, ketika melakukan dosa, anda sebetulnya sedang bernafas dalam udarakasa milik siapa?

Mata yang melihat kemungkaran itu, tangan yang bersentuh dipagut kemaksiatan, milik siapakah itu semua? Bukankah milik Allah segalanya? Ke mana hilangnya sudah malu kita?

Ya Allah, peliharalah kami!


*Ini satu lagi luahan dan pemikiran*


Tumblr_mcgwjo6jz31qhmhdfo1_500_large
Bertahanlah. Jaga diri.


Jadi, buat BAKAL-BAKAL SUAMI..

Hentikan 'projek' merosakkan bakal-bakal isteri! (Atau lupakan hasrat atau padamkan saja fikiran anda untuk berbuat demikian) Dengan apa caralah sekalipun. Kerana apa yang anda perbuat, itulah yang akan anda dapatkan.

Ini bukan semata saya beritahu. Ini satu amaran, sebetulnya.


Sunday, July 29, 2012

Puteriku.


Puteriku,
menjelang kakimu menjejak ambang dewasa,
pintallah benang–benang keimanan,
untuk pakaian seharianmu,
anyamlah tikar-tikar ketakwaan,
untuk sujud di depan Khalikmu,
jalinlah permaidani kebenaran,
untuk alas gerak-gerimu,
ukirlah hiasan kejujuran,
untuk pameran di ruang hatimu.

Lukislah arca keikhlasan,
untuk huluran pemberianmu,
bentanglah sejadah kepasrahan,
untuk segala urusan Tuhanmu,
jangan kau lupa sebutlah nama Rabb-mu,
dalam setiap tarikan nafasmu,
agar engkau selamat,
tidak diperkosa dan dianiya,
oleh kaum durjana, kaum jin, kaum iblis yang serakah,
dan tidak diperdaya situasi masa,
yang memang sudah gila tak kenal usia.

Puteriku,
lindungilah tabir kesucianmu,
dengan sifat malu dan dengan benteng imamat,
yang berwujud pesona cahaya,
yang terpancar pada surah An-Nur,
ayat tiga puluh sampai tiga puluh tiga.

Kelak, jika tiba masanya nanti,
pilihlah suami yang soleh,
kuat agama, tidak miskin,
fasih menyebut ayat-ayat dan kalamullah - Al-Quran,
fasih mengumandangkan kebenaran dan keadilan,
setia dalam cinta,
jujur dalam berkata-kata,
setia dalam suka dan duka, nestapa dan lara,
dan setia dalam menjaga keluarga, anak isteri tercinta,
dari hal-hal yang tidak diredhakan Azzawajalla.


Wasatiyyah. Pilihan kita, teman.  

Lantas lahirkan dari kesucian rahimmu,
seribu generasi teladan,
seribu generasi pilihan,
sebagaimana disabdakan Junjungan,
sebagaimana difirmankan Tuhan,
yang terukir dengan impian surah Al-Kahfi ayat tiga belas.

Akhirnya, jadilah engkau seorang ibu sejati,
sepanjang hayat selagi dikandung badan,
hingga pada saatnya, akhir masa nanti,
engkau akan dikenali sebagai muslimah sejati,
puteri ayah yang hakiki,
puteri ibu yang molek pekerti,
penyuar akhlak dan moral para nabi,
untuk peradaban umat manusia ini.

*Ini puisi dari hati seorang Papa yang dikasihi.*


Selamat sejahtera dan semoga kita dapat melahirkan manusia yang bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.

Cita Al-Haqirah. Bi Iznillah. ;)


Sunday, February 26, 2012

NiKahwin.


Kawan saya, hari ini hari perkahwinannya. Syukur. Saya pula yang teruja! Hehe. Alright. Take a deep breath and.. Uhh..!!

Kali ini, saya mahu menulis apa yang saya fikirkan. Tetapi tentang cinta saya yang lebih bermatlamat, lebih serius, yang halal - NIKAH. Maaf, saya cuma rasa terjentik ja untuk menzahirkan sebal sendiri pula tentang perkara yang sudah lama terpendam ini. Ahh tentu kalian faham.

ALLAH.

Mana-mana saya pergi, saya lihat, saya dengar, saya rasa, betapa ramai yang benar menginginkan rumahtangga yang sempurna. Hendak yang soleh, kepingin yang solehah, yang wasatiyyah juga tak kurang – mahu solehkan diri terlebih dahulu. Yang sibuk mencanang perihal ‘cinta kosong’ muda-mudi pun ada. Bosan ah.

Manusia bisa mencanai aksara, membentuk kata yang indah-indah bercakap tentang cinta dan pernikahan. Saya juga seringkali ‘menerima masuk’ isu nikah ini dengan senyum yang melebar hingga ke telinga. Seorang yang kemamar, kelinglungan juga bisa tiba-tiba bersemangat, segar bugar bila dibentangkan soal nikah dihadapannya. Kan? Kan?

Dan secara peribadinya, saat rakan sekeliling saya bercakap tentang isu ini, atau tentang teman lelaki, atau tentang sesiapa yang disukai, pemikiran saya pasti terus terarah kepada SELEPAS nikah. Serius.

Saya terfikir rencam perkara. Saya tahu, saya kedengaran tipikal tapi saya sungguh percaya lagi berpegang pada matlamat yang jelas. Di minda saya bahkan sudah tersedia nama bakal anak-anak! (jika Allah membenarkan). Semoga tiada salah faham tentang ini.

Saya teramatlah gembira bila sahabat-sahabat, atau ada kenalan yang sudah bertunang, apalagi sudah mahu menikah. Masya ALLAH. Adakala saya malah cemburu pula, lagu mana depa dikurniakan keyakinan dan kekuatan yang begitu ampuh untuk melafaz akad yang bukan mainan itu, sekaligus menzahirkan makna dan tanggungjawab yang tersirat disebaliknya?

Dan, gambaran kebahagiaan serta cucuran air mata dalam suasana yang begitu syahdu sekali mula mengambil tempat, bergentayangan di layar fikiran saya. *dramatic -,-”

Ouh, saya masih teringat kali pertama saya melihat Along dan Abang Firdaus pada pagi hari pernikahan mereka, dua hari sebelum ulang tahun kelahiran saya tiga tahun lalu. Genggaman tangan mereka dan warna krim lembut sedondon memang mengundang air mata.

Aduh, jarum waktukah yang pantas meninggalkan saya, atau saya yang membatu bak tunggul sedari awal menganjak ke usia pertama kedewasaan ini? Aku yang tipikal.

Pada saya, pernikahan bertujuan untuk saling melengkapi. Dan, jujur saya akui, saya juga kepingin pernikahan yang sebegini – berlandaskan keimanan, andai diizinkan Allah. Pernikahan yang menjadi pelengkap emosi dan kekurangan individu, perkembangan kognitif, dan bukan hanya fizikal semata-mata (meski ya, amat bagus lagi dituntut untuk menambah umat Muhammad SAW).

Pernikahan yang terus melihat kepada apa yang boleh disumbangkan kepada ummah melaluinya. Seperti contoh, andai tidak dikurniakan zuriat, bagaimana kedua suami isteri boleh memaksimumkan potensi dan prestasi diri untuk perkembangan agama Islam? Kalau ada cahaya mata pula, bagaimana cara pendidikan yang terbaik sekali?

Seperti kata Madam Tan dalam kelas Learning Support dulu, ”What class.. you think, marriage is only about two people in love, get married and have babies? No, it’s more than that. You need to have knowledge, plannings, parenting skills for good sake later on. Bla..bla..” à (tak ingat dah apa lagi katanya =P)

Dan betapa pernikahan nyata sesuatu yang begitu indah dan suci, dengan iringan redha dan kesediaan. Ramai mengajar saya tentang itu. Hidup ini juga.

Fikir saya, tiada salahnya juga untuk saya, kita, mencipta impian. Tiada salahnya mengidamkan suami yang soleh, yang ‘alim, yang menerima kita apa adanya, yang hanya dengan menatap dan mendengar helaan nafasnya pun kita sudah berasa senang. Yang apabila rusuh jiwa bertandang, dia akan mengingatkan kita tentang qada' dan qadar Allah. Yang apabila terbangun di sepertiga malam, akan mengejutkan kita dan berpesan untuk mengejutkannya pula jika sebaliknya. Yang kaya pembacaannya, kemudian percakapan harian juga ilmiah.

Dia yang meninggalkan kita hanya kerana ke medan fi sabilillah. Yang tetap membelai ubun-ubun saat rambut-rambut ini sudah mulai memutih, dan dengan romantisnya berbisik ke telinga, kita masih paling cantik di mata zahir dan mata hatinya. Dialah itu, yang setia di sisi memberikan cinta yang begitu indah, kerana ALLAH. Yang dapat menjadi ayah terbaik juga. Dan, anak-anak molek membesar dalam dakapan suasana yang sakinah kemudian menjadi pejuang sekaligus menjadi asset untuk kita ke syurga.

Sungguhpun begitu, saya sedar yang manusia tetap manusia, tiada yang maksum. Begitu saya tahu bahawa diri sendiri juga bukanlah sebagus dan selayak itu, untuk mendapatkan persis apa yang saya mahu. Ya, begitulah.

Barangkali kerana itulah juga, saya cuba mahu mendidik diri agar dapat menjadi seperti Hadzrat Khadijah; diam memberi kehangatan dakapan dan selimut tebal ketika Nabi kegetaran menerima wahyu Tuhan. Yang mentarbiyah pejuang dalam rumahnya. Yang begitu unggul mempersediakan diri untuk akhirat tanpa mengenepikan dunia. Yang menawarkan kesetiaan dan kecintaan kepada suaminya, kerana ALLAH. Dan yang kemudiannya akan dikenang-kenang manis kasihnya itu hatta sarat tertuang dalam gelas memori buat tegukan suami. Yang itu, persis seperti itu!

Andai suatu hari nanti Allah berikan pula saya peluang untuk menjadi seorang ibu, akan saya kisahkan pada anak-anak bahawa ibu mereka telah mengharungi jalan yang penuh ranjau untuk mendapatkan mereka dan betapa melahirkan mereka ke dunia adalah anugerah yang paling bermakna.

Saya mahu mereka tahu, mereka lebih berharga dari segala pengalaman yang ALLAH kurniakan dan betapa saya telah menunggu mereka begitu lama. Dan nyatalah, natijah penantian itu pasti satu kenikmatan.

Meski saya juga sedar sepenuhnya yang saya mungkin tidak berkahwin dan mungkin tidak mempunyai anak sendiri (nauzubillah!).. Dalam makna hidup, banyak kemungkinan. Kan?

Apa yang berlaku dalam hidup saya, sungguh telah banyak memberi pengajaran. Saya yakin dalam hidup semua juga sama halnya.

Ahh saya hanya pandai menulis yang muluk-muluk saja. Kendatipun saya benar tahu pernikahan bukanlah muluk-muluk semata, melainkan setelah benar ia sampai ke syurga.

Lagi! Saya masih sedang belajar banyak benda. Tentang diri sendiri, takdir dan orang sekeliling; yang dekat, yang jauh, baik di mata, apatah lagi hati.

Dan percayalah, bahawasanya saya sudah tetapkan hati, bulatkan rasa bahawa cinta dan rindu ini tidak layak dikongsi dan diberi kepada insan selain suami.

ALLAH. ALLAH. ALLAH.

Saya menulis tentang ini. Ohho, akhirnya!

"Ya Tuhan kami,
anugerahlah kepada kami,
isteri dan zuriat yang menyejukkan mata,
dan jadikanlah kami,
imam bagi orang yang bertakwa"

(Al-Furqan:74)


Ya Allah, telah aku sampaikan apa yang hatiku mahukan. Cukupkan ya Allah. 


.:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:.


Ouh, buat sahabat-sahabat yang pada hematku kamu telah dewasa, nyatalah kamu seorang Adam dan Hawa yang bertuah. Moga kamu mampu menjadi imam dan makmum yang gagah mengangkat takbir menghadapi hidup dan menamatkannya dengan salam penuh kebahagiaan. InsyaAllah, cinta kalian akan sampai ke syurga! Aku doakan.

Apapun, kamu benar-benar mengejutkan semua orang tau! Dan aku akan kecewa jika kamu memikirkan aku bisa menjadi antara yang bersikap prejudis kerana kamu memilih untuk berkahwin muda. Jangan sesekali! Ohho ^o^

.:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:-:.

Aduh, meluah rasa ikut tulis-tulisan begini bisa bikin saya sebak! Isk..isk..

Dah, dah.
Belajar dulu. Baru fikir tentang semua ini balik. (^,^)v


p/s: Pipi terasa hangat, merona merah juga, sikit-sikit. Segan! Ah-ha. 


Monday, February 21, 2011

Tinta Buat Adamku..

Ke hadapanmu Adam ,

Dengarlah permohonan maafku .

Maaf atas segala salah yang telah kulakukan padamu .

Tentu kau tertanya :

SALAHNYA APA ??


Ketahuilah..,

Aku telah berbuat begitu banyak salah padamu .

MAAF UNTUK APA KATAMU ?


Maka dengarlah Adam..

Aku meminta maaf akan setiap tatapanmu padaku ,

Mahupun tatapanku padamu ..

Yang akhirnya menorehkan gundah di hatimu .

Aku meminta maaf atas setiap alunan suaraku

Yang kekadang [ ku akui ] sengaja kulembutkan

Demi menggetarkan rasamu .

Aku memohon maaf akan setiap gerak tubuhku

Yang kekadang sengaja kugerakkan untuk menarik perhatianmu .


Aku meminta maaf akan setiap senyuman manis

Yang ku tahu akan mengganggu tidurmu ,

Namun sengaja ku lontarkan kepadamu .

Aku meminta maaf untuk setiap renyah tawaku

Yang ku tahu akan membayangi setiap kamar anganmu .

Aku memohon maaf atas setiap hentakan kakiku

Yang pastinya akan membuatmu menatap suka .

Aku meminta maaf atas setiap celoteh candaku

Yang membuatmu nyaman berlama-lama

Berbicara denganku daripada teman ikhwanmu .

Dan aku benar-benar meminta maaf

Kerna kulakukan semua itu dengan sedar dan sengajaku .

Kemaafan lagi kupinta kerana ..

Aku pun turut menikmati setiap perhatianmu itu


Adam...

Maafkanku atas setiap olesan bedak

Dan kosmetik yang sengaja kukenakan pada wajahku

Agar matamu ‘kan menatapku kagum .

Maafkanku atas setiap pakaian

Yang kukenakan dengan bentuk sedemikian rupa

Sehingga hatimu mulai resah menatapku .

Maafkan aku atas setiap kerlingan mataku

Yang kekadang sengaja kulakukan demi mencari tatapanmu

Hingga ketika tatapan mata kita bertemu .

Kuyakin ..cukup untuk membuatmu gelisah dan aku puas .


Maafkan aku akan setiap perhatian

Yang kuberikan , yang membuatmu berasa

Bahawa membutuhkanku lebih dari segalanya .

Maafkan aku akan setiap kemanjaan

Yang sengaja kutunjukkan padamu

Agar dapat membuatmu lemas dan

Berbekas rasa di relung hatimu .



Sungguh , aku memohon maaf padamu , Adam .

Kerna kulakukan semua itu dengan sengaja .

Dan aku meminta maaf atas setiap godaan

Yang timbul dari perilakuku ,

Dan atas semua kegelisahan yang kutorehkan

Kerana sukanya kamu padaku .

Maafkan aku akan perhatianmu yang telah kurebut

Hingga kau lebih memperhatikanku daripada orang tuamu .


Maaf atas setiap bisikan rindu

Yang telah kukuasai di hatimu .

Bahkan aku membuatmu merindukanku

Lebih daripada Rabb mu .


Ketahuilah Adam...

Fitrahku kaum Hawa

Adalah daya tarikan terkuat untukmu di dunia ini .

Aku , Hawa mampu menjadi senjata Iblis

Untuk memujukmu dengan jayanya

Memakan syajaratul Khuldi yang dilarang Ilahi .

Namun di tanganmu yang bijak ,

Aku , Hawa mampu menjadi pondok

Yang mendukung teguh keimananmu

Bagai Khadijah tika di samping Muhammad SAW .


Adam...

Jangan pernah segan menegurku

Bila aku salah di matamu .

Kerana sesungguhnya Allah telah membentuk hatiku

Daripada daging yang paling lembut ,

Agar aku mudah tersentuh dengan segala nasihat .

Mataku begitu mudah menumpahkan air mata hangat

Dengan sedikit sentuhan sahaja .


Namun , ingatlah Adam ..

Aku , hawa dari tulang rusukmu yang paling bengkok .

Jadi , fitrahku memang untuk bengkok .

Maka jangan terlalu memaksa untuk meluruskanku

Kerna kau hanya akan menemukanku ‘patah’

Apabila aku patah , maka tak mampu kau menyambungnya lagi .

Namun , jangan pula membiarkanku

Terus dengan keadaan yang bengkok itu

Tetapi , cubalah meluruskan aku dengan hikmah ,

Dengan bijaksana ..

Maka pasti kau ‘kan menemukanku lurus .

Bahkan aku ‘kan mampu mengukuhkanmu .


Adam..

Maafkanlah aku atas segala kesalahanku itu ~



Tulus dari hati ,




[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]