.:Followers:.

Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Tuesday, December 24, 2013

CSI: Citra Sastera Ilahi

*Cerpen ini adalah adaptasi kisah realiti pemilik hati dan fantasi pencintanya.*


Hari yang indah. Mana terbanding dengan berjuta diskripsi yang direka manusia. Sendirian di dalam surau pada hari yang indah itu, Shah bertemankan halwa kedinginan yang mendamaikan. Apa terganti dengan udara dingin dari segenap ruang pintu dan jendela yang terkuak? Ianya seolah bernyawa dengan abstrak bergeraknya. Dan Shah seorang pengkagumNya – Sang Pencipta yang memberi nyawa.

Hari itu seperti selalu, imbasan matanya masih kuat dan jelas untuk melihat sekeliling. Menangkap titik-titik kekuasaan Tuhan di alam buana yang penuh kefanaan. Menuntut sedikit kefahaman untuk menterjemah abstrak lukisanNya.

Ah, sebenarnya tidaklah abstrak, cuma mata manusia ini rabunnya yang banyak! Fikir Shah sendiri. Duduk-duduk di kubik hamparan solat, Shah enak memerhati seluas apa dia mampu.

“Assalamualaikum, sir. Boleh saya tanya sikit?” sapa seorang pelajar.

Terbebar lamunannya. “Waalaikumussalam. Boleh.. Apa dia?”

“Hmm. Sir rasa.. kenapa Tuhan kekadang tidak adil pada kita, ya?” Adam yang dari tadinya memerhatikan tingkah laku guru juga warden asramanya, tiba-tiba saja bertanyakan hal itu.

“Kenapa kamu kata begitu?” spontan Shah bertanya. Terkejut, namun cuba dibendung agar tidak kelihatan.

“Kalau Tuhan itu adil, mengapa saya tidak dijadikan sama seperti teman-teman lain?” jawab Adam. Jiwanya jelas dirundung resah. Shah diam membiarkan Adam berjenak-jenak dengan fikirannya.

Adam menyambung bicara, “Saya pelajar bodoh, sir. Belajar macam mana kuat sekalipun, saya tetap tak capai cemerlang.”

“Saya.. sudahlah cemerkap, kurang pintar, slow learner, takda keberanian pula, langsung tak seperti yang lain. Saya.. saya ni dengan teman perempuan pun saya tidak berani berdepan. Dikatakan lelaki, begini?” Sambung Adam, menahan sebak.

Shah menyimpulkan senyuman. Dilontarkan pandangannya ke luar, di sebalik kekisi besi putih yang sudah mula dihinggap karat. Terlihat sebatang pokok durian nan sebatang, tegak di atas bukit menghijau.

“Jadi?” hanya sepatah kata diungkapkan.

Jeda.

 “Saya sudah kehilangan, sir. Hilang punca. Doa saya tidak pun diterima. Saya.. saya tidak pernah dapat apa yang saya doakan!”

“Adam..” Shah memanggilnya lembut. Diusap perlahan bahu anak muda itu apabila disedarinya Adam tertunduk sayu.

“Allah tidak pernah menjadikan manusia ini bodoh. Dia hanya mengurniakan setiap orang dengan kepandaian yang berlainan. Kita semua mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, kan? Jadi, tiadalah manusia yang bodoh, yang ada hanya manusia dengan kepandaian yang berbeza. Ingat tu.” Shah cuba meyakinkan.

Adam yang hanya mendengar tidak terkata apa. Diusap-usapnya tikar yang memenuhi segenap ruang surau itu, tanpa cinta.

 “Lagi pula, jika semua manusia terlahir pandai, maka  takkan ada istilah ‘pandai’ dalam dunia ini. Jika sempurna segala kejadian di muka bumi, maka bukan di dunialah kita ni, tapi Syurga!” sambungnya lagi separuh berseloroh.

Adam tersenyum tawar sebelum Shah meneruskan kata, “Jadi Adam, begitulah, kelahiran insan seperti kamu dan kesemua subjek perbandingan kamu itu merupakan salah satu bukti keadilan Tuhan sebenarnya - buat pengamatan kita.”

Adam mengangguk faham. Dia terkelu. Lama.

“Tapi sir.. saya tak terdaya menahan hati daripada berperasaan sebegini tidak puas hati dengan takdir hidup ini! Bahkan.. ibu bapa saya juga merasakan yang sama tentang saya. Sir tahu rasanya? Sebenarnya lebih sakit lagi, kerana penghinaan itu datang berterusan daripada orang tua kita sendiri. Lebih terluka lagi rasanya kerana keluarga sendiri yang memandang rendah diri kita ini.”

“Kekadang, saya sepenuh hati mahu menjadi seperti Zairul. Saya tidak tahu bagaimana, tapi setiap hari apabila saya terlihat dirinya, saya akan terus membayangkan di dalam hati – menjadi dia setiap hari.” Sambungnya tanpa dipinta.

“Eh. Kenapa begitu?” Tanya Shah, menjangkakan penjelasan meski dia sendiri dapat menebak fikiran pelajar di hadapannya itu.

“Dia pelajar cemerlang, sering disenarai hebat dalam kalangan 5 yang teratas. Keramahan dan kepandaian dia lebih menyerlahkan lagi rupa parasnya yang kacak itu. Dengan itu saja dia boleh menjadi popular di sekolah kita. Kebanyakan pelajar perempuan juga menyenanginya.”

“Hanya kerana itu?”

Adam mengangguk perlahan.

“Sejujurnya, saya benar bersetuju dengan pandangan kamu. Saya juga memuji kelebihan yang dia punya.” Balas Shah. Sekadar menduga. Adam mengetap bibir, seolah sedang menahan seribu satu rasa.

“Tapi Adam, adillah dengan diri kamu juga. Bagusnya dia di mata kamu tidak harus membuatkan kamu memandang sepi kekurangan dirinya. Saya yakin kamu tentu masih belum lupa dengan laptop kamu yang dicurinya dulu, kan? Dia mungkin sebegitu hebat dalam pelajarannya, tapi apalah maknanya andai ilmu yang dia ada itu tidak dijadikan hikmah buat dirinya sendiri. Dia tidak sepatutnya bermasalah begitu. Kes kecurian motorsikal cikgu dan perbuatan-perbuatan khianatnya yang lain? Kamu lupa?” jelas Shah. Bertubi-tubi ‘tembakan’ dilepaskan bagi membuka mata fikiran Adam.

Adam menggeleng sekadarnya. Tidak dapat tidak dia menafikan perkara itu.

Shah berfikir sejenak. Dengan senyuman paling manis terukir, dia kembali menyelami lubuk kalbu terdalam pemuda itu. “Adilnya Tuhan itu harus kita cari citranya pada diri kita terlebih dahulu. Mungkin kamu belum terlihat citra itu pada diri kamu. Tak mengapa, saya dulu juga begitu.” Mereka tertawa kecil.

“Barangkali Zairul juga sama, jadi doakanlah dia.” Bisik Shah, membuatkan Adam menebar senyuman.

“Allah sentiasa adil. Bahkan pada setiap permohonan hamba-hamba kepadaNya. Saya kira Allah memang sedang berlaku seadil-adilnya pada diri kamu. Saya dapat lihat, kamu tahu dan sepenuh sedar akan diri kamu. Tapi kamu juga harus tahu, Adam, itu bukanlah satu dosa, tapi juga kurnia. Segala kekurangan yang kamu anggap paling besar pada diri kamu itu telah Dia saksamakan, dengan melindungi kamu daripada noda dunia. Kamu tak pernah membuat onar di sekolah. bahkan rajin pula ke surau. Faham kan maksud saya?”

“Faham. Mungkin.. entahlah sir, saya terlalu mengharap kesempurnaan dari Dia. Terlalu menuntut keadilanNya. Dalam setiap doa dan harapan saya.” Adam membalas. Kedengaran defensif.

“Tak salah, Adam. Cuma jangan pernah lupa hakikat ini: Mungkin Dia lambat mengabulkan hasrat hati hambaNya, Adam ini kerana Dia Maha Tahu ada satu waktu nanti yang paling sesuai bagi kamu untuk itu – Iaitu bukan sekarang. Mungkin juga Dia takkan langsung memakbulkan doa kamu, kerana ada sesuatu yang jauh lebih baik untuk kamu nanti daripada apa yang kamu hajatkan waktu ini. Fahami definisi ‘adil’ Sang Maha Rahim, dan kamu akan yakin sepenuh hati, Adam.” Ujar Shah. Padu dan meyakinkan.

“Insya Allah sir. Saya mahu cuba.” Teragak-agak, Adam meluahkan.

“Sabar, ikhlas dan redha sahaja. Dan Allah pelihara segala. Percayalah.” Shah separuh memujuk.
“Ahh. Senang cerita, bila kamu mulai rasa susah hati, cuma ingat yang tiada satu pun kekal dalam hidup ini. Susah, mahupun senang. Hanya dengan cara itu kamu akan lebih tegar untuk meneruskan hidup tanpa memikirkan lagi bahagian diri kamu yang serba kurang itu.” Sekali lagi Shah menabur benih azimat dan semangat baru pada hamparan fikrah pelajarnya itu.

“Ya tak ya. Saya rasa lebih lega dan tenang sekarang. Terima kasih, sir.” Adam seakan terlihat sinar baru yang dibentangkan Shah di hadapannya. 

“Masya Allah. Alhamdulillah. Panjatkan pada Dia. Saya, tiada daya apa.”

“Alhamdulillah. Saya tahu.. saya tetap perlu berterima kasih, sir. Saya tak silap memilih teman bercerita.” Adam mengukir senyum. Ikhlas. Senyumannya sama menjangkiti Shah.

Adam memandang jam yang dipakai kemas di pergelangan tangan kanannya. Kaget kecil.

“Ada hal?” Tanya Shah, memahami riak kaget yang ditunjukkan. Adam sekadar mengangguk sebelum bangun meminta diri dan bersalaman dengan gurunya itu. Shah menggenggam erat tangan pemuda itu lalu ditarik kemas dalam pelukannya. Sempat dia berpesan agar Adam jangan pernah berputus asa dengan Tuhan dan kehidupan.

Selang beberapa ketika selepas Adam keluar meninggalkan ruang itu, Shah terfikirkan dirinya. Dia seolah terlahir baru. Adam dan hidupnya, dia dan nasihatnya. Semuanya adalah dariNya untuknya juga.

“Subhanallah!” tercerlus kalimah agung dari mulutnya seraya bingkas dia bangkit menunaikan Solat Sunat Dhuha. Usai melipat dan menyusun semula sejadah yang digunakan tadi di tempatnya, Shah berjalan tenang menuju ke kamar guru, seperti seharusnya dia.

Other Stories Photograph by Taylan Soyturk - Other Stories Fine Art Prints and Posters for Sale
"Tuhan tak membiarkan kau sendiri. Tak pernah sekali." 

Dilontarkan pandangannya ke sekeliling. Terlihatnya lagi pokok durian nan sebatang, tegak di atas bukit menghijau. Fikirannya mula membuahkan ‘hikmah cinta’.

Pohon itu, kira-kira adakah yang melihatnya?

Kira-kira, akan ternampakkah sebiji durian ranum tergantung sendiri di hujung dahan?

Kira-kira, adakah sepasang mata lain yang terlihat apa dia lihat itu?

Matanya secara zahir, merakam pergerakan awan nan biru; Itupun jika dia memaksa sedikit kepalanya mendongak ke atas. Depan matanya, di sepanjang jalan itu cuma bangunan sekolah dan asrama pelajar yang menyerlah cat pudar entah sejak zaman bila.

Tapi, dia nampak pokok durian nan sebatang itu.

Shah senyum penuh makna, pada hati sendiri. 'Benarlah, tempat terindah itu rupanya pada pandangan mata. Jika hati kita punya taman di dalamnya, tempat terburuk pun boleh jadi yang terindah.

Lumut di sekeliling batu-batuan sungai itu, cantiknya pada kilat hijau yang pekat; Meski kita boleh melihat ia sebagai tanda bahawa sudah tidak terjaga lagi keadaan di situ.

Dedaun kering - yang membahagiakan tentangnya adalah warna kuning yang meneman hijau terang; Meski kita sepenuh sedar yang ia sudah layak dipijak keras.’

Sebaik sahaja tiba di ‘pejabat’ kecilnya, Shah melabuhkan punggung di atas kerusi empuk kepunyaannya. Dia mencapai sebatang pen hitam dan buku jurnal kulit keras berwarna merah hati dari sudut yang digelarnya ‘koleksi sentimental’ lalu dicatatkan ‘hikmah cinta’ dapatannya hari itu. Tulisan itu dari hati, untuk hatinya dan hati-hati kesayangannya di kemudian hari.

Kita ini manusia. Selalu sahaja berasa kecewa. Senang sahaja untuk mengeluh.
Tiada salahnya. Sesekali kita perlu juga melihat kejelekan hidup ini.
Tapi, mengapa harus kecewa itu menyirnakan warna-warna ria dalam hidup kita?

Aku terlihat pokok durian nan sebatang tadi.
Di bawahnya rerumput menghijau.
Aku terlihat diriku.

Pada indahnya sebatang pokok itulah rerumput kecil riang bertunas.
Mereka mengitari kehidupan pohon yang bersendirian.
Berbakti kepada manusia, untuk udara yang kita hembuskan.

Demi Allah.
Shah dan cinta, jangan berhenti bahagia.

-Shah Z-

12102013

Sunday, November 18, 2012

Oh Alamku


Air sungai semakin sebak, titisan air hujan dikatakan turun sebesar biji guli. Tarinya makin galak, membasuh sekian banyak dosa di atas daratan, panahan kilat kadang-kadang menyambar tubir buana. 

Bumi sepertinya sudah tidak mampu lagi menanggung curahan langit. Air keruh yang mengalir deras menunda segala macam kejadian di tebing dan hulu sungai. Balak-balak yang hanyut pula seakan memberi gambaran amukan alam. Air ini, hanyalah air, namun seakan mampu memberi kemeranaan.

*        *        *        *        *

 “Berapa kali saya sudah pesan, hentikan kerja pembangunan. Jangan kerana alam itu bisu, tidak bersuara, kalian fikir ia tidak mampu berteriak. Bahananya menunggu kita semua juga nanti. Janganlah butakan mata hati kalian dengan harta yang sementara. Lupakah dengan cerita Lubuk Mandi?” suaranya mengapung-apung di udarakasa. Ratusan pasang mata memerhati gelagatnya. Kemudian mereka kembali meratah tebing. Langsung tidak diendahkan nasihatnya. Dia teramat kecewa.

*             *                  *                  *                  *

Alam sudah tidak seriuh dahulu. Tiada lagi burung yang berkicauan atau pawana yang menarikan daun di hujung ranting. Alam merajukkah dengan orang yang menodai dirinya?

‘Alam, jangan berlagu hiba. Burung, menyanyilah! Daun, menarilah!’ Dan dia tenggelam dalam lamunannya, jauh, jauh sekali.

“Anak, bangun nak,” suara serak-serak basah mengejutkannya dari lena. Dia terkejut besar. Satu lembaga gagah terpacak di hadapannya dengan sepersalinan lengkap pegawai istana, destar ikatan dendam tak sudah, wajahnya sudah agak tua. Diseluruhi lembaga itu. Keris tersisip di pinggang, hulu yang bulat lonjong bertatah permata. Taming Sari!

“Bersuaralah, anak muda! Jangan khuatir, ini kurnia dari zat Allah jua, memiliki buana dan segala isinya.”

Dia menggerakkan lidahnya, tidak percaya.

“Ini laksamanakah?” terketar-ketar dia bersuara.

“Sepertinya begitulah. Tuhan menetapkan kita bertemu, anak muda.”

“Bagaimana….? Err…”

“Adapun hamba ini membawa pesan. Daripada bijak pandai zaman dahulu dan segala utusnya.”

“Pesan? Maksud Datuk Laksamana?”

“Pertama pesan hamba untuk anak, kekadang nikmat ditahan Tuhan buat sekian lamanya tidak bermakna zalimnya Tuhan itu seperti tanggapan orang yang lemah akalnya. Seperti juga orang yang tiada mampu melihat, nescaya terhindarlah dia daripada menanggung dosa melihat yang maksiat, yang tuli itu terhindar daripada dosa mendengar fitnah, yang bisu terhindarlah daripada celaka mulutnya. Terhijab pancaindera terhijab dosa pada fikiran orang yang panjang akal.”

“Faham Datuk Laksamana. Pesan yang kedua?”

“Pesan hamba yang kedua, adalah alam ini kurnia dari Tuhan juga, untuk dimanfaatkan oleh kita bangsa manusia sebaiknya. Maka peliharalah alam ini sebaiknya. Pekerjaan mencari rezeki itu tidaklah dihalang oleh Allah, adapun biarlah ia kena pada batasnya. Hendaklah sentiasa bersyukur pada Tuhan. Jangan kiranya seperti Kota Melaka. Oleh sebab rajanya tamak haloba, habis punah tamadun bangsa. Adalah penyakit cinta akan harta amatlah dahsyatnya pada umat manusia. Seperti kaum dahulu banyak jatuhnya kerana berebut harta. Lagi diingat alam ini bukan dipusakai daripada lempoyang, tapi untuk diwariskan, hak anak cucu. Hak itu jatuhnya pada amanah. Amat azab pada yang tiada menjaga amanah.”

“Er.. Terima kasih, Datuk Laksamana.”

“Baik. Sampaikan salam hamba pada keluargamu.”

Belum sempat dia bertanya lanjut, Laksamana Hang Tuah hilang laksana ditiup semilir perinya. Kepalanya berdenyut-denyut. Dirasakan dunia ini semakin gelap, matanya terasa berat metah. Segala-galanya kelam, gelap.

"Hanyutkan luka ke dalam deras alirnya.."

Dan aku melenguh. Sesiapa pun tidak akan pernah percaya akan ceritaku. Namun aku tidak kisah, asalkan bumi tempat bermain ini kembali girang. Burung mula bernyanyi semula, dedaun pun menari kembali. 

Dan kini, janjinya itu melepa di dalam diri; jangan nyanyian dan tarian alam pernah berhenti.  

Thursday, June 2, 2011

Cerpen: Akhir Rasa Ini


AKHIR RASA INI
OLEH: Eika Fereizya SM


“Astaghfirullahal'azim...” Fatullah Hakim mencerlus keluhan sembari menekap tangannya ke muka. Tidak sedar berapa lama dia tertidur di sudut itu. Lantas dia bangun menuju ke tingkap dan dijengahnya ke luar.

Senja yang indah telah lama berlalu disusuli gelap merayap. Gelap yang selalu mengingatkannya kepada seseorang yang hadir dan pergi secara diam-diam tatkala gerimis turun renyai-renyai menyerupai jarum-jarum tajam yang berdenting di atas genting. Gemersiknya ibarat petikan gitar seorang musafir di tengah hamparan padang luas, menyuguhkan kesepian dan kesunyian. Perasaan Hakim saat itu membuncah, pilu, pedih, seperti ada luka lama yang kembali berdarah, menjemput rindu segenap kenangan.

Angin menderu nyaman dari arah tenggara, walaupun agak dingin namun menenteramkan juga. Sayangnya semua itu langsung tidak memberi kesan kepada Hakim. Lalu, Hakim termenung sendiri membuka jendela menyaksikan malam: bintang, bulan dan angin yang bisu. Malam gelap gelemat. Diintainya dada langit yang tersergam namun tiada sebutir bintang pun di sana kerana ditutupi gumpalan awan tebal.

Dan malam itu, mungkin lima tahun yang lalu, untuk kesekian kalinya Hakim bermimpi bertemu seorang gadis cantik yang senang menundukkan pandangannya dan sesekali mencuri pandang di antara semak ilalang, pohon-pohon tua dan temaram cahaya bulan. Tetapi arrghh..betapa cepat semua itu berlalu.

Betapa sudah lama Hakim mendambakan gadis itu menjadi pendamping hidupnya, membina keluarga sakinah, melahirkan anak-anak soleh solehah. Hakim kemudian kerap kali mengigau memanggil-manggil namanya, namun ketika terjaga yang ditemui hanya kesunyian belaka. Tangannya seolah-olah menggapai ruang hampa. Sementara tubuhnya terasa bagai terhempas jauh ke angkasa.

*****

“Zuleika, benarkah kata ibuku kamu akan ke Mesir ?”
“Nampaknya begitulah,”
“Untuk apa ya kamu mesti ke sana?”
“Saya ingin melanjutkan pelajaran. Kebetulan pula, teman saya juga mendpat peluang menyambung pelajarannya di sana. Mungkin ini rezeki kami,” jelas Zuleika seraya menguntum senyuman kecil di bibir mungilnya.

Tetapi bagaimana denganku nanti, Zuleika? Siapa lagi yang harus ku renung bila mencari ketenangan ? Getus hati Hakim tidak keruan. Pelbagai persoalan mula menerawang segenap kotak fikirannya.

“Hakim !” lamunan Hakim terbebar kala suara halus Zuleika mercup di telinganya.
“Mak sudah khabarkan hal ini kepada jiran-jiran. Dalam dua tiga hari lagi, kami akan adakan kenduri kesyukuran dan doa selamat. Jemputlah datang ya.”

“Kamu yakin dengan keputusan ini ? Bila kamu akan berangkat ?” Hakim berbasa-basi.

“Sudah pasti. Saya tidak mungkin akan lepaskan peluang ini. Mengikut perancangan saya, kami bakal berangkat ke sana lebih kurang satu hingga dua bulan lagi.” begitu semangat Zuleika meneguh azam di dasar hati.

Hakim tertunduk. Tiada sebarang respon yang ditunjukkan. Zuleika turut membisu bagai menanti bicara sang nara di hadapannya. Agak lama juga mereka membisu seribu bahasa di situ.

“Zuleika..” suara Hakim bergetar. Matanya tertancap pada seraut wajah ayu yang selama ini mengundang rindu dan menghangatkan cinta di dalam hatinya.
’’Semoga berjaya,” ringkas Hakim meluahkan kata-kata terakhirnya sebelum berpaling pergi meninggalkan Zuleika terkulat-kulat sendirian.

Terima kasih, Hakim. Desus hati kecil Zuleika tatkala kata-kata Hakim mencerlus di telinganya. Ngeluyur benaknya dihenyak kehampaan. Berat pula rasa hatinya ingin meninggalkan tanah air tercinta. Atau... kerana Hakim? Arrghh.. usahlah berharap. Zuleika mengetap bibir seraya mengatup matanya rapat-rapat. Begitulah pertemuan dua sahabat petang itu. Sedih dan sebak bersarang di hati masing-masing. Menggelodar dan menghenyak.

*****

Lima tahun penantian adalah satu jangka waktu yang amat membebankan perasaan Hakim. Rindunya bagai tidak tertahan lagi tatkala berjauhan dengan gadis pujaan. Zuleika itulah gadis yang bertakhta di hatinya sejak dulu, kini dan slamanya. Pemuda itu bukannya tidak kacak, malah lebih kacak lagi berbanding bintang-bintang Hollywood mahupun Bollywood di luar sana.

Begitulah, kasih Hakim bagaikan sukar untuk ditukar ganti. Hakim tidak putus-putus berdoa agar mereka akhirnya disatukan jua dengan ikatan suci yang halal lagi diberkati suatu hari nanti. Dia bahkan bertekad akan menyunting gadis tersebut sebaik sahaja gadis itu pulang ke tanah air dalam waktu terdekat ini. Begitulah impian kasih yang terpendam di jiwa setelah sekian lama menanti.

*****

Hari itu cuaca cerah. Perasaan riang dan gembira galak menggelodak sanubari. Permaisuri hati akan kembali ke tanah air dan menetap di kampung itu lagi. Menunggu detik pertemuannya dengan Zuleika, hati Hakim bagaikan tidak sabar. Segala impian akan dikotakan sebaik mungkin. Namun begitu siapa yang dapat menahan kehendak takdir? Siapa yang mampu menghalang kemahuan suratan suratan yang sudah ditentukan Ilahi ?

Khabar yang diterima daripada kunjungan teman rapat ibunya benar-benar menyentak hati, meluluhkan segenap harapan yang terbina. Zuleika, gadis yang diimpikan menjadi suri di dalam hidupnya bakal mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan keluarga. Belumpun cukup sehari kepulangan Zuleika ke kampung halaman, cerita tentang pertunangan itu sudah gah diperkatakan orang kampung. Arakian tiada peluang lagi untuk Hakim  merebut kasih Zuleika. Dia tidak mungkin merampas hak orang lain. Itu bukan dirinya. Lebih-lebih lagi calon tersebut merupakan pilihan orang tua, sudah tentu yang terbaik untuk diri Zuleika.


Mengenangkan wajah kenangan bersama Zuleika, hati Hakim diruntun pilu. Sesungguhnya dia gagal memujuk hatinya melupakan Zuleika. Namun sebagai seorang hamba, Hakim tidak mahu berputus asa dari rahmatNya. Sekarang dia sudah gagal dengan segala nasihat dan pujukan. Hanya dengan doa ke hadrat Ilahi sahaja yang mampu mendorongnya agar ikhlas menerima ’kehilangan’ ini.


******

Petang itu Zuleika keluar mengambil angin di sekitar kawasan rumahnya. Walaupun sudah lama dia meninggalkan kampung itu, namun sikit pun tiada riak canggung justeru saat inilah yang dirindui pada masa di Mesir. Melihat sawah padi yang subur menghijau di sepanjang jalan yang dilaluinya, hatinya bertambah tenang.

Tiba-tiba matanya tertancap ke arah seorang lelaki berbaju hijau yang sedang duduk di sebuah bangku bawah pokok di tengah sawah. Hakim! Zuleika kenal benar dengan pemuda itu walau sudah lima tahun tidak bersua. Ketika itu dia teringat tentang pertunangannya. Entah Hakim sudah tahu atau belum. Lalu dia segera mengatur langkah kaki mendapatkan Hakim di situ.

Hakim agak tersentak dengan kedatangan Zuleika tetapi dia berpura-pura tidak melihat. Renungan matanya sengaja dilempar jauh ke tengah sawah seolah-olah menghumban sgala derita hati di situ. Zuleika melabuhkan punggungnya di sisi Hakim. Senyap.

“Nampaknya siapa antara kita yang paling bahagia?” soal Hakim tiba-tiba. Senyum mesra terukir di bibir.

Zuleika segera menoleh. “Kepada siapa kamu tujukan pertanyaan itu?” soalnya kembali.

“Kamu,” jawab Hakim sepatah.

Zuleika terdiam. Pertanyaan dari pemuda yang banyak mendorongnya bersungguh-sungguh itu entah kenapa membuatnya resah. Masih lekar diingatannya Hakim, pemuda lulusan luar negara merangkap sahabat,abang dan guru itu hadir menyuntiknya dengan ubat semangat dan perangsang pada ketika dia sukar menghayati ilmu.

“Mengapa mendiamkan diri dengan pertanyaan saya?” tanya Hakim setelah berjenak-jenak membiarkan Zuleika melayan lamunan asyiknya. Figura gadis manis itu direnung lama. Zuleika pura-pura tersenyum seolah-olah menjawab pertanyaan itu.

Masing-masing terdiam lagi. Lama. Hakim menghela nafas panjang sehingga didengari Zuleika. Suasana tiba-tiba dirasakan dingin meskipun tiada angin sepoi bertiup membelai lembut dua hati yang sedang gundah.

“Adakah cara begitu memberi untung kepada kamu? Atau ia terbit dari hati yang rela?” Hakim cuba mencungkil apa yang tersirat di hati Zuleika. Tiba-tiba.
“Pertunangan kamu,” sambung Hakim lagi setelah dilihatnya Zuleika kelinglungan tidak mengerti.

“Oh..kamu sudah tahu rupanya,” Zuleika terdiam seketika, cuba menyusun kata jawapan.
“Memang tak memberi apa-apa keuntungan tapi saya rasa tiada salahnya saya pilih cara begini. Hati saya puas. Insyaallah.” balas Zuleika sedikit lantang.

“Hmm..kalau kamu tahu tak ada apa-apa untung, buat apa kamu teruskan juga?” tingkah Hakim agak tegas. “Kamu harus sedar, Zuleika. Ini soal hidup kamu. Bukan main-main.” sambung Hakim lagi.

Zuleika bingkas bangun dari bangku itu lantas bersuara, “Saya tahu dan ini keputusan saya. Saya berhak tentukannya. Jadi salahkah saya ingin membalas jasa ibubapa saya selama ini? Ini mungkin jodoh dari Allah. Saya senang menerimanya.”
“Lagi satu, ini soal keberkatan. Macam yang kamu pernah kata pada saya dulu. Pada awalnya saya gembira ingin kongsikan perkara ini dengan kamu kerana saya fikir kamu faham tapi..? Kenapa kamu katakan semua ini?” sambung Zuleika polos disamping berusaha menahan kemarahannya.

“Saya cuma mengharapkan agar apa yang saya impikan jadi nyata, Zuleika!” balas Hakim dengan suara yang lirih.

“Apa kaitannya?” soal Zuleika kebingungan.

“Maaf. Tiada kaitan.” pantas Hakim menjawab sembari menggeleng kepalanya. Sesungguhnya dia tidak mahu Zuleika mengesan segala yang dipendam selama bertahun-tahun lamanya.

“Tak kisahlah, Hakim. Tak  semua yang kita impikan tu ditunaikan Tuhan. Banyak yang kita minta tapi sikit yang dianugerahkanNya. Bukan kerana Dia tak sayangkan kita, tapi itulah caranya Dia nak lihat sejauh mana kita redha dan pasrah dengan segala ketentuan,” jelas Zuleika lagi penuh makna lalu pantas mengatur langkah pergi dari situ. Spontan tangannya menyeka titisan hangat yang entah sejak bila mengalir di pipinya.

Hakim terkedu. Hatinya bagai terhenyak dengan kata-kata Zuleika pujaan hatinya itu. Sesungguhnya kata-kata itu benar belaka. Sebagai manusia yang beriman, segala ujian ini sepatutnya menguatkan lagi rasa taqwa dan pasrah kepada Tuhan. Hakim tidak lagi menoleh apatah lagi berniat mengejar gadis itu. Biarlah kami memujuk hati masing-masing, fikirnya.

*****

Beberapa minggu selepas itu, Zuleika yang dikenalinya lebih enam tahun lalu kini sudah menjadi seorang gadis bergelar tunangan orang. Hati Hakim bagai diruntun jelu yang amat sangat ketika itu. Lantaran itulah dia tidak mahu menghadiri majlis pertunangan itu biarpun sudah diajak berkali-kali oleh ibunya.

“Kau jangan menyesal, Kim. Kali ini sajalah peluang kau nak bertemu Eika tu sementara dia masih anak dara. Selepas menjadi isteri nanti, memang tak ada harapanlah kau nak jumpa dia lagi,” ujar Mak Jah separuh memujuk.

“Apalah ibu ni. Sekarang dia sudah di’book’. Apa pula kata orang nanti kalau Kim masih berjumpa lagi dengannya ?” begitu alasan Hakim.

“Maksud ibu, sebagai kawan macam dulu-dulu tu. Ini tak, seorang ke timur, seorang ke barat. Ibu tak senanglah melihat kamu berdua begini.’’ Balas Mak Jah. Tegas.

“Nanti-nantilah bu..,” acuh tak acuh Hakim menjawab. Matanya sedikit pun tidak berganjak dari skrin telefon bimbit yang baru dibelinya kira-kira sebulan lalu.

“Suka hati kaulah. Buat penat saja ibu layan kau ni,”cerlus Mak Jah seraya bangkit melangkah ke dapur.


*****

        Pagi itu dingin sekali. Tak seperti kebiasaannya, membuatkan mimpi Hakim tika itu terbebar dari lena yang panjang. Dia melirik jam di pergelangan tangannya. Sekarang sudah pukul sembilan pagi. Rasa resah, gelisah dan serba salah tiba-tiba saja menerkam benak Hakim. Mungkin kerana kegagalannya menunaikan tanggungjawab utama sebagai umat Islam pagi itu. Hakim kemamar sejenak. Cepat-cepat dia bangun dari katilnya dan menuju ke bilik air. Mendadak lafaz istighfar tercerlus meniti bibirnya.

        “Kim, cepat turun ! “ jerit Mak Jah dari dapur.
 Hakim tidak menyahut.
“Fatullah Hakim, buat apa lagi dalam bilik tu? Tak bangun lagi? Matahari sudah tegak segalah begini,” sambung Mak Jah sambil menuangkan teh ke dalam cawan di atas meja.

        Seusai berdoa, Hakim melipat sejadahnya lantas segera mempercepat langkahnya ke dapur.
 “Maaf ya bu, tadi Kim...” kata-kata Hakim terhenti tatkala melihat seseorang yang amat dikenalinya sedang duduk sendirian di meja makan. Zuleika! Langkahnya terhenti di situ. Lama.

“Tunggu apa lagi di situ? Ayuh, kita makan! Ibu panggilkan ayah kau dulu,ya,”  suara Mak Jah yang mencerlus serentak bahunya ditepuk, gesit menempiar segala ngeluyur benak. Terpisat-pisat biji mata Hakim namun sengihan berjaya menutup malu.
 Ibu ni sengajakah hendak membiarkan kami berduaan di sini? Ish..menyesal aku tak lari tadi. Ngomel Hakim sendirian. Apa pula tujuan Zuleika datang ke mari pagi-pagi begini? Hendak diteka tidak berani pula kerana takut tersalah sangka.

Lantaran itu dengan bersahaja Hakim melabuhkan punggungnya di meja yang sama. Sajian di depan mata cuba dijamah berselera sedang ombak besar yang bergulung di dalam dada menelan suara persoalan yang terumbang-ambing di dalam hatinya.

Masing-masing terkedu kala mata saling bertautan. Gadis itu tertunduk seraya menghirup teh panas yang sudah lama terhidang untuknya. Hakim turut melemparkan pandangannya jauh ke luar tingkap.

“Apa khabar?” terpacul soalan itu dari bibir Hakim tiba-tiba. Teh dihirupnya perlahan.

“Alhamdulillah, sihat,” balas Zuleika lembut.

“Ibu jemput kamu bersarapan di sini?” Hakim berbasa-basi. Dia cuba mencungkil jawapan bagi persoalan yang bermain-main di benaknya sejak tadi.

“Hmm..tak juga. Sebenarnya mak yang suruh. Saya datang tadi..untuk menghantar jemputan ini,” lambat-lambat Zuleika menutur bicaranya. Tangannya menghulur sekeping kad jemputan berwarna biru lembut.   

Hakim menyambut kad itu perlahan-lahan.
“Terima kasih,” dia tersenyum tawar memandang gadis di hadapannya itu.

Zuleika membalas senyuman Hakim tanpa sepatah kata. Dia melihat Mak Jah disamping suaminya, Pak Johar sedang menuruni anak tangga ke ruang dapur. Tanpa berlengah, Zuleika meminta diri untuk pulang. Tak mampu dia bertahan lebih lama di rumah itu. Begitu janggal rasanya.

Sewaktu Zuleika mengatur langkah menuju ke luar, Hakim sempat mengerling ke arahnya. Laju bibirnya menjawab salam Zuleika di hadapan pintu walaupun hanya kedengaran sayup di telinga. Pandangan yang dialihkan semula ke arah sajian di depan mata, tertancap pada kad jemputan yang diterima tadi. Tangannya ringan membelek-belek kad tersebut. Namun tak dibuka pula.

Berjalan pulang dari rumah Hakim, Zuleika mengeluh panjang. Dia teringatkan peristiwa semasa di sawah tempoh hari. Dia benar-benar terpukul dengan kata-kata Hakim kala itu. Segala lakaran ingatannya tiba-tiba muncul. Jelas.

Hakim, aku tidak berdaya membelakangi fitrah insaniah, kerana aku tak ingin menolak takdir buat diriku. Saat Allah menghadirkan cinta sang adam di hatiku dayaku membuka seluas-luasnya ruang ini, agar terbentang luas jalan buatku meniti sinar kasihmu. Andai kau tahu, Hakim..

*****

Keheningan malam  begitu mendamaikan hati Hakim lantas dia memutuskan untuk duduk lebih lama setelah selesai solat Isya’. Selesai wirid, Hakim mengangkat menadah tangan, berdoa setulus hatinya. Air mata Hakim mulai menitik. Dia tidak berdaya lagi menahan sebak di dada. Fikirannya bagai dihantui dosa-dosanya yang selama ini dilakukan tanpa dia sedari. Mendadak air suam mengalir ke pipi mengenangkan rahmat dan nikmat dari Allah yang selama ini juga tidak pernah putus dikurniakan kepadanya.

Ketika itu Hakim tersedar, dunia ini hanyalah bayang. Siapa yang mengejarnya akan kepenatan, siapa yang berpaling darinya ia akan mendatangi. Begitulah dirinya. Rasa sedih dan kesal mulai membelai seluruh diri. Ruang dada bagai terhenyak.

Terlalu banyak dosaku, Ya Allah. Aku telah mensia-siakan hidupku dengan memuja bayang sedangkan Kau, pencipta bayang. Kaulah cahaya keindahan di sebalik keindahan.
 Aku lalai dari mengingatiMu dan mensyukuri nikmat-nikmatMu, mengejar-ngejar gadis yang tidak halal bagiku, membiarkan hatiku terisi dengan khayalan palsu ciptaan nafsu, menyalahgunakan nikmat mata dengan memanah pandangan zina terhadap ajnabi, argghh...!!

 Tercerlus keluhan tanpa dapat dikawal. Hakim memejamkan mata rapat-rapat, cuba menyisih segala bayangan itu dari berkelintar di benak. Sukar. Sungguh sukar dan semakin mengasak-asak membuatkan segalanya tertayang semula di layar ingatan.

Selepas apa yang terjadi, Hakim sedar dia sudah pun menerima balasannya. Barangkali kerana kafarah dosanya, Zuleika akhirnya jatuh juga ke tangan orang lain. Arghh biarlah! Perancangan Tuhan adalah yang terbaik. Dia juga tahu kasih sayang Allah sentiasa mendahului kemurkaanNya.

Lautan yang bergelora di dalam dada Hakim mulai tenang. Kilat dan guruhnya juga mulai reda. Malam itu diisikan sepenuhnya untuk  bermunajat memohon keampunan, kekuatan, tempat pergantungan dan limpahan keredhaanNya. Dia bertekad tidak akan berpaling dari jalan ini. Biarlah jodoh bukan di dunia, asalkan cinta Allah mengiringi. Pujuk hatinya penuh harapan.


*****


“Ibu sudah bersiap-siap untuk pergi ke rumah Zuleika tu?” tanya Hakim sekadar berbasa-basi. Mak Jah tidak menjawab sebaliknya tergesa-gesa keluar rumah. Malas nak layan akulah tu. Hakim membuat andaiannya sendiri.
Dari luar rumah Hakim mendengar ibunya bersuara, “Kau jangan tak pergi ke rumah Zuleika tu. Tolong apa-apa yang patut!”
Hakim mencebik.
Lambat-lambat dia menyarungkan baju Melayu. Kain pelekat dikemaskan. Alah, sekadar menghormati majlis dan memenuhi jemputan. Tiada guna pun aku melawa sedang hari ini adalah hari sedihku. Fikir Hakim, keanak-anakkan. Sepucuk surat tidak lupa disematkan di dalam saku bajunya.

Suasana begitu meriah walaupun majlis perkahwinan itu hanya diadakan secara kecil-kecilan. Tetapi Zuleika sedikit kecewa dan terkilan. Entah kenapa sebabnya, dia sendiri tidak pasti. Di jendela, dia terus termenung sambil merenung sayu ke arah Hakim yang sedang bersendirian di beranda rumahnya

“Cantiknya,” suara Mak Jah yang entah datang dari mana mengejutkan Zuleika.

Zuleika tersenyum saja mendengar kata-kata Mak Jah.

“Mak Jah dah nak balik ni. Tahniah. Semoga bahagia sampai bila-bila. Ni ada surat. Dari Hakim,” Mak Jah berbisik sambil meletakkan sepucuk surat di atas ribaannya dan terus berlalu dari situ.
Dijenguk ke luar, Hakim sudah tiada lagi di situ. Dengan perasaan tidak sabar dia membaca surat tersebut.

Buat Zuleika yang dikasihi,

Tiada apa yang dapat saya katakan di sini selain mendoakan kebahagiaan kamu. Perkenalan kita adalah saat paling berharga dalam hidup saya. Nyata pertemuan kita menerbitkan rasa sayang melebihi seorang sahabat. Sayangnya saya sudah terlewat. Kamu sudah menjadi milik orang, Zuleika. Saya bahagia jika awak bahagia. Dari jauh saya kirimkan doa..Maafkan saya kerna menyembunyikan perasaan terhadap kamu selama ini. Doakan jodoh yang terbaik buat saya.. Terima kasih atas segalanya..

p/s: Taatilah suamimu seadanya. Ingatlah, syurga seorang isteri terletak di bawah telapak kaki suami..

Yang benar,
Hakim.

Menitis air matanya seusai surat itu dibaca. Dia beristighfar panjang. Nampaknya antara kita tidak ada jodoh, Hakim. Kita hanya boleh menjadi sahabat. Kau sememangnya sahabat yang baik. Aku juga mendoakan kebahagiaanmu. Semoga kau dipertemukan dengan gadis yang lebih baik dariku. Zuleika bermonolog sendirian.

“Eika, Jehan nak masuk ni,” panggilan emaknya menyedarkan Zuleika dari lamunan. Dia tersenyum melihat Jehan yang begitu segak dengan baju Melayunya. Air matanya semakin galak membasahi pipi apabila Jehan mengucup dahi. Dia berdoa semoga hari-hari mendatang adalah hari yang bahagia untuk mereka berdua. Sesungguhnya dia telah berjanji pada dirinya untuk membahagiakan Jehan dan keluarganya.

Perlahan-lahan Hakim melangkah pulang ke rumah. Mendongak ke langit melihat bintang yang hilang di sebalik gumpalan awan. Kamu seperti bintang itu, Zuleika. Tidak mampu mengerdipkan cahaya indah kamu untuk seorang bergelar aku. Fikirannya terus melayang. 

Tiga tahun berlalu. Pagi itu ceria walaupun renyai hujan galak menitis ke bumi. Angin menderu segar dan dingin. Seperti hari-hari biasa, Hakim gagah melangkah dan mencorak lembaran baru dalam hidupnya. Buku lama sudah lama ditutup. Tersenyum-senyum Hakim di sepanjang jalan menuju ke pejabat. Alam dirasakan turut tersenyum bagai memahami hakikat kebahagiaan sebenar yang dikecapinya kini.


“Ops...minta maaf,” gadis  bertudung labuh yang melanggar tersenyum kesal. “Tak sengaja. Saya cari papan tanda tadi. Tak jumpa pula.”

“Tak apa,” Hakim tersenyum.

“Di sini Fatha Arkitek ke ?” soal gadis itu mendapatkan kepastian.

“Ya, di sini. Cik ada temu janji ?”

“Oh ya, saya mahu berjumpa Encik Fatullah,” dia masih tersenyum.

“Hmm..kamu siapa ya ?” soal Hakim ramah.

“Saya Fariza,” jawabnya pantas.

“Kalau macam tu masuklah. Saya perlu ke pejabat dulu. I’ll be right back,” ujar Hakim bersahaja.

        Fariza bingung. Berkerut dahinya. Hakim yang amat memahami tingkah Fariza tika itu lantas menunjukkan tag namanya kepada gadis tersebut. FATULLAH HAKIM.

Terpisat-pisat biji mata Fariza melihat nama yang tertera pada tag tersebut. Dia tidak menyangka sama sekali yang jejaka itu adalah pemilik Fatha Arkitek, yang dicarinya pada hari itu. Wajahnya merona merah. Malu. Hakim tersenyum di dalam hati. Hendak tergelak pun ada.

 Sewaktu meninggalkan ruang menunggu menuju ke pejabatnya, Hakim sempat melirik pada gadis bertudung hijau muda itu. Fariza kelihatan tidak keruan, mengeleng-geleng kepalanya mengenangkan ketidak matangan dirinya. Leluconnya di hadapan Hakim sebentar tadi membuahkan tawa, menyebabkan lesung pipit di pipinya nampak lebih jelas. Barisan giginya yang putih dan teratur memaniskan wajahnya yang cantik.

Tiba-tiba jantung Hakim berdebar-debar. Mercup satu perasaan aneh di dalam hatinya. Serasa ada sejalur bianglala indah menjengul di celah-celah gumpalan awan putih. Hujan pagi itu telah memercupkan kelopak bunga-bunga di taman tepian bangunan itu. Harumnya mencecah bianglala yang melengkung di kaki langit. Barangkali akhir rasa ini....


[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]