.:Followers:.

Sunday, November 18, 2012

Oh Alamku


Air sungai semakin sebak, titisan air hujan dikatakan turun sebesar biji guli. Tarinya makin galak, membasuh sekian banyak dosa di atas daratan, panahan kilat kadang-kadang menyambar tubir buana. 

Bumi sepertinya sudah tidak mampu lagi menanggung curahan langit. Air keruh yang mengalir deras menunda segala macam kejadian di tebing dan hulu sungai. Balak-balak yang hanyut pula seakan memberi gambaran amukan alam. Air ini, hanyalah air, namun seakan mampu memberi kemeranaan.

*        *        *        *        *

 “Berapa kali saya sudah pesan, hentikan kerja pembangunan. Jangan kerana alam itu bisu, tidak bersuara, kalian fikir ia tidak mampu berteriak. Bahananya menunggu kita semua juga nanti. Janganlah butakan mata hati kalian dengan harta yang sementara. Lupakah dengan cerita Lubuk Mandi?” suaranya mengapung-apung di udarakasa. Ratusan pasang mata memerhati gelagatnya. Kemudian mereka kembali meratah tebing. Langsung tidak diendahkan nasihatnya. Dia teramat kecewa.

*             *                  *                  *                  *

Alam sudah tidak seriuh dahulu. Tiada lagi burung yang berkicauan atau pawana yang menarikan daun di hujung ranting. Alam merajukkah dengan orang yang menodai dirinya?

‘Alam, jangan berlagu hiba. Burung, menyanyilah! Daun, menarilah!’ Dan dia tenggelam dalam lamunannya, jauh, jauh sekali.

“Anak, bangun nak,” suara serak-serak basah mengejutkannya dari lena. Dia terkejut besar. Satu lembaga gagah terpacak di hadapannya dengan sepersalinan lengkap pegawai istana, destar ikatan dendam tak sudah, wajahnya sudah agak tua. Diseluruhi lembaga itu. Keris tersisip di pinggang, hulu yang bulat lonjong bertatah permata. Taming Sari!

“Bersuaralah, anak muda! Jangan khuatir, ini kurnia dari zat Allah jua, memiliki buana dan segala isinya.”

Dia menggerakkan lidahnya, tidak percaya.

“Ini laksamanakah?” terketar-ketar dia bersuara.

“Sepertinya begitulah. Tuhan menetapkan kita bertemu, anak muda.”

“Bagaimana….? Err…”

“Adapun hamba ini membawa pesan. Daripada bijak pandai zaman dahulu dan segala utusnya.”

“Pesan? Maksud Datuk Laksamana?”

“Pertama pesan hamba untuk anak, kekadang nikmat ditahan Tuhan buat sekian lamanya tidak bermakna zalimnya Tuhan itu seperti tanggapan orang yang lemah akalnya. Seperti juga orang yang tiada mampu melihat, nescaya terhindarlah dia daripada menanggung dosa melihat yang maksiat, yang tuli itu terhindar daripada dosa mendengar fitnah, yang bisu terhindarlah daripada celaka mulutnya. Terhijab pancaindera terhijab dosa pada fikiran orang yang panjang akal.”

“Faham Datuk Laksamana. Pesan yang kedua?”

“Pesan hamba yang kedua, adalah alam ini kurnia dari Tuhan juga, untuk dimanfaatkan oleh kita bangsa manusia sebaiknya. Maka peliharalah alam ini sebaiknya. Pekerjaan mencari rezeki itu tidaklah dihalang oleh Allah, adapun biarlah ia kena pada batasnya. Hendaklah sentiasa bersyukur pada Tuhan. Jangan kiranya seperti Kota Melaka. Oleh sebab rajanya tamak haloba, habis punah tamadun bangsa. Adalah penyakit cinta akan harta amatlah dahsyatnya pada umat manusia. Seperti kaum dahulu banyak jatuhnya kerana berebut harta. Lagi diingat alam ini bukan dipusakai daripada lempoyang, tapi untuk diwariskan, hak anak cucu. Hak itu jatuhnya pada amanah. Amat azab pada yang tiada menjaga amanah.”

“Er.. Terima kasih, Datuk Laksamana.”

“Baik. Sampaikan salam hamba pada keluargamu.”

Belum sempat dia bertanya lanjut, Laksamana Hang Tuah hilang laksana ditiup semilir perinya. Kepalanya berdenyut-denyut. Dirasakan dunia ini semakin gelap, matanya terasa berat metah. Segala-galanya kelam, gelap.

"Hanyutkan luka ke dalam deras alirnya.."

Dan aku melenguh. Sesiapa pun tidak akan pernah percaya akan ceritaku. Namun aku tidak kisah, asalkan bumi tempat bermain ini kembali girang. Burung mula bernyanyi semula, dedaun pun menari kembali. 

Dan kini, janjinya itu melepa di dalam diri; jangan nyanyian dan tarian alam pernah berhenti.  

No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]