Di satu kawasan padang rumput menghijau yang
lapang dan sayup mata memandang, angin petang bertiup perlahan. Cahaya jingga
samar-samar kelihatan dari langit atas. Menyilaukan. Namun hairan, bahangnya
tidak pun terasa.
Di kawasan lapang ini, setelah sebentar tadi
saya mendongak – memandang dari arah mana cahaya jingga tadi datang, saya tertunduk
mencari wajahnya yang sedang menghampiri. Semakin kecil mata saya pejamkan,
semakin jelas – seorang gadis, bertudung labuh merah lembut, berbaju jubah
merun berjalan mampir.
"Nisa’!" Saya meyambutnya teruja, dengan
senyuman lebar.
"Eika...", sahut An-Nisa’ perlahan.
Kedengaran dia melepaskan lelah yang masih berbaki.
"Aku tidak faham lagi akan perasaan
sendiri. Aku tidak mahu begini." Terus saja saya meluah rasa.
An-Nisa’ ketawa kecil. Membetulkan
kerudungnya dan lekas menarik saya duduk di bawah pohon tempat saya menunggu.
"Itulah, dulu kau kuat sangat menentang.
Asyik kata itu tidak lebih dari proses hormon, trend dan biologi!"
An-Nisa’ berseloroh dan meletus ketawa kecil.
"Manalah aku tahu. Tapi ini bukan
semata-mata salahku."
"Then,
salah siapa? Apa? Keadaan, persekitaran? Takpun.. orang tuamu?"
Argh!
"Bertenang, Eika. Bersabarlah. Bukankah hujung
sabar yang perit ada keajaiban indah dari Tuhan?"
Allah. Musim ini..jiwa selalu dicuit debar yang satu
macam.
HATI. Sungguh, kau tak pernah gagal mendebarkan! |
"Banyakkan puasa, baca Al-Quran,
solat-solat sunat, kurangkan tidur, sibukkan diri. Bacalah buku-bukumu yang katanya
belum bersentuh lagi tu."
Saya mengangguk lemah. Hai diri sendiri.
Takkan melawan emosi pun boleh kelelahan begini sekali? Di mana ‘pejuang’nya kalau
begini?
Cinta ini untuk diperjuangkan hingga ke pengakhiran
dan dijulangkan kemenangan!
"Tahu pun", An-Nisa’ bagai mendengar
bicara yang bermain di minda.
"Mempersiapkan diri juga adalah Cinta, bukan?"
"Ya."
"Kau masih mempersiapkan diri? Atau... telah ‘siap’?"
Saya tidak dapat mengempang bisu. Kami pun
ketawa bersama-sama.
"Hampir siap. Hampir menjadi wanita
mungkin?", saya melebar senyum pada seorang sahabat yang paling kuat saya
menahan rindu padanya itu.
"Kau tahu, berada di kuantum ini besar
sekali dugaannya. Jadi jangan lagi menambah masalah pada hatimu. Hati dia,
apatahlagi. Jika boleh, 'lepaskan' dia dalam medan perjuangan ini, dan
sebaik-baiknya, kau juga perlu turut sama 'menghunus pedang' dan 'memasang perisai’. Tapi dengan caramu
sendirilah tentunya."
Saya termenung, bermuhasabah. Jeda seketika.
Wallah, perasaan indah ini kekadang buat iman
goyah tergugah.
"Ermm, banyak lagi yang perlu aku lakukan,
kan Nisa’?"
An-Nisa’ mengusap pipi saya dan berkata,
"Kau telah membuat pilihan ini, teman. Memilih jalan ini. Memilih dia.
Jangan berpatah semangat. Jangan sekali-kali. Hadapi dengan senyuman seorang
wanita yang hampir ‘siap’, katamu?"
An-nisa’ masih sempat berseloroh.
Saya mengetap bibir, menahan seribu rasa.
"Eika, ada ketikanya, manusia memang
akan dipukul rasa, rebah terjelepok ke tanah. Tapi itulah pelajaran. Inilah
realiti. Manusia pasti melakukan kesilapan. Tapi haruslah sedar sepenuhnya dan berusaha
membetulkan.” An-Nisa’ menghentikan bicara, membiarkan saya berjenak-jenak
dengan kata-katanya itu.
“Pengalaman, Eika. Aku tahu kau mahu menjadi
wanita, bukan lagi yang masih ber’siap’ itu. Haa, inilah. Inilah indikator yang
akan lebih 'mewanitakan'!"
"Masya Allah. Kau selalu begini An-Nisa’.
Kata-katamu selalu membenam terus ke dalam perdu sukma."
Dia tersenyum. Saya pun tersenyum.
Kami bersatu mata. Lama.
‘Aku janji
Eika, kita akan bertemu lagi nanti. Cuma bila… bukan dalam pengetahuanku.’ Saya seakan
terdengar suara hatinya ini sewaktu An-nisa’ memandang saya sebelum bingkas
bangun membawa diri pergi.
"Allah, sahabatku ini sedang menaiki
tangga dewasa. Pimpinlah dia bersamaku." Saya terdengar bicara halusnya. Sebak.
Saya hanya memerhati, memerhati dia terus melangkah
dan terus menjadi watak yang fiktif, meninggalkan saya dewasa dengan pengalaman.
Jauh dari pandangan.
Dari kejauhan itu, saya terdengar rayuan
kerasnya, “Allah. Ambillah apa saja, kecuali Putri Zuleika!”
Allahu Rabbi. Saya terkedu di situ!
No comments:
Post a Comment