*Cerpen ini adalah adaptasi kisah realiti pemilik hati dan fantasi pencintanya.*
Hari
yang indah. Mana terbanding dengan berjuta diskripsi yang direka manusia. Sendirian
di dalam surau pada hari yang indah itu, Shah bertemankan halwa kedinginan yang
mendamaikan. Apa terganti dengan udara dingin dari segenap ruang pintu dan
jendela yang terkuak? Ianya seolah bernyawa dengan abstrak bergeraknya. Dan Shah
seorang pengkagumNya – Sang Pencipta yang memberi nyawa.
Hari
itu seperti selalu, imbasan matanya masih kuat dan jelas untuk melihat
sekeliling. Menangkap titik-titik kekuasaan Tuhan di alam buana yang penuh
kefanaan. Menuntut sedikit kefahaman untuk menterjemah abstrak lukisanNya.
Ah, sebenarnya tidaklah abstrak, cuma mata manusia ini rabunnya yang banyak! Fikir Shah sendiri. Duduk-duduk di kubik hamparan solat, Shah enak
memerhati seluas apa dia mampu.
“Assalamualaikum, sir. Boleh saya tanya sikit?” sapa seorang pelajar.
Terbebar lamunannya. “Waalaikumussalam. Boleh.. Apa dia?”
“Hmm. Sir rasa.. kenapa Tuhan kekadang tidak adil pada kita, ya?” Adam
yang dari tadinya memerhatikan tingkah laku guru juga warden asramanya,
tiba-tiba saja bertanyakan hal itu.
“Kenapa kamu kata begitu?” spontan Shah bertanya. Terkejut, namun cuba
dibendung agar tidak kelihatan.
“Kalau Tuhan itu adil, mengapa saya tidak dijadikan sama seperti
teman-teman lain?” jawab Adam. Jiwanya jelas dirundung resah. Shah diam
membiarkan Adam berjenak-jenak dengan fikirannya.
Adam menyambung bicara, “Saya pelajar bodoh, sir. Belajar macam mana
kuat sekalipun, saya tetap tak capai cemerlang.”
“Saya.. sudahlah cemerkap, kurang pintar, slow learner, takda keberanian
pula, langsung tak seperti yang lain. Saya.. saya ni dengan teman perempuan pun
saya tidak berani berdepan. Dikatakan lelaki, begini?” Sambung Adam, menahan
sebak.
Shah menyimpulkan senyuman. Dilontarkan pandangannya ke
luar, di sebalik kekisi besi putih yang sudah mula dihinggap karat. Terlihat
sebatang pokok durian nan sebatang, tegak di atas bukit menghijau.
“Jadi?” hanya sepatah kata diungkapkan.
Jeda.
“Saya sudah kehilangan, sir.
Hilang punca. Doa saya tidak pun diterima. Saya.. saya tidak pernah dapat apa
yang saya doakan!”
“Adam..” Shah memanggilnya lembut. Diusap perlahan bahu
anak muda itu apabila disedarinya Adam tertunduk sayu.
“Allah tidak pernah menjadikan manusia ini bodoh. Dia
hanya mengurniakan setiap orang dengan kepandaian yang berlainan. Kita semua
mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, kan? Jadi, tiadalah manusia
yang bodoh, yang ada hanya manusia dengan kepandaian yang berbeza. Ingat tu.” Shah
cuba meyakinkan.
Adam yang hanya mendengar tidak terkata apa. Diusap-usapnya
tikar yang memenuhi segenap ruang surau itu, tanpa cinta.
“Lagi pula, jika
semua manusia terlahir pandai, maka takkan ada istilah ‘pandai’ dalam dunia ini. Jika
sempurna segala kejadian di muka bumi, maka bukan di dunialah kita ni, tapi
Syurga!” sambungnya lagi separuh berseloroh.
Adam tersenyum tawar sebelum Shah meneruskan kata, “Jadi
Adam, begitulah, kelahiran insan seperti kamu dan kesemua subjek perbandingan
kamu itu merupakan salah satu bukti keadilan Tuhan sebenarnya - buat pengamatan
kita.”
Adam mengangguk faham. Dia terkelu. Lama.
“Tapi sir.. saya tak terdaya menahan hati daripada
berperasaan sebegini tidak puas hati dengan takdir hidup ini! Bahkan.. ibu bapa
saya juga merasakan yang sama tentang saya. Sir tahu rasanya? Sebenarnya lebih
sakit lagi, kerana penghinaan itu datang berterusan daripada orang tua kita
sendiri. Lebih terluka lagi rasanya kerana keluarga sendiri yang memandang
rendah diri kita ini.”
“Kekadang, saya sepenuh hati mahu menjadi seperti
Zairul. Saya tidak tahu bagaimana, tapi setiap hari apabila saya terlihat
dirinya, saya akan terus membayangkan di dalam hati – menjadi dia setiap hari.”
Sambungnya tanpa dipinta.
“Eh. Kenapa begitu?” Tanya Shah, menjangkakan
penjelasan meski dia sendiri dapat menebak fikiran pelajar di hadapannya itu.
“Dia pelajar cemerlang, sering disenarai hebat dalam kalangan
5 yang teratas. Keramahan dan kepandaian dia lebih menyerlahkan lagi rupa
parasnya yang kacak itu. Dengan itu saja dia boleh menjadi popular di sekolah
kita. Kebanyakan pelajar perempuan juga menyenanginya.”
“Hanya kerana itu?”
Adam mengangguk perlahan.
“Sejujurnya, saya benar bersetuju dengan pandangan
kamu. Saya juga memuji kelebihan yang dia punya.” Balas Shah. Sekadar menduga.
Adam mengetap bibir, seolah sedang menahan seribu satu rasa.
“Tapi Adam, adillah dengan diri kamu juga. Bagusnya dia
di mata kamu tidak harus membuatkan kamu memandang sepi kekurangan dirinya. Saya
yakin kamu tentu masih belum lupa dengan laptop kamu yang dicurinya dulu, kan?
Dia mungkin sebegitu hebat dalam pelajarannya, tapi apalah maknanya andai ilmu
yang dia ada itu tidak dijadikan hikmah buat dirinya sendiri. Dia tidak
sepatutnya bermasalah begitu. Kes kecurian motorsikal cikgu dan
perbuatan-perbuatan khianatnya yang lain? Kamu lupa?” jelas Shah. Bertubi-tubi
‘tembakan’ dilepaskan bagi membuka mata fikiran Adam.
Adam menggeleng sekadarnya. Tidak dapat tidak dia
menafikan perkara itu.
Shah berfikir sejenak. Dengan senyuman paling manis
terukir, dia kembali menyelami lubuk kalbu terdalam pemuda itu. “Adilnya Tuhan
itu harus kita cari citranya pada diri kita terlebih dahulu. Mungkin kamu belum
terlihat citra itu pada diri kamu. Tak mengapa, saya dulu juga begitu.” Mereka
tertawa kecil.
“Barangkali Zairul juga sama, jadi doakanlah dia.”
Bisik Shah, membuatkan Adam menebar senyuman.
“Allah sentiasa adil. Bahkan pada setiap permohonan hamba-hamba
kepadaNya. Saya kira Allah memang sedang berlaku seadil-adilnya pada diri kamu.
Saya dapat lihat, kamu tahu dan sepenuh sedar akan diri kamu. Tapi
kamu juga harus tahu, Adam, itu bukanlah satu dosa, tapi juga kurnia. Segala
kekurangan yang kamu anggap paling besar pada diri kamu itu telah Dia
saksamakan, dengan melindungi kamu daripada noda dunia. Kamu tak pernah membuat
onar di sekolah. bahkan rajin pula ke surau. Faham kan maksud saya?”
“Faham. Mungkin.. entahlah sir, saya terlalu mengharap
kesempurnaan dari Dia. Terlalu menuntut keadilanNya. Dalam setiap doa dan
harapan saya.” Adam membalas. Kedengaran defensif.
“Tak salah, Adam. Cuma jangan pernah lupa hakikat ini: Mungkin
Dia lambat mengabulkan hasrat hati hambaNya, Adam ini kerana Dia Maha Tahu ada
satu waktu nanti yang paling sesuai bagi kamu untuk itu – Iaitu bukan sekarang.
Mungkin juga Dia takkan langsung memakbulkan doa kamu, kerana ada sesuatu yang
jauh lebih baik untuk kamu nanti daripada apa yang kamu hajatkan waktu ini.
Fahami definisi ‘adil’ Sang Maha Rahim, dan kamu akan yakin sepenuh hati,
Adam.” Ujar Shah. Padu dan meyakinkan.
“Insya Allah sir. Saya mahu cuba.” Teragak-agak, Adam
meluahkan.
“Sabar, ikhlas dan redha sahaja. Dan Allah
pelihara segala. Percayalah.” Shah separuh memujuk.
“Ahh. Senang cerita, bila kamu mulai rasa susah hati, cuma ingat yang tiada
satu pun kekal dalam hidup ini. Susah, mahupun senang. Hanya dengan cara itu
kamu akan lebih tegar untuk meneruskan hidup tanpa memikirkan lagi bahagian
diri kamu yang serba kurang itu.” Sekali lagi Shah menabur benih azimat dan
semangat baru pada hamparan fikrah pelajarnya itu.
“Ya tak ya. Saya rasa lebih lega dan tenang sekarang. Terima kasih,
sir.” Adam seakan terlihat sinar baru yang dibentangkan Shah di hadapannya.
“Masya Allah. Alhamdulillah. Panjatkan pada Dia. Saya, tiada daya apa.”
“Alhamdulillah. Saya tahu.. saya tetap perlu berterima kasih, sir. Saya
tak silap memilih teman bercerita.” Adam mengukir senyum. Ikhlas. Senyumannya
sama menjangkiti Shah.
Adam memandang jam yang dipakai kemas di pergelangan tangan
kanannya. Kaget kecil.
“Ada hal?” Tanya Shah, memahami riak kaget yang ditunjukkan. Adam sekadar
mengangguk sebelum bangun meminta diri dan bersalaman dengan gurunya itu. Shah
menggenggam erat tangan pemuda itu lalu ditarik kemas dalam pelukannya. Sempat dia
berpesan agar Adam jangan pernah berputus asa dengan Tuhan dan kehidupan.
Selang beberapa ketika selepas Adam keluar meninggalkan ruang itu, Shah terfikirkan dirinya. Dia seolah
terlahir baru. Adam dan hidupnya, dia dan nasihatnya. Semuanya adalah dariNya
untuknya juga.
“Subhanallah!” tercerlus kalimah agung dari mulutnya seraya bingkas dia
bangkit menunaikan Solat Sunat Dhuha. Usai melipat dan menyusun semula sejadah
yang digunakan tadi di tempatnya, Shah berjalan tenang menuju ke kamar guru,
seperti seharusnya dia.
"Tuhan tak membiarkan kau sendiri. Tak pernah sekali." |
Dilontarkan pandangannya ke sekeliling. Terlihatnya lagi
pokok durian nan sebatang, tegak di atas bukit menghijau. Fikirannya mula
membuahkan ‘hikmah cinta’.
Pohon itu, kira-kira adakah yang melihatnya?
Kira-kira, akan ternampakkah sebiji durian ranum tergantung
sendiri di hujung dahan?
Kira-kira, adakah sepasang mata lain yang terlihat apa
dia lihat itu?
Matanya secara zahir, merakam pergerakan awan nan biru;
Itupun jika dia memaksa sedikit kepalanya mendongak ke atas. Depan matanya, di
sepanjang jalan itu cuma bangunan sekolah dan asrama pelajar yang menyerlah cat
pudar entah sejak zaman bila.
Tapi, dia nampak pokok durian nan sebatang itu.
Shah senyum penuh makna, pada hati sendiri. 'Benarlah,
tempat terindah itu rupanya pada pandangan mata. Jika hati kita punya taman di
dalamnya, tempat terburuk pun boleh jadi yang terindah.
Lumut di sekeliling batu-batuan sungai itu, cantiknya
pada kilat hijau yang pekat; Meski kita boleh melihat ia sebagai tanda bahawa
sudah tidak terjaga lagi keadaan di situ.
Dedaun kering - yang membahagiakan tentangnya adalah
warna kuning yang meneman hijau terang; Meski kita sepenuh sedar yang ia sudah
layak dipijak keras.’
Sebaik sahaja tiba di ‘pejabat’ kecilnya, Shah melabuhkan
punggung di atas kerusi empuk kepunyaannya. Dia mencapai sebatang pen hitam dan
buku jurnal kulit keras berwarna merah hati dari sudut yang digelarnya ‘koleksi
sentimental’ lalu dicatatkan ‘hikmah cinta’ dapatannya hari itu. Tulisan itu dari
hati, untuk hatinya dan hati-hati kesayangannya di kemudian hari.
Kita ini manusia. Selalu sahaja
berasa kecewa. Senang sahaja untuk mengeluh.
Tiada salahnya. Sesekali
kita perlu juga melihat kejelekan hidup ini.
Tapi, mengapa harus kecewa
itu menyirnakan warna-warna ria dalam hidup kita?
Aku terlihat pokok durian
nan sebatang tadi.
Di bawahnya rerumput
menghijau.
Aku terlihat diriku.
Pada indahnya sebatang pokok
itulah rerumput kecil riang bertunas.
Mereka mengitari kehidupan pohon
yang bersendirian.
Berbakti kepada manusia,
untuk udara yang kita hembuskan.
Demi Allah.
Shah dan cinta, jangan berhenti
bahagia.
-Shah Z-
12102013
No comments:
Post a Comment