.:Followers:.

Sunday, October 12, 2014

Salam Ulang Tahun ke 21


Selamat ulangtahun kelahiran, Putri Zuleika Fereizya!

Tahun ini ulangtahun kelahiran aku adalah yang paling basah sekali. Penuh air mata. Air mata yang deras alirnya kerana sebab yang aku sendiri tidak pasti mengapa. Yang kutahu, semalaman aku bertemankan air mata. Aku seolah kehilangan makna diri, bagai terlontar jauh dalam mimpi sendiri.

Lantas aku putuskan untuk menulis begini setelah lama mendiam diri. Lalu tulisan ini barangkali tidak kunukilkan untuk/ tentang ulangtahun kelahiran gadis yang disebutkan awal tadi (akulah tu), tapi untuk mengangkat bahagia seorang wanita istimewa di sebalik kelahiran gadis yang bukanlah apa-apa ini tanpanya. Mungkin dengan menulis tentang ini, aku akan lebih bahagia. Dan agar air mata yang galak jatuhnya itu tidak terbuang sia-sia.

Aku taktahu dari mana harus aku mulakan, bila mahu berbicara tentang wanita itu - yang kupanggil Mama. Yang aku tahu, yang aku sedar, aku selalu terlihat diriku bila melihat Mama. Kerana aku fikir (intuisi aku kata) Mama banyak memendam. Terlalu banyak. Seperti aku, dalam kebanyakan perkara. Cuma bezanya Mama jauh lebih baik dalam menguruskan/ menyembunyikannya – bahkan hampir sempurna di mataku. Tentulah kann.

Mama tak seperti Papa, yang petah dan fasih menghampar hujjah, berkata-kata. Tapi Mama bijak mengatur bicara. Mama tahu bila masa yang sesuai atau tidak untuk melancarkan roket azimat dari bibirnya. Mama cakna akan perihal luar dan dalam, ruh dan jasad keluarganya.

Walaupun Mama tidak berpelajaran tinggi, namun setiap nasihat dan kata-kata hikmah yang dilafazkannya adalah lahir dari pengalaman Mama yang rencam, yang mendidik. *namun terlalu melankolik bagi aku, untuk diceritakan pada sesiapa.

Mama pendengar yang setia (aku tahu, sebab aku jualah yang selalu banyak menumpahkan cerita dan rasa). Hanya dengan berkongsi dengan Mama saja aku lekas berasa lega. Mama seolah faham semua, jika tidak sekalipun, nasihat-nasihatnya tidak pernah gagal memujuk jiwa.

Mama memang tidak begitu ‘sweet’ seperti Papa dalam menzahirkan kasih sayang. Papa lebih ekspresif, lebih mudah mengucapkan sayang kepada ahli keluarganya, berbanding Mama. Namun bagi kami, itu bukanlah satu masalah yang besar. Kerana di sebalik limitasi ekspresinya itu, kami dapat lihat tindak cintanya yang tiada terhad. Allah. Subhanallah, kasih ibu!

Pastel
"Kau umpama air itu. Aku memerlukanmu."

Waktu aku menelefon Mama tempoh hari pun, ada Mama bertanyakan kalau-kalau aku mahu pulang ke rumah pada hujung minggu. Aku mahu pulang, sebenarnya. Tapi aku lebih tidak mahu menyusahkan Mama Papa untuk datang menjemputku minggu ini kerana kami bakal bercuti lagi minggu hadapan. Mama meredhakan, meski aku tahu, jauh di dasar hatinya, dia mahu aku pulang juga. *mungkin kerana ini jugalah aku kebasahan air mata sepanjang hujung minggu – mengenangkan ulangtahunku yang hambar – keseorangan, kerinduan. Heh. Sendiri cari pasal.

Ahh. Terlalu banyak lagi sebenarnya yang mahu aku ceritakan tentang Mama. Kerana hari ini kan ulangtahun kelahiran aku.. Maknanya hari ini hari istimewa Mama juga!

Dan sebenarnya, dalam kesedihan dan kelompongan ini, aku dikejutkan dengan hadiah-hadiah yang tak terjangkakan daripada Ena kakakku, teman-teman sebilik, serumah dan juga teman sehati sejiwa nun di sana. Aku semacam menyesal kerana bersedih sakan sebelumnya. Haihh. Apalah. Namun semakin kulihat hadiah-hadiah itu, semakin aku terkenangkan Mama.

Allah. Siapalah aku, untuk dihulurkan pemberian sebegitu. Siapalah aku, untuk diraikan semanis itu. Aku terfikir, bukankah Mama yang seharusnya merasakan kebahagiaan sebegini? Siapalah aku? Mama lah yang sepatutnya dirai!


Lewat malam semalam, aku hantar mesej ini pada Mama.

Mama, terima kasih lahirkan owang (orang) harini, 21 tahun lepas. Lepas tu besarkan serba cukup semua sampai lani. Owang minta maaf salah silap yang menimbun-nimbun selama ni. Doakan Eika jadi anak yang baik untuk Mama Papa, selamat dunia akhirat. May Allah bless you and Papa. Amin.. Love you.

Lalu aku tidur, bersama air mata yang galak berjujuran sebelumnya. Mendadak rasa rindu menyerbu. Apabila terjaga, aku bingkas mencapai fon di atas meja, untuk kulihat jam, namun turut mendapati balasan mesej dari Mama.

Amin.. semoga jadi anak solehah. 20 ke 21 ni haa? Lupalah pulak. Happy birthday..

Aku hampir tersedak, mahu tergelak membacanya. Mama. Begitulalah Mama adakalanya, lucu!


*****


Allah. Terima kasih, Allah. Kerana sekali lagi membuat aku percaya pada hikmah – bila pada ulangtahun kelahiran ke 21 ini baru diri dihinggapi ‘hidayah’ tentang makna dan memaknakan setiap ulangtahun kelahiran.

Terima kasih, Aisyah. Kerana pertama kali menampar aku dengan hakikat kelahiran seorang ibu, di sebalik setiap kali ulangtahun kelahiran seseorang insan (anak) – bila kau memberitahuku satu perkara wajib yang kau akan lakukan setiap kali hari jadimu, iaitu menonton video proses kelahiran seorang bayi; agar kau sentiasa ingat akan kesakitan ibu saat beliau melahirkanmu.

Terima kasih, Sharazi. Kerana membuatkan aku tersedar semula hingga gagal mengempang tangis bila kau ‘mencadangkan’ untuk menyambut ulangtahunku kali ini dan seterusnya dengan cara yang berbeza – iaitu dengan meraikan Mama, berada dekat di sampingnya, memeluknya, menyatakan penghargaan dan menzahirkan kesyukuran yang teramat kepadanya atas kelahiranku yang pastinya teramat bermakna buat seorang bernama bonda itu.


Terima kasih.

Selamat ulangtahun kelahiran (seorang ibu) yang ke 5, Mama! :-*


No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]