"Eleanor ini, aku lihat tindak-tanduknya..
entah mengapa seolah pinta difahami. Dia, semacam aku, Nisa, kadang-kadang. Aku
merasakan ketakutannya - adakah manusia bakal menerima dirinya yang sebenar-benarnya?
Maksud aku..jika gelap sejarah lalu yang dipunya, masih bisakah mereka
tersenyum juga selepas mengetahuinya? Entahlah, ini aku mengagak saja." Ujarku
untuk memecah kesunyian antara kami sebaik saja aku menghabiskan pembacaan
novel Eleanor and Park, hadiah dari
teman jauhku itu.
An-Nisa’ yang dari tadi asyik menelaah tafsir
Al-Furqan langsung merenungku. "Jadi mengapa? Apa yang kau harapkan?"
Separuh berleter. "Aku sebenarnya tak mahu faham
lebih dalam, Nisa’. Aku takut, sememangnya fikiranku tentang dia ini sentiasa
bergema dalam minda. Semuanya terlantun semula pada pandanganku, seperti cermin
yang memantulkan imej kita. Aku jadi semacam lupa yang dia yang namanya Eleanor itu bukannya aku.
Dan aku sesungguhnya faham, manusia, secara umum
selalu tidak sedar betapa dalam kita membahagi suka dan mencetus tawa untuk manusia,
sebenarnya jauh di dasar sukma, kekadang kita juga mengharapkan pengertian
mereka terhadap kesunyian yang menggelodar jiwa. Kerana seringkali juga kita pendamkan
duka sendiri, meyakinkan hati bahawasanya bahagia tetap akan ada bilamana tawa
manusia lain terlihat di mata. Tetapi akhirnya kita ini disangka sedang
bahagia. Lalu manusia-manusia itu tidaklah pernah perasan luka yang didiamkan,
sehingga lama, dan ya, hingga terbiasa."
An-nisa’ berjenak-jenak dengan fikirannya seketika
sebelum memandangku yang diam menunggu. Diukirkan satu senyuman manis buatku.
"Tapi, sekurangnya, aku bersyukur kau begitu faham tentang itu. Kau masih
yakin akan kataku..? Tentang bahagia yang akan menjemputmu jika dibuang apa yang menghalang itu?"
Aku hanya mampu tergelak.
Entah bila kali terakhir aku terasa yang segar amat dengan soalan-soalan yang begitu.
Tetapi, syukur, Tuhanlah yang meredakan ribut, kalut dalam jiwa. Dan aku
percaya, setiap pertanyaan dan interaksi, adakalanya juga satu cara mencari
pantulan diri sendiri di dalam diri mereka.
An-Nisa’ pamit dahulu. Seperti selalu, dengan
caranya yang unik bagiku. Tanpa khabar. Sepintas lalu.
* * *
Kalau ada lagi jiwa
yang bisa aku tumpahkan resah sebegitu, aku mohon agar Tuhan mudahkan jalan
pertemuan dengannya. Dan aku doa agar dengan diriku yang seperti ini takkan
pernah lelah dalam cubaan untuk bahagia dan membahagiakan. Walaupun seperti kita
maklum, kelompongan dan kekecewaan yang kita mungkin depani ketika memberi itu
nantinya Tuhan sahajalah yang bisa memenuhkan dengan rahmat dan hikmahNya.
Dan pada watak fiktif, Eleanor yang menjadi
pantulan diri sendiri itu, aku harusnya berterima kasih padanya (pada penulisnya,
sebetulnya). Ya lah, bukan senang manusia dapat melihat apa yang ada di sebalik
ketawa, lelucon dan ungkapan "Ya, saya baik-baik saja" itu.
"Kau bisa lihat semua. Tapi siapa saja yang bisa melihatmu?" |
Kata Paulo Coelho, menerusi watak Esther
dalam novel The Zahir:
“Esther, however, was the only woman who
understood one very simple thing: in order to be able to find her, I first had
to find myself.”
No comments:
Post a Comment