"Ramadhan bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmat, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka".
Alhamdulillah, setelah setahun berlalu, Ramadan kini muncul kembali. Bulan yang penuh rahmat dan berkat. Bulan yang di dalamnya terbuka pintu syurga dan tertutupnya pintu neraka. Bulan pengampunan dan bulan penyucian diri. Bulan yang nilainya melebihi bulan-bulan yang lain.
Bulan Ramadan bukan sahaja bulan kemenangan tetapi juga bulan kesabaran, bulan menyucikan hati dan memperbaiki rohani kepada yang lebih baik dan bersih. Pada bulan ini kita bukan sahaja diuji dengan rasa lapar dan dahaga, malahan turut diuji sejauh mana kita mampu mengawal rasa marah, tamak, syak wasangka, dan segala sifat mazmumah yang harus diganti dengan sifat-sifat mahmudah.
Namun sejauh manakah keistimewaan Bulan Ramadan ini dinikmati dan masih hormatkah masyarakat Islam dengan bulan yang penuh kemuliaan ini? Persoalan inilah yang timbul di benak setiap kali kunjungnya bulan ini.
Mengapa ya ? Bukan ganjaran pahala yang diutamakan tetapi santapan makanan yang didahulukan. Bukan masjid diimarahkan sebaliknya bazaar ramadhan menjadi tumpuan. Bukan Al-quran jadi peneman, namun tidur pula yang menjadi impian.
Hati ini berdesir seketika, di sebalik singkapan Ramadhan, kebanyakan umat Islam tampaknya masih lalai dan lupa. Mereka merasakan bulan Ramadhan ini hanyalah sekadar berpuasa. Namun saya bukanlah bermaksud semua masyarakat Malaysia yang beragama Islam begitu, hanya kebiasaan fenomena atau situasi inilah yang terjadi. Saya yakin ramai juga merasakan hal yang sama. Jika beginilah, di mana kemeriahan Ramadhan? Di mana keindahanya? Adakah ia terletak pada makanan ? Atau ganjaran pahalanya? Ayuh kita fikirkan bersama.
Jelasnya bulan Ramadhan ini hanyalah sekali setahun. Datangnya ibarat turun kepingan emas dari langit selama 30 hari tanpa henti. Adakah kita hanya ingin menompang dagu sahaja? Tidak sama sekali. Sudah tentu kita akan berbuat sesuatu untuk meraihnya, bukan? Sebab apa saya katakan begitu..? Kerana kita tidak tahu bila waktunya kematian menjemput kita. Barangkali inilah Ramadhan yang terakhir buat diri kita, dalam hidup kita. Siapa tahu, kan ? Jadi, usah lah sia-siakannya!
Sesungguhnya puasa itu banyak hikmah dan faedahnya. Antaranya ialah, menyedarkan hati mukminin bahawa sesungguhnya diri mereka berada di bawah perhatian Allah. Bulan Ramadhan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun. Jadi, Allah menghendaki semua hambanya memenuhi bulan ini dengan amalan ketaatan dan taqarrub kepadaNya. Demi menggapai ihsan Allah.* (*bakal saya ulaskan dalam entri yang akan datang. Insya Allah.)
Di bulan yang Barakah ini marilah kita tuntun diri kita ke daerah yang lebih terarah iaitu ke landasan ajaran Islam yang sebenar. Ramadhan ini boleh juga kita katakan sebagai madrasah tarbiyah. Jika sebelum ini kita seorang yang mudah terasa mungkin selepasnya kita menjadi seorang yang lebih sabar. Jika sebelum ini kita seorang yang berkira-kira tetapi selepasnya mungkin pula segala sumbangan kita hulur. Dan, jika sebelumnya kita seorang pembuat maksiat barangkali selepasnya kita menjadi seorang ahli ibadat. Masya Allah, alangkah indahnya Ramadhan jika begini.
Semoga perkongsian kali ini mampu melipatgandakan usaha kita agar benar-benar dapat meneguk kemanisan Ramadhan kali ini, akan datangnya dan seterusnya. Insya Allah.
" Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu" (Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabussunan)
No comments:
Post a Comment