“Kau kelihatan amat
berlainan sekali..” ujarnya sambil membelek-belek kelopak si mawar yang entah sejak
bila digenggamannya itu.
Aku senyum melebar.
Menahan seribu rasa terhadap pertemuan kali pertama ini; antara ruang realiti dan
mimpi.
“Apa kau hairan?
Bukankah aku sudahpun ada dalam medan ini? Aku tidak seperti yang kau
sangkakan..pura-pura dalam berjuang,” aku berbasa-basi.
Senja sedang memanjat
kelam. Aku di tengah-tengah jerutan kekusutan dan kerunsingan tentang masa
depan juga kesibukan kota metropolitan, tetap tidak dapat meloloskan diri,
biarpun dengan kehadirannya itu.
“Kau adalah teman
yang selalu mendewasakan tapi masih perlu didewasakan. Untuk itu, aku harus
datang menemuimu. Meskipun sebentar, meskipun hanya sekali ini.” An-Nisa’
menjelaskan, meski tiada penjelasan diperlukan.
Aku langsung menekur
lantai. Aku tahu ada yang ingin dikatakannya. Kerana itu, aku sengaja berdiam
diri.
“Teruskanlah.
Teruskan apa yang kau senang lakukan. Sebarkanlah seberapa banyak ayat kekuatan
yang kau ada. Yang kau fikir. Tapi nampaknya kau lupa ya? Hanya aku yang amat
jelas akan satu ini, Eika..”
Aku terkedu. Gagal
bersuara.
“Jelaslah.. Kau
nampak lemah sangat, seperti orang sakit, Eika. Tiada warna.” Jeda seketika. “Hurm..
Aku ingat lagi cerita kau, suatu masa dulu..”
“Cerita apa?” cerlus
juga akhirnya pertanyaan spontan dariku.
“Tentang nama. Kau
kata Papa memilih Zuleika, bukan.. Fereizya, uh pokoknya nama kau yang panjang berjela
itulah, sebagai nama indah untuk kau. Aku tak pasti apa maksudnya, tapi aku
tahu nama itu membawa beribu makna dan warna dalam hidup kau sehingga umur ini
kan? Aku tahu dan pasti lagi. Tapi sekarang, kau tampak suram. Mana hilangnya
warna dan sinar wajah kau?”
Aku mendengus.
Meskipun tengkujuh sudah berlalu, aku bagai masih kehujanan dan kedinginan.
Luar dan dalam.
“Hurm, benar kata kau
itu. Nama aku, Papalah yang memberikannya. Nama yang mencoret warna ketabahan, kecintaan pada setiap hari
dalam hidupku sebagai seorang anak,
sahabat dan insya Allah guru.. kau pun tahu.”
Tiada respon.
“Tetapi sekarang,
kerana saudara-saudara kita serata dunia ramai yang masih ketinggalan, ramai
yang tidak punya apa yang aku ada, ramai yang menderita entah bagaimana
seksanya, aku sedang meminjamkan warna kekuatan itu kepada mereka. Aku kira
mereka lebih memerlukannya…untuk hidup, Nisa’.” Tenang aku mencipta alasan.
Dia masih mendiam.
Mawar segar ditangannya dicium. Lambat-lambat, tanpa cinta. Sukar aku menduga apa yang terbuku di dalam
benaknya.
“Aku ada cerita, Nisa’.
Cerita yang membangkitkan,” lekas aku bersuara sebelum dia sendiri menghentikan
lamunannya.
“Sudahlah.. aku tahu.
Tentang seseorang yang bukan siapa-siapa dengan sesuatu yang bukan apa-apa,
bukan?” tebaknya selamba.
Aku mengerutkan dahi.
Bingung. Kami bersatu mata.
“Kaulah, Eika
Fereizya SM, bukan sesiapa pun. Cuma kau ada beYoutheFull_Soul yang juga bukan
apa-apa bersama kau.. Nama beYoutheFull_Soul itu sendiri lahir pada satu masa,
dengan satu makna, untuk bersatunya jiwa-jiwa.. Seperti nama indah kau itu, menurut
hematku ini juga ruang serakan warna kekuatan untuk jagat kecamuk sedunia..”
Jeda. Riak ‘tak ada
perasaan’ ku pamerkan. Aku kemudian mengangguk, meskipun tidak mengerti
“Bukan yang itukah?
Aku kira itulah kisah membangkitkan yang kau maksudkan..” kemudian, dia meletus
tawa.
Ah, dia masih sempat
berlucu rupanya. Aku mengempang geram. Namun aku hanya mampu melukiskan
senyuman. Sedikit kagum. Tapi aku tahu, yakin! Itu demi menghiburkan laraku
saja.
“Jangan marah, Eika sayang. Aku masih mahu
tahu cerita kau tadi. Tapi jangan kau ceritakan sekarang. Bukankah kau juga
mahu bertemuku lagi nanti?” dia senyum lagi. Penuh makna.
Aku hanya membalas
senyuman An-Nisa’ ikhlas sebelum dia mampir pulang. Entah mengapa aku
kehilangan begitu banyak kata-kata waktu itu. Sebelum An-Nisa’ berlalu pergi,
dia memandangku redup, kemudian mendongak sedikit ke langit. Mengomel sendiri.
“Ah, makin manis
jadinya. Aduhai Tuhan, segeralah Kau buang jauh sengsara dunia, agar segeralah
wajah temanku ini kembali berseri.. seperti dulu!”
Allahu Rabbi.. Aku
terkedu di situ!
No comments:
Post a Comment