.:Followers:.

Wednesday, January 26, 2011

Tolong Ingatkan Saya !


Jari jemari ini akan berbicara seiring dengan suara hati saya yang rasanya sudah sekian lama tidak kedengaran di laman ini . Waktu ini saya amat berkelapangan kerana saya baru sahaja memutuskan untuk berhenti berhubungan dengan saudara FB . Saya sedar , sekiranya saya tidak berbuat begitu , tentu sahaja hubungan saya dengan Abang Blogger akan terjejas . Lebih teruk lagi , hubungan saya dengan Allah juga semakin hambar rasanya . Astaghfirullah Al’azim . Nampaknya saya benar-benar sudah tersasar jauh daripada niat asal saya . L

Saya pasti ramai yang sukar mentafsirkan maksud tersirat di sebalik muqaddimah di atas . Beginilah . Sebenarnya saya teringin sekali mengkhabarkan kepada sahabat-sahabat .. diri saya yang sekarang bukan lagi Eika lama yang sahabat-sahabat saya (atau sesiapa yang pernah kenal saya sebelum ini) nampak dan kenal saya sewaktu dahulu . Banyak pengalaman yang saya sudah lalui, ramai teman-teman baru yang sudah saya temui , dan semakin banyak pula kelemahan-kelemahan saya yang mulai terbias dari hari ke hari .

Saya sudah sedar dan mengaku akan kekhilafan dan kejahilan saya menempuh hidup selama usia 17 tahun ! Semua itu bukan salah sesiapa ; baik keluarga mahupun rakan-rakan sebaya . Jadi siapa yang perlu disalahkan ? Saya kira tidak perlulah kita menuding jari kepada sesiapa kerana akhirnya 4 jari yang selebihnya itu ditujukan kembali ke arah kita . Bermuhasabah diri . Itulah yang sebaiknya , dan itu jugalah yang kerapkali saya lupakan saat diri dirundung resah sejak akhir-akhir ini . Kesal .

Perkara-perkara yang saya bimbangkan kini sudah benar-benar terjadi . Saya harus kembali berpantang . Untuk memahami lebih jelas , baca Menjaga hati . Biarpun apa yang saya lakukan kini bisa menjaga hati saya ,tetapi tanpa disedari saya telah merosakkan hati orang lain . Saya tidak akan membiarkannya berlarutan . Saya perlukan tarbiyyah dan peringatan daripada sahabat . Jadi , tolonglah ingatkan saya !

Sebagai khalifah di muka bumi ini , kita harus menjaga hubungan dua hala . Ya , hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia sejagat . Masalahnya sekarang , saya terlalu sayangkan hubungan persaudaraan sesama manusia . Terkadang saya dapat merasakan nikmat ukhwah itu , tetapi sampai suatu saat , mercup suatu rasa yang amat kurang enak di kalbu ; Saat yang menyedarkan saya bahawasanya diri ini telah tersilap langkah dan saya hampir mengabaikan hubungan yang satu lagi – Dengan Allah .

Saya tahu , Allah sedang berbicara dengan saya . Kerana setiap kali saya alpa dan lalai melayan kehendak duniawi , pasti sahaja muncul kata-kata peringatan entah daripada sesiapa . Saya amat terpukul dengan kata-kata dan perbuatan saya selama ini . Matlamat tidak akan pernah menghalalkan cara . Dan kali ini cara saya benar-benar menyimpang daripada matlamat suci itu .

Saya sama sekali tidak menyangkal , gagasan kasih sayang itu memang penting . Tetapi hati juga harus dipelihara dan diperkuat dengan cengkaman akar-akar ilmu dan iman agar jalan kebaikan itu menjadi mudah baginya . Oleh itu , saya harus kuatkan hati . Jadi saya mohon doa kalian . Saya sedang berhadapan dengan teguran Allah [secara tidak langsung] .

>> kata-kata seorang hamba Allah benar-benar menyedarkan saya tatkala mata yang sedang melakukan kemaksiatan ini tertancap pada setiap bait kalimah yang tertulis ... <<

Mengapakah .. Mengapa mengaburi kemungkaran yang nyata dengan kebaikan yang sekecil Cuma ?? Mengapa berselindung di sebalik imej agama .. tetapi tetap menjadi fitnah pada agama Islam yang suci ?? Tidakkah kau sedar ??

Saya sedar . Saya sudah sedar ! Biarpun kata-kata itu barangkali ditujukan kepada orang lain , namun atas kehendak Allah , saya menjadi salah seorang antara ribuan yang membacanya saat itu . Itu jelas bermakna Allah sedang menegur . Saya harap bicaraNya itu akan terus terpahat padu di hati nurani sekaligus terbias dalam setiap amal yang saya lakukan baik hari ini , esok dan seterusnya .


p/s : Teguran Allah itu selalunya tepat dan kena pada cara dan waktunya . Saya bersyukur untuk itu . Sesiapa mahupun apa-apa sahaja boleh menjadi perantara antara saya dan Dia . Kalian ; para sahabat dan para pembaca juga boleh . Jadi , andai diri ini tersilap di mana-mana , terlupa diri sementara atau tersasar dari jalan yang sepatutnya , tolonglah . TOLONG INGATKAN SAYA .



2 comments:

Adil said...

seriously aku ckp,aku tak faham sgt weyh"
yg pasal ko bkn eika yg dulu dikenali n berubah tu ape bnde
aku cme paham yg ko dah deactive acc FB
.. ;(
huhhu

Putri said...

x faham ?? urm Eika sbenarnya bukan berubah..Eika cuma improve . secara zahirnya mgkin x nampak sgt..tp scara lahirnya banyak yg da berubah . sbb tu Eika ckp diri Eika skrg bukan lg yg mcm dulu ~

**acc FB Eika da activate balik .. tp x seaktif dulu la kott.. :P**

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]