Alhamdulillah . Lega hati ini hanya Tuhan sahaja yang tahu . Bukanlah semata-mata kerana peperiksaan SPM sudah berakhir , malah kerana saya sudah temui cara untuk menenangkan hati daripada kegelisahan yang melanda sejak akhir-akhir ini . Benar , saya berpantang sepanjang tempoh menjalani peperiksaan demi menjaga hati dan minda saya menjelang peperiksaan . Tetapi kini tiada lagi peperiksaan , segala pantang telah berjaya di'topup' semula . Jadi kini saya bimbang kalau-kalau saya terlebih-lebih 'membalas dendam' . Apa pula yang akan terjadi pada hati ini nanti?
Soal hati memang rumit . Hati memang sesuatu yang paling susah kita hendak jaga , kerana pada hatilah terletaknya iman , niat , perasaan dan segala benda yang halus dan sukar untuk kita lihat , selami , apatah lagi fahami . Jadi tidak hairanlah , masalah hati memang semua orang alami . Cuma yang membuatkan kita berbeza ialah cara masing-masing menanganinya . Apakah kita akan merawatnya atau membiarkannya sahaja .
Secara jujurnya saya sedang memendam berbagai perasaan di dalam hati ini . Sungguh , saya berasa kurang enak . Lagi pula , saya berasa sangat bersalah pada diri sendiri setiap kali saya memberi nasihat pada orang lain . Mengapa ya ? Apa yang saya tahu , saya merasakan diri ini benar-benar hipokrit , kerana bukanlah semua nasihat yang saya sampaikan itu saya sendiri mengamalkannya . Jadi apabila saya ucapkan sesuatu nasihat , saya merasakan bagai ditampar-tampar oleh kata-kata sendiri . Apakah itu ?
Ketahuilah , apabila timbul perasaan serba salah dan resah setelah kita melakukan sesuatu kesalahan atau dosa , itu maknanya Allah sedang memberikan hidayah dan petunjuk kepada kita . Untuk apa ? Supaya kita segera beristighfar dan bertaubat kepadaNya . Itu juga tanda bahawa Allah masih sayangkan kita .
Cuba kita bayangkan , sekiranya Allah tutup mata hati kita daripada menyedari kesilapan yang dilakukan , sudah semestinya kita akan terus-terusan melakukan dosa dan maksiat tanpa perasaan bersalah ! Inilah perkara yang paling menakutkan sebenarnya , kerana hal ini jelas menunjukkan bahawa Allah memang tidak ingin memberi kita kesedaran . Sungguh sedih dan malang kalau perkara sebegini terjadi pada diri kita . Na'uzubillahi min zalik .
Apabila jiwa sudah bagai ada yang tidak kena , hati bagaikan sudah keras , waktu itu mulalah kita tercari-cari tempat pergantungan kita semula iaitu Allah . Sampai suatu saat , kita bagaikan sudah tidak tahan lagi dengan diri sendiri sehingga lelah mengawal hati dan nafsu yang tidak pernah lemah . Apa yang mampu dilakukan , lakukanlah . Menangislah . Mengadu pada Allah , kerana Allahlah pemilik semua hati .
Allah jualah yang berkuasa membolak-balikkan hati kita . Jadi , mohonlah padaNya supaya Dia terus memelihara hati kita , tetapkannya atas iman , dan lembutkan hati ini . Namun kita harus ingat , tanpa taufiq dan hidayah Allah , kita tidak akan mampu menjaga hati kita . Hanya dengan bantuan Allah barulah jiwa boleh menjadi kuat .
Saya teringat , terdapat sebuah hadis Qudsi menyatakan bahawa Allah telah berjanji ,barangsiapa yang mengingati Allah dalam dirinya , nescaya Allah pasti mengingatinya juga . Barangsiapa yang berjalan kepada Allah , Allah akan datang padanya dengan berlari . Bukanlah maksud saya Allah itu berlari , tetapi ini menunjukkan bahawa sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh dan benar-benar ingin mendekatkan diri kepada Allah , Allah akan membalasnya dengan sesuatu yang lebih besar lagi berbanding usaha kita . [Harap-harap tak salahlah apa yang saya tulis ni. ]
Tak dapat dinafikan , selalunya apabila kita ingin melakukan sesuatu kebaikan , pasti ada halangan dan bisikan daripada syaitan supaya kita tidak dapat meneruskan niat baik tersebut . Nah..di sinilah kita laksanakan jihad nafsu . Kalau boleh , tolak tepi semua pandangan masyarakat yang tidak membina dan fikirkan dan pandanglah perkara-perkara tersebut dari sudut agama .
- Bila kita ada sifat hayaa' (malu) dalam diri untuk melakukan perkara-perkara yang tidak betul ,
- Bila kita bersihkan hati dari segala perasaan yang tidak halal untuk kita rasa (contoh macam menyukai seseorang yang tidak halal bagi kita ) ,
- Bila kita menjaga pandangan ,
- Bila kita mengawal diri daripada berada di tempat-tempat yang boleh mendatangkan fitnah (contoh macam tempat yang terdapat ramai ajnabi atau sebagainya ) ,
- Bila kita mengasingkan diri daripada pandangan orang ramai yang bukan mahram .
Ini semua adalah perkara-perkara yang kita perlu jaga .. kerana ada sesetengah orang yang berpurdah , tetapi masih tidak berjaya melakukan purdah hati dan akhlak . Na'uzubillah . Jadi , persiapkanlah diri kita mulai sekarang . Kita harus berusaha untuk mendidik dan membentuk peribadi dan akhlak kita sebagai seorang muslim dan insya Allah mukmin , seperti yang sepatutnya .
p/s: Peringatan dan pesanan adalah ilham dari seorang sahabat (hasil kurniaan Allah juga) memandangkan hati saya sekarang benar-benar celaru . Maaf .
2 comments:
aah kot . klau sblum pekse dulu , mcm2 berpantang . kalau nk bborak pon , jaga2 je biar x trlebih , tak makan kepala ikan even ikan bilis , tak sentuh daging pon ( kcuali trpaksa , haha ) , sgt2 mnjaga pndangan . skrg ni , maggi kat rumah aku yg hbiskan . . huhu
ingt Eika sorg je yg mcm tu ~
Post a Comment