.:Followers:.

Sunday, December 19, 2010

Pria 'Cacat' Idaman Wanita


Asal lepas SPM sahaja , masing-masing sudah memikirkan hal tentang perkahwinan [ Ini berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya sebagai pelajar lepasan . Namun saya tahu , mereka bukannya benar-benar serius mengatakannya . ;) ]. Jadi secara kebetulan , ini memberikan saya ilham untuk pengisian entry terbaru saya .

Selepas ini pasti rakan-rakan lepasan SPM akan membawa haluan masing-masing sama ada ke IPT atau ke mana sahaja yang dicita-citakan selama ini . Saya yakin , masa itulah diri akan mencari teman untuk mengisi kekosongan di hati . Tiada salahnya ingin bercinta tetapi biarlah kena pada caranya .

Jadi sebelum memilih , kita perlu membuat beberapa penilaian terhadap calon yang dimaksudkan . Saya menulis entry kali ini dari sisi pandangan seorang wanita . Sekiranya pembaca adalah lelaki , saya mohon maaf . Tetapi mungkin pembaca masih boleh mengambil dan menilai setiap mesej yang saya sampaikan di sini dari skop pandangan anda sendiri .

Tajuk post ini sudah cukup jelas menggambarkan tentang apa yang bakal saya coretkan . Namun ketahuilah , cacat yang saya maksudkan bukanlah tentang kecacatan fizikal . Sebaliknya , cacat kerana sifat dan kepatuhan seseorang jejaka kepada agamanya .

gambar hiasan : jangan hanya memandang pada keelokan rupa paras , sebaliknya pegangan iman lah yang akan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat .

Pria yang harus menjadi pilihan para wanita adalah pria yang bakhil sifatnya . Pria ini sentiasa kedekut dalam memberikan senyuman kepada wanita yang bukan mahramnya . Dia juga sangat sukar dan berkira-kira untuk meluangkan masa membuat janji temu dengan wanita ajnabi yang boleh dinikahi , apatah lagi menghabiskan wang ringgit kerana wanita yang tidak sepatutnya . Walau bagaimanapun , pria sebegini sebaliknya pemurah ketika meluangkan masanya dengan Allah . Di samping itu , tegas dalam kemurahan mempertahankan akidah , menghulurkan khidmat nasihat serta teguran sebagai pemimpin kepada diri sendiri dan orang lain .

Seterusnya , pria yang menjadi idaman wanita haruslah seorang pria yang papa kedana . Papa kedana dalam ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat dan miskin dalam melakukan perkara-perkara berbaur maksiat lah yang menjadikannya jejaka idaman setiap wanita yang mendambakan cinta sejati . Dia turut papa dalam memiliki akhlak yang tidak baik . Namun , pria ini sememangnya kaya dengan akhlak yang mulia , kaya dengan kesabaran saat menghadapi ujian dan kesukaran hidup , serta kaya dalam membina impian untuk syahid di jalan Allah . Masya Allah .

Antara syarat lain menjadi pria idaman adalah bisu . Maksud saya , bisu daripada sebarang pujuk rayu yang manis dan bisa menggugah iman , daripada mengungkapkan ungkapan yang meracun fikiran serta daripada sebarang perkataan yang boleh mengundang kekufuran . Bukan apa ,kekadang yang bermulut manis itu ramai , tetapi di dalam hatinya ? Allah sahaja yang tahu - niat yang tersembunyi ? [ ilham daripada kata-kata seorang sahabat ;) ] Sebaliknya , jejaka sebegini sentiasa membasahkan lidahnya dengan mengingati Allah . Malah , bibirnya tidak pernah lekang membaca Al quran dan mempunyai peribadi tegas dan sentiasa lantang menyatakan kebenaran .

Perkara terakhir yang akan saya kongsikan dalam misi pencarian jejaka idaman yang 'cacat' adalah , dia seharusnya seorang yang buta ! Buta pada pandangan saya ialah buta daripada melihat perkara-perkara maksiat , lagha dan tidak berguna serta tiada sebarang manfaat padanya . Penyakit buta ini turut menghalangnya memandang aurat wanita yang tidak halal baginya . Dalam pada masa yang sama , jejaka ini sering mengalihkan pandangannya untuk menikmati kebesaran Allah yang mempesonakan matanya , lebih daripada pesona wardah dunia yang haram baginya .

Mungkin kita kan tertanya , masih adakah lagi jejaka seperti ini pada zaman sekarang ? Sebenarnya , bukan ini yang sepatutnya menjadi persoalannya . Sebaliknya , kita patut bertanya pada diri sendiri , ''Mampukah aku memiliki modal insan yang berkualiti seperti ini sehingga mampu mencapai darjat muslimah yang mukminah ?''

gambar hiasan

Namun bagaimanakah mungkin diri bisa menemui teman sesempurna ini andai hati dan akal sering dipengaruhi nafsu yang tidak pernah lelah dan lemah menapis godaan-godaan syaitan yang merajai hati ? Perbanyakkanlah amalan sebagai bekalan iman dan ukhrawi . Itu akan menjadi tiket untuk kita meneruskan perjalanan .

Tentang jodoh , serahkan sahaja pada Tuhan . Doa . Apa sahaja yang dikurniakan kepada kita , itulah ketentuanNya , yang pasti terbaik buat hambaNya .

Wallahu'alam


No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]