.:Followers:.

Saturday, December 11, 2010

My Beloved's beloved is my Beloved too..



Penangan Maher Zain sungguh hebat . Bukan sahaja lagu-lagunya semua mendapat tempat di hati pendengar , malah mesej-mesej yang cuba disampaikan menerusi lagu tersebut turut berjaya meresap ke dalam jiwa sanubari manusia .

Minta maaf , saya bukan mahu katakan mengenai Maher Zain sekarang . Tetapi mengenai insan mulia yang menjadi inspirasi beliau dalam menghasilkan salah sebuah lagunya . INsan yang saya maksudkan adalah 'The Chosen One' .

Saya terdetik untuk menaip bait-bait entry kali ini selepas menonton klip video tersebut beberapa minggu lalu . Jadi kepada sesiapa yang belum menontonnya , silalah tonton apabila ada kelapangan .

Sebagai seorang muslim , kita semua pasti sedia maklum tentang The Chosen yang dimaksudkan dalam lagu tersebut . Siapa lagi yang layak , kalau bukan Nabi Muhammad SAW ? Manusia yang sangat indah budi pekertinya , akhlaknya , rupa parasnya dan segala-galanya lah ! [ Namun masih tidak dapat melebihi tahap kesempurnaan Khaliqnya ]

Memang Allah Sudah menciptakan baginda SAW sebagai manusia yang serba maksum , (dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang sudah terampun ) . Subhanallah . Sungguhpun begitu , baginda SAW dengan sifat luhur dan rendah dirinya tetap beribadah kepada Allah . Apabila ditanyakan mengapa baginda berbuat demikian , sedangkan Allah sudah menjanjikan syurga buatnya ? Jawapan baginda SAW ringkas sahaja namun amat bermakna ..

''Sesungguhnya aku adalah hamba yang bersyukur.."

Lihatlah . Nabi Muhammad SAW sendiri pun kuat beribadah sehingga luka dan bengkak kakinya . Ditambah pula dengan amalan Qiamullail yang tidak pernah baginda tinggalkan . Bagaimana pula dengan diri kita ? Umat baginda yang sememangnya banyak berbuat dosa dan maksiat kepada Allah ? Renung-renungkanlah dan hisab diri sendiri ..

Semasa Awal kelahiran Rasulullah SAW , seluruh makhluk di dunia seolah-olah meraikan dan bergembira diatas kurniaan itu . Semuanya mensyukuri kelahiran manusia yang akan membawa sinar kebenaran ke seluruh dunia . Banyak juga keajaiban yang berlaku pada waktu tersebut . Masya Allah . Tidak dapat saya gambarkan keseronokan dan keberuntungan berada pada zaman itu .

Jangan lupa , Rasulullah SAW dahulu tidak hidup senang seperti kita sekarang . Sudahlah begitu , baginda diuji pula dengan bermacam-macam ancaman kuffar . Ugutan membunuh , pemulauan , pendek kata pelbagai lagilah ancaman yang baginda hadapi ! Walau bagaimanapun , baginda SAW tidak pernah sesekali mengalah . Baginda selalu bersabar . Sebaliknya , baginda membalas segala ancaman tersebut dengan mempamerkan akhlak-akhlak mulia . Jadi tidak hairanlah ramai yang tertarik dengan Islam ketika itu .

Boleh dikatakan semua makhluk di bumi ini amat menyayangi Nabi SAW . Hatta batu , kayu , dan makhluk lain sekalipun turut mengasihi baginda . Pernah suatu ketika dahulu .. [ada sebuah kisah yang lebih kurang beginilah..]

kebiasaannya Nabi SAW berdakwah dan berkhutbah kepada para sahabat (RadiAllahu'anhum) sambil bersandar pada sebatang pokok tamar . Hinggalah suatu saat , para sahabat mulai berasa kasihan terhadap baginda . Maka dibinakanlah sebuah tempat khas (saya kurang pasti sama ada mimbar atau yang seumpamanya ) supaya memudahkan baginda .

Sedang Rasulullah asyik menyampaikan dakwah baginda , mereka semua terdengar suara tangisan . Suara tersebut semakin lama semakin kuat . Sejurus kemudian , Nabi SAw pun turun dari situ . Rupa-rupanya tangisan tersebut datangnya dari pohon tamar tersebut . Tidak lama kemudian , suara tangisan itu pun berhenti . Para sahabt berasa hairan dengan kejadian tersebut .

Rasulullah seterusnya memberitahu , pohon tamar itu berasa sedih sehingga menangis kerana Rasulullah sudah tidak bersandar lagi padanya . Setelah baginda SAW memujuk dan berjanji bahwa pohon itu akan menjadi salah satu pohon dalam syurga , barulah pohon tersebut berhenti menangis . Kata Rasulullah lagi , jikalau baginda tidak berbuat demikian , nescaya pohon itu akan terus menangis sehingga hari qiamat .

MasyaAllah . Tanyalah pada diri kita , apakah diri ini dapat mencapai tahap kecintaan yang sebegitu tinggi terhadap Rasulullah ?

Saya teringat satu lagi kisah menarik .

Sewaktu Nabi Adam AS diturunkan ke bumi kerana melanggar perintah Allah [memakan buah larangan] , baginda amat menyesal dan sedih . Sehingga dikatakan bahawa baginda menangis , air matanya melebihi semua air yang ada di atas bumi ini.. (wallhu'alam)

Nabi Adam terus merintih dan merayu-rayu supaya dirinya diampunkan . Dalam rayuan baginda , baginda turut menyebut-nyebut nama kekasih Allah , iaitu Nabi Muhammad SAW . Allah menanyakan bagaimana Nabi Adam mengetahui tentang Rasulullah sedangkan bagindalah manusia pertama yang diciptakanNya ..(walaupun sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Segalanya )

Nabi adam menjawab , semasabaginda dihidupkan , kalimah pertama yang baginda lihat adalah ,

Laailaaha illallah MuhammadurRasulullah

Jadi fikirnya , Nabi Muhammad tentu sekali manusia yang benar-benar agung sehingga diangkat darjatnya sebagai kekasih Allah serta namanya disebut seiring dengan nama Khaliq seluruh alam .

Maka Allah menjelaskan kepada Nabi Adam bahawa seisi dunia ini dicipta kerana Dia mahu ciptakan Nabi Muhammad SAW , untuk baginda SAW sampaikan dan sebarkan agama kebenaran , iaitu Islam .

Sekarang nampak ? Betapa jahilnya kita tentang perkara-perkara begini ? Jadi benarlah kata orang , setiap yang berlaku pasti ada sebab musababnya .

Para sahabat kesemuanya menyayangi Nabi SAW lebih daripada diri mereka sendiri . Contohnya seperti :-

  • Hadzrat Abu Bakar yang sanggup membiarkan dirinya dipatuk ular kerana tidak mahu mengganggu Rasulullah dari tidurnya ,
  • Seorang wanita yang khuatirkan Rasulullah selepas satu peperangan walaupun suami dan anak-anaknya yang telah syahid . (Saya tak ingat perang apa . Maaf .)

dan ramai lagi sahabat baginda yang seperti itu .

Bahkan sewaktu baginda hampir wafat , seluruh dunia berasa pilu dan sedih kerana kekasih Allah itu akal meninggalkan mereka semua . Selepas kewafatan baginda , semua orang Islam dan para sahabat benar-benar berasa kehilangan dan hilang arah .

Mereka bagaikan sudah berputus harapan kerana mereka merasakan bahawa kehilangan Rasulullah bermakna agama Islam turut hilang . Tetapi akhirnya Hadzrat Abu Bakar AsSiddiq lantas bangkit dan berkata dengan lantang . Kata-kata ini tidak tepat tetapi mafhumnya lebih kurang beginilah ..

"Wahai orang-orang muslim ! Jika kalian menyembah Muhammad SAW , maka ketahuilah bahawa Muhammad SAW itu telah tiada . Tetapi jika Tuhan kalian adalah Allah Ta'ala , maka sesungguhnya Dia adalah Yang Maha Kekal dan Tidak Mati .."

Oleh kerana itu jugalah Islam masih teguh walaupun baginda SAw sudah tiada . semangat kepimpinan , keperibadian , akhlak , dan segala yang Nabi SAW tinggalkan telah pun meresap ke dalam jiwa para sahabat dan solihin zaman dahulu .

Pesanan khas daripada penulis .

Semasa peristiwa Israk Mikral , Nabi SAW ternampak begitu ramai kaum wanita di dalam neraka . Baginda berasa amat sedih kerana baginda begitu menyayangi kita . Jika kita lihat , Islam sendiri memang sangat menjaga kaum wanita . [Sepertimana kita disuruh untuk menutup aurat , melabuhkan pakaian , merendahkan pandangan . Untuk apa ? Supaya kita selamat daripada sebarang gangguan .- Allah sudah menjanjikan hakikat ini sebagaimana firmanNya di dalam AlQuran .]

Namun apakah yang berlaku kini ? Kita sendiri yang menganiayai diri kita , bukan ?

seperkara lagi , Nabi SAW sudah menghadapi sakaratulmaut dan merasakan sakitnya mati . Kita semua mengetahui bahawa baginda SAW masih lagi teringatkan umat-umat baginda pada saat-saat genting itu . hatta baginda meminta kepada Allah supaya separuh daripada kesakitan tersebut kerana bimbang kita tidak mampu menghadapinya .

Walaupun semua makhluk sayangkan baginda , tetapi pada akhir riwayatnya , baginda SAW sebut tentang kita . Sedangkan kita ?

Tak salah jika saya katakan bahawa pada zaman sekarang masih ramai lagi umat Muhammad yang tidak begitu mengenali baginda , tidak menghayati sirah perjuangan baginda , apatah lagi mengamalkan sunnah-sunnah baginda SAW . Mengapakah agaknya ya ? Tepuk dada tanyalah iman .

Baiklah , saya sudah tidak mahu lagi berceloteh panjang lebar . Seharusnya tidak dapat disangkal lagi bahwa Nabi Muhammad SAW adalah qudwah hasanah yang sebenarnya dan patut dijadikan contoh teladan dalam hidup ini . Bukan artis-artis barat mahupun tempatan , bukan pelakon-pelakon korea , bukan , bukan dan bukan ! [peringatan untuk diri sendiri ~]

Ambillah masa untuk muhasabah diri . Kepada siapa kita patut campakkan rasa cinta di hati kita ?

Pesanan baginda SAW jangan dilupakan , supaya kita rajin-rajinkan diri untuk menghadiri majlis-majlis ilmu dan zikir . Kerana Baginda pernah mengibaratkan majlis ilmu itu seperti taman-taman syurga .Jadi tidakkah kita suka untuk berada di dalam taman-taman dan kebun-kebun syurga ?

Akhir kalam ,semoga Allah memberi kita taufiq dan hidayah untuk kita sama-sama mengambil iktibar , amal dan sampaikan . Insya Allah . Segala yang baik datangnya dari Allah dan segala yang buruk merupakan kesalahan dan kelemahan diri saya sendiri .

Wallahu'alam ..


No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]