.:Followers:.

Wednesday, January 2, 2013

Bebarkan Ragumu

Andai kau tahu bait bicaraku di sebalik kalbu
Tentu kau bakal mengerti ceritera yang terbuku
Agar dengannya 'kan terpadam ragumu.
Hasrat yang tidak ditutur lidah,
Tiba-tiba dikabulkan mudah.
Hadirmu berharga satu anugerah

Wallah, kau yang meniup cinta ke dalam hati
Kamar yang pernah lama sepi, tiba-tiba terisi
Penuh cinta dan layangan kata manis
Meski sesekali tertumpah mutiara tangis;
Terharu - kau yang terlalu budiman
Selalu lancar fasih membalutiku ketenangan

Setia, bagimu seperti lengkap-melengkapi--
-nya sang dingin gerimis dan hangat mentari,
Penerimaan, tanpa lontaran persoalan
Pemberian, tanpa mengharap balasan
Pengorbanan, hingga ke akhir penghidupan

Setia, bagiku seperti gunung - kau tahu,
Teguh pasak walau digugah sayup juga keras sang bayu.
Setia, bagiku harus terjaga rapi, dengan ilmu,
Sepenuh jiwa, persis pustaka dan deretan buku.

Andainya kau tahu bait bicaraku di sebalik kalbu
Pasti kau ‘kan lebih arif betapa mujurnya aku
Bila kau bertanya khabar dan bercerita tentang harimu
Atau dengan firasatmu menebak tepat rusuh yang terbuku

52143308155704680_vvdol2yc_c_large
"Bebarkan ragumu. Cinta kan bertamu.."

Puisi begini jarang dinukilkan aku
Tapi pada musim ini, dari kotaku mencari ilmu
Buat seorang insan yang bersamanya aku tersipu malu
- di pekan Keningau. Ketahuilah bahawa aku
sejujur tinta ini, fikir dan hatiku
Sepenuhnya mahu dan menunggu
Hanya satu, 
Dirimu.


Friday, December 28, 2012

Dara dan Zzz..

Nota: 
Penulis menulis sambil diri dihurung persoalan seperti 'Kenapa kau tulis semua ni?', 'Kau ingat apa kau nak cakap ni betul?' dan yang bermacam lagi. 
Ohh, saya ok sebenarnya, jangan risau. HA-HA

Dalam komuniti yang mengenepikan nilai-nilai Islami, ber‘couple’ atau lebih spesifik lagi, berpeleserannya pemuda dan pemudi merupakan perkara yang tidak lagi pelik. Yang sendiri (single) pula yang dilihat sebagai orang jumud, ketinggalan, ‘loser’ atau apakah lagi? Kemudian zina menjadi budaya yang diraikan (???!!). 

DARA dan ZINA

Dara, pada hemat saya ialah simbol kesucian sesebuah institusi perkahwinan. Oh bukan, maaf. Dara bukan simbol tetapi BUKTI yang paling kukuh bahawa perkahwinan bukan sekadar untuk menghalalkan yang haram. Perkahwinan nyata, lebih dari itu.

Perkahwinan ialah ke’sekufu’an fikrah, demi melahirkan pejuang agama Allah, menyambung rantaian dakwah Rasulullah SAW, melengkapkan sebahagian tuntutan hidup, di samping meramaikan umat Islam di Akhirat dan dunia juga asas agama. Perkahwinan lebih dari apa yang kita sangka!

Ahh. Ya, masakan gadis 19 tahun (yang terlampau muda belia!) seperti saya memahami falsafah perkahwinan.

Jadi, sejauh mana dara ini dilihat sebagai sesuatu yang amat berharga? Percayalah, dalam ketandusan jati diri dan kecelaruan identiti hari ini, nilai dara di mata kebanyakan mawar yang memilikinya dirasakan setaraf dengan debu hama yang berterbangan ke mana-mana. Kekadang habis rela dikencingkan anjing, kadangkala redha dihujani najis kucing! Dara sudah umpama barang dagangan paling murah dan laris. Paling mudah dan menguntungkan juga. Ya Allah, musibah apa lagi ini??

Saya tidak berkenan untuk berbincang mengenai faktor utama berleluasanya budaya ‘derma’ dara ini. Iya lah, kita sering menunding jari kepada budaya Barat - konon merekalah 'pesalah' dalam hal ini, kendatipun di manakah letak kapasiti kesalahan ketika penjenayah ini dibiar bebas?

Fikir. Sekalipun datangnya budaya Utara, Selatan dan Barat yang memudaratkan, namun jika seseorang itu benar-benar berpegang dengan ajaran agama Allah, nescaya dia akan teguh kekal berdiri di atas landasan syariat. Formula yang mudah, bukan?

Kadangkala, (hasil penilaian dan pemerhatian saya sedari zaman persekolahan) apabila berhadapan dengan kes-kes mukadimah zina, entah mengapa ayat ‘Laa taqrabuzzina (jangan dekati zina) kerna zina jalan kemungkaran’ ini sudah tidak lagi menjadi antibiotik yang berkesan untuk melumpuhkan serangan virus kejahatan dalam jiwa.

Jom kita lihat kesan hilang dara dan zina dalam konteks realistik (atau menurut sisi pandang saya yang serba dangkal ini sajakah? Tak tahulah).

SATU.
Imam Shafie ketika ditanya, "Bagaimanakah kau mendidik anakmu?" Jawabnya, "Aku mendidiknya 15 tahun sebelum dia lahir."

Wait. Bagaimana boleh mendidik seorang anak sebelum ia lahir? Jawapannya, didikan seorang anak bermula daripada IBUnya.

Ibu yang baik, yang terpelihara, yang menjaga jiwa, hati dan iman, insya-Allah, dapat melahirkan anak yang soleh dan solehah. Jadi bayangkan, jika bakal IBU tidak menjaga dirinya (dan daranya) dengan sebaiknya, bagaimana pula tempat yang bakal menjadi rumah pertama si anak (rahim)?

Di sinilah letak peranan BAKAL BAPA yang baik, untuk memilih IBU yang baik, yang akan melahirkan anak-anak yang baik. *Ha tu diaa. Free tips! Wink~ ;)

Sebagaimana kita tidak suka jika anak kita melakukan zina, melebihkan cintanya kepada 'buayafriend' yang baru dikenali dua bulan, begitu jualah kita, SEBAGAI BAKAL IBU JANGAN SESEKALI TERFIKIR UNTUK MELAKUKANNYA!

Bakal ibu (termasuk Eika), kesan perbuatan hari ini, andai tidak diiringi taubat dan kebaikan, pasti akan mengundang musibah di kemudian hari. Saya sayang anak-anak saya. Anda bagaimana? :P

DUA.
Perihal cerai, suami curang etc..
Setelah selesai rumahtangga anda terbina atas dasar cinta yang mendalam, sepuluh hari setelah akad dilafazkan, suami anda melafazkan talak pula. Oh, talak dan cerai bukan perkara main-main! Ketika itu, tentu anda akan terfikir, "Apakah yang menyebabkan institusi keluarga aku hancur?"

Tahukah anda, (Husnudzhon. Boleh jadi ada yang tidak tahu kan?) hilang dara sebelum berkahwin merupakan enzim yang mempercepat proses kehancuran sesebuah perkahwinan? Enzim ini bertindak dalam sebarang suhu dan boleh merosakkan sepotong kek paling manis dan lazat menjadi basi!

Tidakkan ada kepercayaan yang wujud dalam perkahwinan sebegini. Kerana apa? Kerana sebelum berkahwin pun (sebelum mempunyai ikatan yang sah) anda sudah berzina dengan pria yang bukan-bukan, maka sukarlah untuk anda meletakkan kepercayaan sekalipun sesudah sahnya ikatan tersebut. Maka, runtuhlah institusi keluarga. Don’t you think?

Ketika itu, apa yang merugikan bukanlah sekadar keruntuhan sistem asas negara yang Islami, tetapi juga berpuluh-puluh ribu wang ibu bapa yang telah anda ‘lesapkan’ bagai abu ketika buat kenduri ala-wedding-of-the-year, kononnya.

Jujur saya katakan, ini bukan sekadar masalah sosial, tetapi juga krisis ekonomi rakyat yang kebanyakannya hidup tidaklah seselesa mana.. Dan mungkin, kes perceraian beginilah yang merosakkan sistem ekonomi negara sehingga kita terpaksa buat, erm.. Model Ekonomi Baru? Hehe. Mungkin. Entahlah.

TIGA.
Pandangan dan penerimaan masyarakat.
Di mata masyarakat yang dianggap konvensional, orang yang berzina ini sering dicaci.
Di mata orang yang dianggap penuh intelektualiti, orang yang berzina ini dianggap perlu dilindungi.

Sungguh, benar. Ada yang tersilap langkah, maka amatlah perlu bagi mereka dilindungi. Namun, meraikan mereka yang berzina ini akan menjadikan mereka yang belum berzina lagi bakal melalui jalan yang sama kerana jalan-jalan penzinaan yang terbuka luas (rujuk SOLUSI 23, ms 36-37)
Wallah, ini ternyata mengundang musibah! Na’uzubillah.

Seperkara lagi. Sedarkah kita akan hakikat diri ini selaku hambaNya?
Sedarkah ketika anda bergelumang melayan nafsu haram, ketika anda kecundang bermujahadah melawan syaitan, ketika melakukan dosa, anda sebetulnya sedang bernafas dalam udarakasa milik siapa?

Mata yang melihat kemungkaran itu, tangan yang bersentuh dipagut kemaksiatan, milik siapakah itu semua? Bukankah milik Allah segalanya? Ke mana hilangnya sudah malu kita?

Ya Allah, peliharalah kami!


*Ini satu lagi luahan dan pemikiran*


Tumblr_mcgwjo6jz31qhmhdfo1_500_large
Bertahanlah. Jaga diri.


Jadi, buat BAKAL-BAKAL SUAMI..

Hentikan 'projek' merosakkan bakal-bakal isteri! (Atau lupakan hasrat atau padamkan saja fikiran anda untuk berbuat demikian) Dengan apa caralah sekalipun. Kerana apa yang anda perbuat, itulah yang akan anda dapatkan.

Ini bukan semata saya beritahu. Ini satu amaran, sebetulnya.


Thursday, November 29, 2012

Tidak Dirancang


Di satu kawasan padang rumput menghijau yang lapang dan sayup mata memandang, angin petang bertiup perlahan. Cahaya jingga samar-samar kelihatan dari langit atas. Menyilaukan. Namun hairan, bahangnya tidak pun terasa.

Di kawasan lapang ini, setelah sebentar tadi saya mendongak – memandang dari arah mana cahaya jingga tadi datang, saya tertunduk mencari wajahnya yang sedang menghampiri. Semakin kecil mata saya pejamkan, semakin jelas – seorang gadis, bertudung labuh merah lembut, berbaju jubah merun berjalan mampir.

"Nisa’!" Saya meyambutnya teruja, dengan senyuman lebar.

"Eika...", sahut An-Nisa’ perlahan. Kedengaran dia melepaskan lelah yang masih berbaki.

"Aku tidak faham lagi akan perasaan sendiri. Aku tidak mahu begini." Terus saja saya meluah rasa.

An-Nisa’ ketawa kecil. Membetulkan kerudungnya dan lekas menarik saya duduk di bawah pohon tempat saya menunggu.

"Itulah, dulu kau kuat sangat menentang. Asyik kata itu tidak lebih dari proses hormon, trend dan biologi!"
An-Nisa’ berseloroh dan meletus ketawa kecil.

"Manalah aku tahu. Tapi ini bukan semata-mata salahku."

"Then, salah siapa? Apa? Keadaan, persekitaran? Takpun.. orang tuamu?"

Argh!

"Bertenang, Eika. Bersabarlah. Bukankah hujung sabar yang perit ada keajaiban indah dari Tuhan?"

Allah. Musim ini..jiwa selalu dicuit debar yang satu macam.

HATI. Sungguh, kau tak pernah gagal mendebarkan!

"Banyakkan puasa, baca Al-Quran, solat-solat sunat, kurangkan tidur, sibukkan diri. Bacalah buku-bukumu yang katanya belum bersentuh lagi tu."

Saya mengangguk lemah. Hai diri sendiri. Takkan melawan emosi pun boleh kelelahan begini sekali? Di mana ‘pejuang’nya kalau begini?
Cinta ini untuk diperjuangkan hingga ke pengakhiran dan dijulangkan kemenangan!

"Tahu pun", An-Nisa’ bagai mendengar bicara yang bermain di minda.
"Mempersiapkan diri juga adalah Cinta, bukan?"

"Ya."

"Kau masih mempersiapkan diri? Atau... telah ‘siap’?"

Saya tidak dapat mengempang bisu. Kami pun ketawa bersama-sama.

"Hampir siap. Hampir menjadi wanita mungkin?", saya melebar senyum pada seorang sahabat yang paling kuat saya menahan rindu padanya itu.

"Kau tahu, berada di kuantum ini besar sekali dugaannya. Jadi jangan lagi menambah masalah pada hatimu. Hati dia, apatahlagi. Jika boleh, 'lepaskan' dia dalam medan perjuangan ini, dan sebaik-baiknya, kau juga perlu turut sama 'menghunus pedang' dan  'memasang perisai’. Tapi dengan caramu sendirilah tentunya."

Saya termenung, bermuhasabah. Jeda seketika.
Wallah, perasaan indah ini kekadang buat iman goyah tergugah.

"Ermm, banyak lagi yang perlu aku lakukan, kan Nisa’?"

An-Nisa’ mengusap pipi saya dan berkata, "Kau telah membuat pilihan ini, teman. Memilih jalan ini. Memilih dia. Jangan berpatah semangat. Jangan sekali-kali. Hadapi dengan senyuman seorang wanita yang hampir ‘siap’, katamu?"

An-nisa’ masih sempat berseloroh.
Saya mengetap bibir, menahan seribu rasa.

"Eika, ada ketikanya, manusia memang akan dipukul rasa, rebah terjelepok ke tanah. Tapi itulah pelajaran. Inilah realiti. Manusia pasti melakukan kesilapan. Tapi haruslah sedar sepenuhnya dan berusaha membetulkan.” An-Nisa’ menghentikan bicara, membiarkan saya berjenak-jenak dengan kata-katanya itu.
“Pengalaman, Eika. Aku tahu kau mahu menjadi wanita, bukan lagi yang masih ber’siap’ itu. Haa, inilah. Inilah indikator yang akan lebih 'mewanitakan'!"

"Masya Allah. Kau selalu begini An-Nisa’. Kata-katamu selalu membenam terus ke dalam perdu sukma."

Dia tersenyum. Saya pun tersenyum.
Kami bersatu mata. Lama.

‘Aku janji Eika, kita akan bertemu lagi nanti. Cuma bila… bukan dalam pengetahuanku.’ Saya seakan terdengar suara hatinya ini sewaktu An-nisa’ memandang saya sebelum bingkas bangun membawa diri pergi.

"Allah, sahabatku ini sedang menaiki tangga dewasa. Pimpinlah dia bersamaku." Saya terdengar bicara halusnya. Sebak.

Saya hanya memerhati, memerhati dia terus melangkah dan terus menjadi watak yang fiktif, meninggalkan saya dewasa dengan pengalaman. Jauh dari pandangan.

Dari kejauhan itu, saya terdengar rayuan kerasnya, “Allah. Ambillah apa saja, kecuali Putri Zuleika!”

Allahu Rabbi. Saya terkedu di situ!

Sunday, November 18, 2012

Oh Alamku


Air sungai semakin sebak, titisan air hujan dikatakan turun sebesar biji guli. Tarinya makin galak, membasuh sekian banyak dosa di atas daratan, panahan kilat kadang-kadang menyambar tubir buana. 

Bumi sepertinya sudah tidak mampu lagi menanggung curahan langit. Air keruh yang mengalir deras menunda segala macam kejadian di tebing dan hulu sungai. Balak-balak yang hanyut pula seakan memberi gambaran amukan alam. Air ini, hanyalah air, namun seakan mampu memberi kemeranaan.

*        *        *        *        *

 “Berapa kali saya sudah pesan, hentikan kerja pembangunan. Jangan kerana alam itu bisu, tidak bersuara, kalian fikir ia tidak mampu berteriak. Bahananya menunggu kita semua juga nanti. Janganlah butakan mata hati kalian dengan harta yang sementara. Lupakah dengan cerita Lubuk Mandi?” suaranya mengapung-apung di udarakasa. Ratusan pasang mata memerhati gelagatnya. Kemudian mereka kembali meratah tebing. Langsung tidak diendahkan nasihatnya. Dia teramat kecewa.

*             *                  *                  *                  *

Alam sudah tidak seriuh dahulu. Tiada lagi burung yang berkicauan atau pawana yang menarikan daun di hujung ranting. Alam merajukkah dengan orang yang menodai dirinya?

‘Alam, jangan berlagu hiba. Burung, menyanyilah! Daun, menarilah!’ Dan dia tenggelam dalam lamunannya, jauh, jauh sekali.

“Anak, bangun nak,” suara serak-serak basah mengejutkannya dari lena. Dia terkejut besar. Satu lembaga gagah terpacak di hadapannya dengan sepersalinan lengkap pegawai istana, destar ikatan dendam tak sudah, wajahnya sudah agak tua. Diseluruhi lembaga itu. Keris tersisip di pinggang, hulu yang bulat lonjong bertatah permata. Taming Sari!

“Bersuaralah, anak muda! Jangan khuatir, ini kurnia dari zat Allah jua, memiliki buana dan segala isinya.”

Dia menggerakkan lidahnya, tidak percaya.

“Ini laksamanakah?” terketar-ketar dia bersuara.

“Sepertinya begitulah. Tuhan menetapkan kita bertemu, anak muda.”

“Bagaimana….? Err…”

“Adapun hamba ini membawa pesan. Daripada bijak pandai zaman dahulu dan segala utusnya.”

“Pesan? Maksud Datuk Laksamana?”

“Pertama pesan hamba untuk anak, kekadang nikmat ditahan Tuhan buat sekian lamanya tidak bermakna zalimnya Tuhan itu seperti tanggapan orang yang lemah akalnya. Seperti juga orang yang tiada mampu melihat, nescaya terhindarlah dia daripada menanggung dosa melihat yang maksiat, yang tuli itu terhindar daripada dosa mendengar fitnah, yang bisu terhindarlah daripada celaka mulutnya. Terhijab pancaindera terhijab dosa pada fikiran orang yang panjang akal.”

“Faham Datuk Laksamana. Pesan yang kedua?”

“Pesan hamba yang kedua, adalah alam ini kurnia dari Tuhan juga, untuk dimanfaatkan oleh kita bangsa manusia sebaiknya. Maka peliharalah alam ini sebaiknya. Pekerjaan mencari rezeki itu tidaklah dihalang oleh Allah, adapun biarlah ia kena pada batasnya. Hendaklah sentiasa bersyukur pada Tuhan. Jangan kiranya seperti Kota Melaka. Oleh sebab rajanya tamak haloba, habis punah tamadun bangsa. Adalah penyakit cinta akan harta amatlah dahsyatnya pada umat manusia. Seperti kaum dahulu banyak jatuhnya kerana berebut harta. Lagi diingat alam ini bukan dipusakai daripada lempoyang, tapi untuk diwariskan, hak anak cucu. Hak itu jatuhnya pada amanah. Amat azab pada yang tiada menjaga amanah.”

“Er.. Terima kasih, Datuk Laksamana.”

“Baik. Sampaikan salam hamba pada keluargamu.”

Belum sempat dia bertanya lanjut, Laksamana Hang Tuah hilang laksana ditiup semilir perinya. Kepalanya berdenyut-denyut. Dirasakan dunia ini semakin gelap, matanya terasa berat metah. Segala-galanya kelam, gelap.

"Hanyutkan luka ke dalam deras alirnya.."

Dan aku melenguh. Sesiapa pun tidak akan pernah percaya akan ceritaku. Namun aku tidak kisah, asalkan bumi tempat bermain ini kembali girang. Burung mula bernyanyi semula, dedaun pun menari kembali. 

Dan kini, janjinya itu melepa di dalam diri; jangan nyanyian dan tarian alam pernah berhenti.  

Thursday, October 25, 2012

Sepatah Dua..


Waktu awal tiba di IPBA, saya sungguh tiada apa-apa ekspetasi yang melampau. Hanya tahu datang dan belajar. 

Mahu mengikut arus Tuhan..


Mungkin dalam empat tahun belajar ini akan ada beberapa cerpen yang lahir, puisi sentiasa ada tapi hanya untuk dibaca sendiri-sendiri; atau tercatit kontot di resit beli topup di koperasi atau buku di Book Excess dan esoknya resit itu dibuang entah ke mana. Belajar bahasa Arab semula, seterusnya lekas habiskan Ijazah. 

Kemudian entahlah. 
Entah ke mana sajalah Allah akan menghantarku. 


Catatan pendek. Pendek sekali.
Mood Peperiksaan Akhir yang mengundang introspeksi dan retrospeksi. Allah~

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]