.:Followers:.

Sunday, July 1, 2012

Memaknai Jawapan Ilahi.


Dua malam semalam, berteleku di pembaringan selepas membaca Al-Mulk, dalam kelam kamar, merenung siling putih yang bertampal segi-segi empat kecil sebelum mengatup mata.

'Apa produktifnya saya hampir setahun setengah ini? Rapuh yang amat di dalam padahal cuba-cuba kuat di luar?'

Saya melihat-lihat diri semula - pada Solat Subuhnya, pada solat sunatnya, pada bacaan Qurannya, pada sesi ulangkaji pelajarannya, pada bangun malamnya, pada hubungan dengan Papa Mama, adik-beradik di rumah, dan segala bagai.

Belum masuk hubungan sosial semasa lagi. Bagaimana hubungan dengan rakan sekelasnya, dengan pensyarahnya, waktu datang kelasnya...

Allah.

"Apa harga konsistensi yang aku sudah bayar? Pada bahagian mana hidupku?"

Tersentak.
Terbata.

Saya lihat. Diri membesar dikalangan rakan taulan sebagai seorang yang agak pendiam. Tidak banyak cakap. Dan hanya senyum bila mereka membicarakan tentang sesuatu. Tapi kadangkala, berlebih-lebih pula bicaranya. Hurm -.-

Dalam setiap langkah kehidupan ini, bila saya tenung kembali gambar saya sekitar darjah 6, saya teringat kenakalan lampau. Bila tidak membantu membuat kerja-kerja rumah, dimarah Mama dan kakak-kakak. Bila saya dikasari, saya akan cepat merajuk kerana kehidupan saya memang begitu.


Perihalnya sekarang..

Bila saya memandang skeptik rakan-rakan yang tidak faqih dalam agama, tidak faquh dalam amalannya, saya jadi makin tertekan kerana terlupa akan diri sendiri yang juga jelas tidak selalu lurus di atas jalan syariatNya.

Bila cepat sedih dan sebak kala lihat kebanyakan yang berada di dalam jurusan perguruan ini (khususnya) tidak berkelakuan seperti yang sepatutnya, saya rasa marah pula kerana saya sendiri tidak laksanakan tugas saya sebagai pemberi tadzkir.

Dan, saya sememangnya bukan insan yang layak untuk menghakimi sama ada mereka salah atau tidak. Tapi, pada hemat saya, kami, bakal pendidik inilah yang seharusnya menjadi qudwah hasanah buat ummah. Allah.

Kini saya diambang mencari identiti diri sendiri, saya cuba untuk memahami manusia disekitar saya. Dan bila saya rasa saya sendiri sedang dibolak-balikkan, saya akan cepat tersentap kerana tadi, kerana saya membesar dikalangan rakan taulan.

Tiada maaf.

Saya jadi sukar untuk memaafkan diri saya.

Saya menanggung kesalahan yang saya sendiri tidak maafkan. Dan itulah yang saya laung-laungkan kepada yang dekat dan yang bertanya. 

‘Beban rasa bersalah’, saya namakan.

Entah, sehingga saat ini saya masih meneruskan perjalanan dengan beban itu - saya sendiri tidak jumpa formula untuk meninggalkannya di satu tempat lalu pergi meninggalkannya di situ.

Cuma hanya sedari Semester Dua, saya baru berazam untuk menanggung dan menjawab apa semua yang terjadi - saya tidak akan lari menyisih. 

"Kelemahan adalah jalan kita menuju Tuhan." Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Hidup. Maknainya..

Saya cuba mencari. Dan sebenarnya, kehidupan ini, tidak kira dimana-mana adalah fatamorgana. Kuala Lumpur juga fatamorgana. Perempuan juga fatamorgana dan rakan taulan juga fatamorgana.

"Hidup ni mudah sahaja. Pandang kehidupan sebagai satu perjalanan. Apa yang berlaku, sudah berlaku. Kita, terus sahaja berjalan." Kata seorang sahabat saya satu masa dulu. Dia sungguh optimis kala itu saya lihat.


Dan saya jumpa satu perkara dalam gelumangan saya dan refleksi waktu itu.

Saya mahu berhenti, atau mungkin sudah pun berhenti daripada perasaan ini. Masakan, saya sendiri apa betah dengannya! Ahha.

Dan, saya teringat rayuan saya sebelum beradu malam itu. Dan nyata, Dia Maha Tahu.

"Allah. Aku mahu Kau kenalkan aku dengan kehidupan. Apa maknanya aku hidup ini? Kenapa aku dihidupkan?"

Dan ya, ini mungkin caranya Allah menjawab soalan saya - yang barangkali tidak cukup dengan hanya buat saya TAHU. Tapi ALAMI sendiri.

Maka saya habisi tulisan saya dengan kata penguat jiwa ini, sebagai sebuah lagi tampalan di hati sendiri.


“Hadirnya para pahlawan sejati yang tidak lagi hidup bagi dirinya sendiri, tetapi hidup bagi orang lain dan agamanya, serta mahu mengorbankan semua yang ia miliki bagi agamanya”. 
-Amir Syakib Arsalan.


ALLAHU A'ALAM~


No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]