.:Followers:.

Tuesday, May 1, 2012

CeritaNYA Untuk Aku dan Kamu.

Sungguhlah saya teramat rindu sangat dengan blog yang satu ini.

Huh. Lama kah? Sebab ada yang menegur, "Lama menghilang?"
Saya tak hilang sebab saya tak pergi ke mana-mana. (-,-)!
Sebenarnya, lama atau tidak, saya yang putuskan.
Terisi atau sekadar berlalu.

Pernah saya nyatakan sebelum ini, semua orang ada rahsia. Cuma bezanya ia dikongsi dengan orang lain, atau disimpan diam-diam sendiri. Sama ada orang lain tahu, atau langsung tiada siapa yang tahu.

Dan ada rahsia.. yang walaupun hanya sedikit diberitahu, sudah dapat dirasa bersama. Seperti saya hari itu. Malam hari yang seperti biasa.. duduk bersembang bersama Encik M lewat Facebook. (Encik M yang saya kenal sejak tingkatan 4, tapi belum pernah bersua muka.) Dan memang sepanjang persahabatan ini pun kami berbual-bual seputar kehidupan yang sungguh berbeza sekali jalan penceritaannya. 

Encik M kemudian bercerita pengalaman hidupnya, yang telah membentuk siapa dirinya masa sekarang, khusyuk. Cerita yang saya selalu sangka akan berlaku hanya dalam drama-drama dan filem-filem. *tipikal uh?

Ceritanya, keinginan dia untuk belajar hingga ke peringkat tertinggi dan menjadi persis yang dia idamkan adalah hanya kerana dirinya yang pernah hidup begitu susah lamaaa dulu- sudah mula menjejak dunia pekerjaan seawal usia 15tahun, juga sudah membantu menggalas tanggungjawab seorang ayah untuk adik-adiknya.

“Saya dulu, baru lepas PMR dah kerja part-time. Rakan-rakan ke sekolah, saya menuju Esso, bekerja. Hujung tahun tingkatan 4 pun sama, kerja yang sama. Lepas SPM, matrkulasi, barulah dapat bekerja di Burger King, Secret Recipe.”

Kisah Encik M tidak selesai di situ. ‘Kerjaya’nya bertukar setiap kali dia menjejak tingkat yang lebih tinggi dalam hidupnya, pelajarannya. Dan saya tidak dapat mengapung sebal di dada tatkala dia menjawab pertanyaan saya – mengapa dia perlu bekerja waktu itu.

“Tolong mak. Saya dulu orang susah. Duit gaji semua bagi mak, untuk belikan baju sekolah adik-adik. Bayar yuran lagi..”

Jeda seketika. Saya biarkan dia berjenak-jenak dengan fikirannya.

“Erm, dulu minta macam-macam kat mak. Tapi tak pernah dapat. Sebabkan darah muda, itu yang lepas PMR dah keluar cari kerja. Tapi sungguh, saya sayang sekolah.”  

Wallah, perasaan yang saya rasa selepas mengetahui kisahnya waktu itu dan sekarang, masih sama. Kagum. Ya, mengagumi dia. Ibu dan adik-adik dia pasti benar tahu.. lelaki itu, sebenarnya anak dan abang yang paling melindungi. Suatu hari, andai cita-cita yang saya dan dia masing-masing harapkan ini dibukakan jalan oleh Tuhan, saya ingin ceritakan kisah dia.. kepada anak-anak saya sendiri.

Dan bagi saya, itu salah satu rahsia dia. Rahsia seorang lelaki yang gigihnya menjadi seorang yang berjaya, kerana sebuah kisah silam. Rahsia di sebalik kekuatan dan semangat dia untuk terus merealisasikan harapan dan keinginan.

Saya khabarkan juga cerita ini pada Papa. Dan rupa-rupanya cerita hidup Papa juga saling tak ubah seperti kisah Encik M tadi. Kosong setakuk lagi dada mengenangkan kesusahan hidup insan tersayang saya ni. *akan saya ceritakan lain kali, insya Allah.*


Allah. Saya rasa terpukul. Dalam diam, saya menahan rasa. Ya, mereka lagi banyak diuji dari saya. 

Encik M, dugaan bertimpa-timpa; kena cuci najis orang, muntah orang mabuk. Etc etc. Tak sanggup nak bayangkan pun. Dan Papa, ditipu orang duit hampir beribu, difitnah orang, dianiaya teman sendiri.. Ahh, saya tidak seteruk itu. 

“Tak mengapa, Eika. Lain orang, lain ujiannya. Bagi saya..pengalaman bekerja dari kecil yang saya dapat ni sebenarnya banyak membakar semangat saya untuk terus belajar. Kata saya pada diri sendiri, ‘inilah kerja kau sampai tua kalau malas belajar’. Saya tahu cara begitu salah, tapi setidak-tidaknya kerananya jualah saya kini bersemangat untuk menyambung pelajaran ke peringkat PhD.” Jelasnya penuh semangat, fikir saya.



Saya terhiba sendiri, menangkap butir bicara Encik M.
Benarlah Allah mentarbiyah saya sebaik dan sejauh mungkin. Biarpun melalui manusia lain.

Melihat diri saya, pada masa depan sebagai satu figura yang mahu saya bina, kadang-kadang ketakutan juga rasanya untuk bertahan. Takut sekadar berangan. (Padahal memaknakan atau mengangankan sahaja itu, saya juga yang putuskan. heh)

Lalu, saya memandang dinding kehidupan, menampal azam :

"Sepanjang umur yang bersisa entah berapa tahun (bahkan mungkin saat) lagi ini, aku berjanji cukuplah untuk diri sendiri yang apa pun terjadi, aku mahu terus mara gagah."

Saya mahu, menamatkan kegentaran menghadapi masa depan ini dengan laku yang berani.

Berani menghadap ketakutan sendiri.

Sekurangnya, ada orang lagi yang masih menanti sabar di hujung.
Mama Papa. Encik M juga, barangkali.

Ini cuma coretan peribadi, yang pada saya memberi makna.

...

"So, korang dah ada apa-apa ke ni?"  Heh, cepat ja mencerlus ayat berbaur gosip ni. -,-


Allah. Tiada apa-apa lah untuk di'ada'kan, tiada yang istimewa. Cuma, atas muamalat dalam batasan yang terjaga, itu yang saya mahu buat. Mengambil tahu dalam batas yang perlu, bukan soal lain. 


Apatah lagi, jika sahabat itu perlu dan mahu belajar sesuatu, maka saya membantu meringankan. Begitulah sebaliknya. Sama-sama mengingatkan dalam talian yang betul, bukan dasar yang salah. Bukan platform perasaan yang terusik atau DIUSIK.

Kita. Di bawah payung yang sama, 
saya cuma belajar 'kisah' masing-masing, agar sama-sama 
tidak terkena hujan dan petir.

Entahlah. Dalam hidup ini, saya cukup sedar bahawa semua perkara yang berlaku bukan secara kebetulan. Ianya telah tertulis di atas dan kita hanyalah pelaku ceritanya. Cuma sama ada perkara tersebut memberi erti kepada kita ataupun tidak, yang seterusnya kita pun tidak ambil kisah tentang perkara yang berlaku, itu jatuh nombor dua.

Namun begitu, ada ramai ja sebenarnya orang sepanjang hidup saya yang saya temui/ kenali secara tidak sengaja, tetapi saya memilih untuk tidak menjadikan orang-orang tersebut sebagai watak picisan di dalam hidup ini.

Terutama mereka yang menulis di alam maya seperti saya.

Bagaimana lah saya ingin berterima kasih kepada mereka yang saya tidak pernah jumpa tetapi telah terus menerus memberikan saya semangat dalam mengharungi hidup ini, tanpa sedikit pun mereka sedari? Entahlah. 

Kini saya .. masih sama.
Yang kadangkala perlukan masa 'kejatuhan' agar tak lupa kembalikan diri kepada Tuhan.
Terima kasih.. andai masih sudi menghulur sebaris doa untuk saya dari kejauhan.

Maka semua, mari bersyukur lagi!
Semoga apa saja yang kita katakan, lakukan dan fikirkan, membuah redha Dia.


**Saya baru 19, jadi ini entri untuk saya kenang masa depan. Kalau masih hidup. 


No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]