Ketepikan kisah dunia sebentar .
Lembaran ini akan saya mulakan dengan satu contoh terindah daripada kisah seorang wanita perindu Cinta Abadi , iaitu Hadzrat Rabi’ah . Tiada apa yang saya harapkan daripada sahabat-sahabat dan para pembaca sekalian , melainkan kita sama-sama mendapat manfaat daripada pengisian ukhrawi yang sudah lama tidak menjadi alunan muzik tarian jari-jemari ini .
Rabi’ah atau lazimnya dikenali dengan nama Rabi’atul Adawiyah dikatakan tidak pernah menerima mana-mana rijal untuk mengisi ruang di dalam hatinya , kerana cintanya yang sangat mendalam terhadap Rabbnya . [Namun ada sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa Hadzrat Rabi’ah pernah bernikah sekali . Wallahua’lam . Saya tidak pasti .]
Seorang pemuda pernah bertanya kepada beliau , “Wahai Rabi’ah , apakah sebabnya kau menghindari perkahwinan?”
“Saya akan berkahwin juga , sekiranya mereka yang mahu mengahwiniku itu mampu mencari jalan bagi mengeluarkan , menyelamat , dan mengubati saya daripada 3 kerisauan dan dukacita yang saya hadapi ,”
- 1. Saat malaikat maut mencabut nyawa yang tunggal ini , apakah dirinya dapat menjamin saya menghadap Allah dengan keimanan yang sempurna ?
- 2. Sejurus berada di padang mahsyar , dapatkah dirinya memastikan saya menerima buku amalan sepanjang kehidupan dengan tangan kanan ?
- 3. Selepas hisab di padang mahsyar , golongan soleh akan dimasukkan ke dalam syurga manakala golongan kufur akan dihumban ke dalam neraka . Apakah dia dapat menjamin yang saya berada di syurga ?
Kata Rabi’ah lagi , “Hidup saya sentiasa dihiasi rasa takut kepada hal-hal akhirat . Apakah perlunya lagi suami , kerana bersuami itu pasti mengehadkan masa saya dengan Allah . Itulah kerugian yang tak mampu saya laburkan .”
Diceritakan ; seseorang berjumpa dan bertanya asal Rabi’ah .
“Saya berasal dari jauh , sebuah negeri yang kekal abadi . Negeri yang dipanggil sebagai akhirat,”
Kemudian beliau ditanya tentang hala tujunya pula .
“Ke alam akhirat itulah hala tujuku ,”
Rabiah ditanya lagi tujuannya berada di dunia .
“Saya kira saya hanya bermain-main sahaja .” Beliau menambah , “Walaupun saya makan roti untuk dunia , namun segala amalan saya adalah untuk akhirat ,”
*Ini menunjukkan mungkin darjat keimanannya sudah jauh tinggi sehingga mencapai darjat keimanan para sahabat Rasulullah SAW . Masya Allah ~ *
Lagi sifat Hadzrat Rabiah yang amat saya kagumi dan patut kita contohi adalah ;
- ü Apabila beliau terdengar seruan azan , beliau segera mengandaikan kepanasan Basrah (negeri kelahirannya) sebagai panasnya padang mahsyar .
- ü Setiap kali beliau terdengar laungan azan , beliau seakan-akan terdengar suara panggilan dari Mahsyar .
- ü Apabila musim panas menjelang , seluruh pancainderanya merasai kepanasan hari akhirat , seakan-akan berada dalam kalangan manusia yang dibangkitkan .
- ü Begitulah juga saat musim sejuk menjengah , keputihan salji membuatkan beliau membayangkan penerimaan buku amalannya .
Ketinggian ilmu , keperibadian dan sifat wara’ yang dimiliki Hadzrat Rabiah melayakkan dirinya diiktiraf sebagai ulama’ waktu itu .
gambar hiasan
Saya petik soal keikhlasan yang menjadi perbahasan antara Hadzrat Rabiah dan beberapa orang ulama’ iaitu , Sufian al-Tsauri , Malik bin Dinar , Hasan al-Basri dan saudara kandung Al-Bakhi .
Hasan al-Basri : Manusia yang tidak mampu untuk bersabar belum lagi terbukti benarnya dalam pengakuan sebagai seorang muslim .
Rabiah : Itu adalah kerana ia sebuah tipu daya .
Saudara Al-Bakhi : Manusia yang tidak bersyukur atas cubaan Allah juga belum benar pengakuannya sebagai seorang muslim .
Rabiah : Tentunya ada yang lebih baik daripada itu .
Malik bin Dinar : Manusia yang masih belum benar berasa selesa dengan ujian Allah , ternyata belum benar pengakuannya sebagai seorang muslim .
Rabiah : Ada yang lebih baik daripada itu .
Ketiga-tiga ulama’ itu kelu lantas meminta penjelasan Rabiah mengenai soal keikhlasan pada pandangannya .
Rabiah : Manusia yang masih ada ingatan berkenaan ujian Allah pada diri mereka bukanlah seorang muslim terbaik . Yang paling baik adalah apabila mereka ditimpa musibah , maka mereka akan lupa segala-galanya . Bagaikan wanita-wanita Mesir yang terhiris jari-jemari pada saat terpandang Nabi Yusuf AS .
Alhamdulillah . Walaupun saya hanya mencubit secebis sahaja daripada kisah hidup hadzrat Rabiah , namun saya yakin kita akan dapat meneguk banyak ibrah daripadanya sekiranya pengisian ini diteliti dan dihayati sedalam-dalamnya . Demi kemaslahatan bersama , marilah kita berusaha ke arahnya .
p/s : Saya doakan agar Tuhan menghanyutkan diri kita semua ke tengah gelora samudera keikhlasan untuk mencintaiNya serta dilenyapkan segala hal yang menyebabkan diri sibuk melainkan pada mengingatiNya setiap detik . Amin Ya Rabb .