AKHIR RASA INI
OLEH: Eika
Fereizya SM
“Astaghfirullahal'azim...” Fatullah Hakim
mencerlus keluhan sembari menekap tangannya ke muka. Tidak sedar berapa lama
dia tertidur di sudut itu. Lantas dia bangun menuju ke tingkap dan dijengahnya
ke luar.
Senja yang indah
telah lama berlalu disusuli gelap merayap. Gelap yang selalu mengingatkannya
kepada seseorang yang hadir dan pergi secara diam-diam tatkala gerimis turun
renyai-renyai menyerupai jarum-jarum tajam yang berdenting di atas genting. Gemersiknya
ibarat petikan gitar seorang musafir di tengah hamparan padang luas,
menyuguhkan kesepian dan kesunyian. Perasaan Hakim saat itu membuncah, pilu,
pedih, seperti ada luka lama yang kembali berdarah, menjemput rindu segenap
kenangan.
Angin menderu
nyaman dari arah tenggara, walaupun agak dingin namun menenteramkan juga. Sayangnya
semua itu langsung tidak memberi kesan kepada Hakim. Lalu, Hakim termenung
sendiri membuka jendela menyaksikan malam: bintang, bulan dan angin yang bisu. Malam
gelap gelemat. Diintainya dada langit yang tersergam namun tiada sebutir
bintang pun di sana kerana ditutupi gumpalan awan tebal.
Dan malam itu,
mungkin lima tahun yang lalu, untuk kesekian kalinya Hakim bermimpi bertemu
seorang gadis cantik yang senang menundukkan pandangannya dan sesekali mencuri
pandang di antara semak ilalang, pohon-pohon tua dan temaram cahaya bulan. Tetapi
arrghh..betapa cepat semua itu berlalu.
Betapa sudah lama
Hakim mendambakan gadis itu menjadi pendamping hidupnya, membina keluarga
sakinah, melahirkan anak-anak soleh solehah. Hakim kemudian kerap kali mengigau
memanggil-manggil namanya, namun ketika terjaga yang ditemui hanya kesunyian
belaka. Tangannya seolah-olah menggapai ruang hampa. Sementara tubuhnya terasa
bagai terhempas jauh ke angkasa.
*****
“Zuleika, benarkah
kata ibuku kamu akan ke Mesir ?”
“Nampaknya
begitulah,”
“Untuk apa ya kamu
mesti ke sana?”
“Saya ingin
melanjutkan pelajaran. Kebetulan pula, teman saya juga mendpat peluang
menyambung pelajarannya di sana. Mungkin ini rezeki kami,” jelas Zuleika seraya
menguntum senyuman kecil di bibir mungilnya.
Tetapi bagaimana
denganku nanti, Zuleika? Siapa lagi yang harus ku renung bila mencari
ketenangan ? Getus hati Hakim tidak keruan. Pelbagai persoalan mula menerawang
segenap kotak fikirannya.
“Hakim !” lamunan
Hakim terbebar kala suara halus Zuleika mercup di telinganya.
“Mak sudah
khabarkan hal ini kepada jiran-jiran. Dalam dua tiga hari lagi, kami akan
adakan kenduri kesyukuran dan doa selamat. Jemputlah datang ya.”
“Kamu yakin dengan
keputusan ini ? Bila kamu akan berangkat ?” Hakim berbasa-basi.
“Sudah pasti. Saya
tidak mungkin akan lepaskan peluang ini. Mengikut perancangan saya, kami bakal
berangkat ke sana lebih kurang satu hingga dua bulan lagi.” begitu semangat
Zuleika meneguh azam di dasar hati.
Hakim tertunduk.
Tiada sebarang respon yang ditunjukkan. Zuleika turut membisu bagai menanti
bicara sang nara di hadapannya. Agak lama juga mereka membisu seribu bahasa di
situ.
“Zuleika..” suara
Hakim bergetar. Matanya tertancap pada seraut wajah ayu yang selama ini
mengundang rindu dan menghangatkan cinta di dalam hatinya.
’’Semoga berjaya,”
ringkas Hakim meluahkan kata-kata terakhirnya sebelum berpaling pergi
meninggalkan Zuleika terkulat-kulat sendirian.
Terima kasih,
Hakim. Desus hati kecil
Zuleika tatkala kata-kata Hakim mencerlus di telinganya. Ngeluyur benaknya
dihenyak kehampaan. Berat pula rasa hatinya ingin meninggalkan tanah air
tercinta. Atau... kerana Hakim? Arrghh.. usahlah berharap. Zuleika mengetap
bibir seraya mengatup matanya rapat-rapat. Begitulah pertemuan dua sahabat
petang itu. Sedih dan sebak bersarang di hati masing-masing. Menggelodar dan
menghenyak.
*****
Lima tahun
penantian adalah satu jangka waktu yang amat membebankan perasaan Hakim. Rindunya
bagai tidak tertahan lagi tatkala berjauhan dengan gadis pujaan. Zuleika itulah
gadis yang bertakhta di hatinya sejak dulu, kini dan slamanya. Pemuda itu
bukannya tidak kacak, malah lebih kacak lagi berbanding bintang-bintang
Hollywood mahupun Bollywood di luar sana.
Begitulah, kasih
Hakim bagaikan sukar untuk ditukar ganti. Hakim tidak putus-putus berdoa agar
mereka akhirnya disatukan jua dengan ikatan suci yang halal lagi diberkati
suatu hari nanti. Dia bahkan bertekad akan menyunting gadis tersebut sebaik
sahaja gadis itu pulang ke tanah air dalam waktu terdekat ini. Begitulah impian
kasih yang terpendam di jiwa setelah sekian lama menanti.
*****
Hari itu cuaca
cerah. Perasaan riang dan gembira galak menggelodak sanubari. Permaisuri hati
akan kembali ke tanah air dan menetap di kampung itu lagi. Menunggu detik
pertemuannya dengan Zuleika, hati Hakim bagaikan tidak sabar. Segala impian
akan dikotakan sebaik mungkin. Namun begitu siapa yang dapat menahan kehendak
takdir? Siapa yang mampu menghalang kemahuan suratan suratan yang sudah
ditentukan Ilahi ?
Khabar yang
diterima daripada kunjungan teman rapat ibunya benar-benar menyentak hati,
meluluhkan segenap harapan yang terbina. Zuleika, gadis yang diimpikan menjadi
suri di dalam hidupnya bakal mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan
keluarga. Belumpun cukup sehari kepulangan Zuleika ke kampung halaman, cerita
tentang pertunangan itu sudah gah diperkatakan orang kampung. Arakian tiada
peluang lagi untuk Hakim merebut kasih Zuleika. Dia tidak mungkin
merampas hak orang lain. Itu bukan dirinya. Lebih-lebih lagi calon tersebut
merupakan pilihan orang tua, sudah tentu yang terbaik untuk diri Zuleika.
Mengenangkan wajah
kenangan bersama Zuleika, hati Hakim diruntun pilu. Sesungguhnya dia gagal
memujuk hatinya melupakan Zuleika. Namun sebagai seorang hamba, Hakim tidak
mahu berputus asa dari rahmatNya. Sekarang dia sudah gagal dengan segala
nasihat dan pujukan. Hanya dengan doa ke hadrat Ilahi sahaja yang mampu
mendorongnya agar ikhlas menerima ’kehilangan’ ini.
******
Petang itu Zuleika
keluar mengambil angin di sekitar kawasan rumahnya. Walaupun sudah lama dia
meninggalkan kampung itu, namun sikit pun tiada riak canggung justeru saat
inilah yang dirindui pada masa di Mesir. Melihat sawah padi yang subur
menghijau di sepanjang jalan yang dilaluinya, hatinya bertambah tenang.
Tiba-tiba matanya
tertancap ke arah seorang lelaki berbaju hijau yang sedang duduk di sebuah
bangku bawah pokok di tengah sawah. Hakim! Zuleika kenal benar dengan pemuda
itu walau sudah lima tahun tidak bersua. Ketika itu dia teringat tentang
pertunangannya. Entah Hakim sudah tahu atau belum. Lalu dia segera mengatur
langkah kaki mendapatkan Hakim di situ.
Hakim agak
tersentak dengan kedatangan Zuleika tetapi dia berpura-pura tidak melihat. Renungan
matanya sengaja dilempar jauh ke tengah sawah seolah-olah menghumban sgala
derita hati di situ. Zuleika melabuhkan punggungnya di sisi Hakim. Senyap.
“Nampaknya siapa
antara kita yang paling bahagia?” soal Hakim tiba-tiba. Senyum mesra terukir di
bibir.
Zuleika segera
menoleh. “Kepada siapa kamu tujukan pertanyaan itu?” soalnya kembali.
“Kamu,” jawab
Hakim sepatah.
Zuleika terdiam. Pertanyaan
dari pemuda yang banyak mendorongnya bersungguh-sungguh itu entah kenapa
membuatnya resah. Masih lekar diingatannya Hakim, pemuda lulusan luar negara
merangkap sahabat,abang dan guru itu hadir menyuntiknya dengan ubat semangat
dan perangsang pada ketika dia sukar menghayati ilmu.
“Mengapa
mendiamkan diri dengan pertanyaan saya?” tanya Hakim setelah berjenak-jenak
membiarkan Zuleika melayan lamunan asyiknya. Figura gadis manis itu direnung
lama. Zuleika pura-pura tersenyum seolah-olah menjawab pertanyaan itu.
Masing-masing
terdiam lagi. Lama. Hakim menghela nafas panjang sehingga didengari Zuleika. Suasana
tiba-tiba dirasakan dingin meskipun tiada angin sepoi bertiup membelai lembut
dua hati yang sedang gundah.
“Adakah cara
begitu memberi untung kepada kamu? Atau ia terbit dari hati yang rela?” Hakim
cuba mencungkil apa yang tersirat di hati Zuleika. Tiba-tiba.
“Pertunangan
kamu,” sambung Hakim lagi setelah dilihatnya Zuleika kelinglungan tidak
mengerti.
“Oh..kamu sudah
tahu rupanya,” Zuleika terdiam seketika, cuba menyusun kata jawapan.
“Memang tak
memberi apa-apa keuntungan tapi saya rasa tiada salahnya saya pilih cara
begini. Hati saya puas. Insyaallah.” balas Zuleika sedikit lantang.
“Hmm..kalau kamu
tahu tak ada apa-apa untung, buat apa kamu teruskan juga?” tingkah Hakim agak
tegas. “Kamu harus sedar, Zuleika. Ini soal hidup kamu. Bukan main-main.”
sambung Hakim lagi.
Zuleika bingkas
bangun dari bangku itu lantas bersuara, “Saya tahu dan ini keputusan saya. Saya
berhak tentukannya. Jadi salahkah saya ingin membalas jasa ibubapa saya selama
ini? Ini mungkin jodoh dari Allah. Saya senang menerimanya.”
“Lagi satu, ini
soal keberkatan. Macam yang kamu pernah kata pada saya dulu. Pada awalnya saya
gembira ingin kongsikan perkara ini dengan kamu kerana saya fikir kamu faham
tapi..? Kenapa kamu
katakan semua ini?” sambung Zuleika polos disamping berusaha menahan
kemarahannya.
“Saya cuma
mengharapkan agar apa yang saya impikan jadi nyata, Zuleika!” balas Hakim
dengan suara yang lirih.
“Apa kaitannya?”
soal Zuleika kebingungan.
“Maaf. Tiada
kaitan.” pantas Hakim menjawab sembari menggeleng kepalanya. Sesungguhnya dia
tidak mahu Zuleika mengesan segala yang dipendam selama bertahun-tahun lamanya.
“Tak kisahlah,
Hakim. Tak semua yang kita impikan tu ditunaikan Tuhan. Banyak yang kita
minta tapi sikit yang dianugerahkanNya. Bukan kerana Dia tak sayangkan kita,
tapi itulah caranya Dia nak lihat sejauh mana kita redha dan pasrah dengan
segala ketentuan,” jelas Zuleika lagi penuh makna lalu pantas mengatur langkah
pergi dari situ. Spontan tangannya
menyeka titisan hangat yang entah sejak bila mengalir di pipinya.
Hakim terkedu.
Hatinya bagai terhenyak dengan kata-kata Zuleika pujaan hatinya itu. Sesungguhnya
kata-kata itu benar belaka. Sebagai manusia yang beriman, segala ujian ini
sepatutnya menguatkan lagi rasa taqwa dan pasrah kepada Tuhan. Hakim tidak lagi
menoleh apatah lagi berniat mengejar gadis itu. Biarlah kami memujuk hati
masing-masing, fikirnya.
*****
Beberapa minggu
selepas itu, Zuleika yang dikenalinya lebih enam tahun lalu kini sudah menjadi
seorang gadis bergelar tunangan orang. Hati Hakim bagai diruntun jelu yang amat sangat ketika itu. Lantaran itulah
dia tidak mahu menghadiri majlis pertunangan itu biarpun sudah diajak
berkali-kali oleh ibunya.
“Kau jangan
menyesal, Kim. Kali ini sajalah peluang kau nak bertemu Eika tu sementara dia
masih anak dara. Selepas menjadi isteri nanti, memang tak ada harapanlah kau
nak jumpa dia lagi,” ujar Mak Jah separuh memujuk.
“Apalah ibu ni.
Sekarang dia sudah di’book’. Apa pula kata orang nanti kalau Kim masih berjumpa
lagi dengannya ?” begitu alasan Hakim.
“Maksud ibu,
sebagai kawan macam dulu-dulu tu. Ini tak, seorang ke timur, seorang ke barat.
Ibu tak senanglah melihat kamu berdua begini.’’ Balas Mak Jah. Tegas.
“Nanti-nantilah
bu..,” acuh tak acuh Hakim menjawab. Matanya sedikit pun tidak berganjak dari
skrin telefon bimbit yang baru dibelinya kira-kira sebulan lalu.
“Suka hati kaulah.
Buat penat saja ibu layan kau ni,”cerlus Mak Jah seraya bangkit melangkah ke
dapur.
*****
Pagi itu dingin sekali. Tak seperti kebiasaannya, membuatkan mimpi Hakim tika
itu terbebar dari lena yang panjang. Dia melirik jam di pergelangan tangannya.
Sekarang sudah pukul sembilan pagi. Rasa resah, gelisah dan serba salah
tiba-tiba saja menerkam benak Hakim. Mungkin kerana kegagalannya menunaikan
tanggungjawab utama sebagai umat Islam pagi itu. Hakim kemamar sejenak.
Cepat-cepat dia bangun dari katilnya dan menuju ke bilik air. Mendadak lafaz
istighfar tercerlus meniti bibirnya.
“Kim, cepat turun ! “ jerit Mak Jah dari dapur.
Hakim tidak
menyahut.
“Fatullah Hakim,
buat apa lagi dalam bilik tu? Tak bangun lagi? Matahari sudah tegak segalah
begini,” sambung Mak Jah sambil menuangkan teh ke dalam cawan di atas meja.
Seusai
berdoa, Hakim melipat sejadahnya lantas segera mempercepat langkahnya ke dapur.
“Maaf ya bu,
tadi Kim...” kata-kata Hakim terhenti tatkala melihat seseorang yang amat
dikenalinya sedang duduk sendirian di meja makan. Zuleika! Langkahnya terhenti di situ. Lama.
“Tunggu apa lagi
di situ? Ayuh, kita makan! Ibu panggilkan ayah kau dulu,ya,” suara Mak
Jah yang mencerlus serentak bahunya ditepuk, gesit menempiar segala ngeluyur
benak. Terpisat-pisat biji mata Hakim namun sengihan berjaya menutup malu.
Ibu ni
sengajakah hendak membiarkan kami berduaan di sini? Ish..menyesal aku tak lari
tadi. Ngomel Hakim sendirian. Apa pula tujuan Zuleika datang ke mari pagi-pagi
begini? Hendak diteka tidak berani pula kerana takut tersalah sangka.
Lantaran itu
dengan bersahaja Hakim melabuhkan punggungnya di meja yang sama. Sajian di
depan mata cuba dijamah berselera sedang ombak besar yang bergulung di dalam
dada menelan suara persoalan yang terumbang-ambing di dalam hatinya.
Masing-masing
terkedu kala mata saling bertautan. Gadis itu tertunduk seraya menghirup teh
panas yang sudah lama terhidang untuknya. Hakim turut melemparkan pandangannya
jauh ke luar tingkap.
“Apa khabar?”
terpacul soalan itu dari bibir Hakim tiba-tiba. Teh dihirupnya perlahan.
“Alhamdulillah,
sihat,” balas Zuleika lembut.
“Ibu jemput kamu
bersarapan di sini?” Hakim berbasa-basi. Dia cuba mencungkil jawapan bagi
persoalan yang bermain-main di benaknya sejak tadi.
“Hmm..tak juga. Sebenarnya mak yang suruh. Saya
datang tadi..untuk menghantar jemputan ini,” lambat-lambat Zuleika menutur
bicaranya. Tangannya menghulur sekeping kad jemputan berwarna biru lembut.
Hakim menyambut kad itu perlahan-lahan.
“Terima kasih,” dia tersenyum tawar memandang gadis
di hadapannya itu.
Zuleika membalas
senyuman Hakim tanpa sepatah kata. Dia melihat Mak Jah disamping suaminya, Pak
Johar sedang menuruni anak tangga ke ruang dapur. Tanpa berlengah, Zuleika
meminta diri untuk pulang. Tak mampu dia bertahan lebih lama di rumah itu. Begitu
janggal rasanya.
Sewaktu Zuleika
mengatur langkah menuju ke luar, Hakim sempat mengerling ke arahnya. Laju
bibirnya menjawab salam Zuleika di hadapan pintu walaupun hanya kedengaran
sayup di telinga. Pandangan yang dialihkan semula ke arah sajian di depan mata,
tertancap pada kad jemputan yang diterima tadi. Tangannya ringan membelek-belek
kad tersebut. Namun tak dibuka pula.
Berjalan pulang
dari rumah Hakim, Zuleika mengeluh panjang. Dia teringatkan peristiwa semasa di
sawah tempoh hari. Dia
benar-benar terpukul dengan kata-kata Hakim kala itu. Segala lakaran ingatannya
tiba-tiba muncul. Jelas.
Hakim, aku tidak
berdaya membelakangi fitrah insaniah, kerana aku tak ingin menolak takdir buat
diriku. Saat Allah menghadirkan cinta sang adam di hatiku dayaku membuka
seluas-luasnya ruang ini, agar terbentang luas jalan buatku meniti sinar
kasihmu. Andai kau tahu, Hakim..
*****
Keheningan
malam begitu mendamaikan hati Hakim lantas dia memutuskan untuk duduk
lebih lama setelah selesai solat Isya’. Selesai wirid, Hakim mengangkat menadah
tangan, berdoa setulus hatinya. Air mata Hakim mulai menitik. Dia tidak berdaya
lagi menahan sebak di dada. Fikirannya bagai dihantui dosa-dosanya yang selama
ini dilakukan tanpa dia sedari. Mendadak air suam mengalir ke pipi mengenangkan
rahmat dan nikmat dari Allah yang selama ini juga tidak pernah putus
dikurniakan kepadanya.
Ketika itu Hakim
tersedar, dunia ini hanyalah bayang. Siapa yang mengejarnya akan kepenatan,
siapa yang berpaling darinya ia akan mendatangi. Begitulah dirinya. Rasa sedih
dan kesal mulai membelai seluruh diri. Ruang dada bagai terhenyak.
Terlalu banyak dosaku,
Ya Allah. Aku telah mensia-siakan hidupku dengan memuja bayang sedangkan Kau,
pencipta bayang. Kaulah cahaya keindahan di sebalik keindahan.
Aku lalai
dari mengingatiMu dan mensyukuri nikmat-nikmatMu, mengejar-ngejar gadis yang
tidak halal bagiku, membiarkan hatiku terisi dengan khayalan palsu ciptaan
nafsu, menyalahgunakan nikmat mata dengan memanah pandangan zina terhadap
ajnabi, argghh...!!
Tercerlus
keluhan tanpa dapat dikawal. Hakim memejamkan mata rapat-rapat, cuba menyisih
segala bayangan itu dari berkelintar di benak. Sukar. Sungguh sukar dan semakin
mengasak-asak membuatkan segalanya tertayang semula di layar ingatan.
Selepas apa yang
terjadi, Hakim sedar dia sudah pun menerima balasannya. Barangkali kerana kafarah dosanya, Zuleika akhirnya jatuh
juga ke tangan orang lain. Arghh biarlah! Perancangan Tuhan adalah yang
terbaik. Dia juga tahu kasih sayang Allah sentiasa mendahului kemurkaanNya.
Lautan yang
bergelora di dalam dada Hakim mulai tenang. Kilat dan guruhnya juga mulai reda. Malam itu diisikan
sepenuhnya untuk bermunajat memohon keampunan, kekuatan, tempat
pergantungan dan limpahan keredhaanNya. Dia bertekad tidak akan berpaling dari
jalan ini. Biarlah jodoh bukan di dunia, asalkan cinta Allah mengiringi. Pujuk
hatinya penuh harapan.
*****
“Ibu sudah
bersiap-siap untuk pergi ke rumah Zuleika tu?” tanya Hakim sekadar
berbasa-basi. Mak Jah tidak menjawab sebaliknya tergesa-gesa keluar rumah.
Malas nak layan akulah tu. Hakim membuat andaiannya sendiri.
Dari luar rumah
Hakim mendengar ibunya bersuara, “Kau jangan tak pergi ke rumah Zuleika tu. Tolong
apa-apa yang patut!”
Hakim mencebik.
Lambat-lambat dia
menyarungkan baju Melayu. Kain pelekat dikemaskan. Alah, sekadar menghormati
majlis dan memenuhi jemputan. Tiada guna pun aku melawa sedang hari ini adalah
hari sedihku. Fikir Hakim, keanak-anakkan. Sepucuk surat tidak lupa disematkan
di dalam saku bajunya.
Suasana begitu
meriah walaupun majlis perkahwinan itu hanya diadakan secara kecil-kecilan. Tetapi
Zuleika sedikit kecewa dan terkilan. Entah kenapa sebabnya, dia sendiri tidak
pasti. Di jendela, dia terus termenung sambil merenung sayu ke arah Hakim yang
sedang bersendirian di beranda rumahnya
“Cantiknya,” suara
Mak Jah yang entah datang dari mana mengejutkan Zuleika.
Zuleika tersenyum
saja mendengar kata-kata Mak Jah.
“Mak Jah dah nak
balik ni. Tahniah. Semoga bahagia sampai bila-bila. Ni ada surat. Dari Hakim,”
Mak Jah berbisik sambil meletakkan sepucuk surat di atas ribaannya dan terus
berlalu dari situ.
Dijenguk ke luar,
Hakim sudah tiada lagi di situ. Dengan perasaan tidak sabar dia membaca surat
tersebut.
Buat Zuleika yang
dikasihi,
Tiada apa yang
dapat saya katakan di sini selain mendoakan kebahagiaan kamu. Perkenalan kita
adalah saat paling berharga dalam hidup saya. Nyata pertemuan kita menerbitkan
rasa sayang melebihi seorang sahabat. Sayangnya saya sudah terlewat. Kamu sudah
menjadi milik orang, Zuleika. Saya bahagia jika awak bahagia. Dari jauh saya
kirimkan doa..Maafkan saya kerna menyembunyikan perasaan terhadap kamu selama
ini. Doakan jodoh yang terbaik buat saya.. Terima kasih atas segalanya..
p/s: Taatilah suamimu seadanya. Ingatlah,
syurga seorang isteri terletak di bawah telapak kaki suami..
Yang benar,
Hakim.
Menitis air
matanya seusai surat itu dibaca. Dia beristighfar panjang. Nampaknya antara
kita tidak ada jodoh, Hakim. Kita hanya boleh menjadi sahabat. Kau sememangnya
sahabat yang baik. Aku juga mendoakan kebahagiaanmu. Semoga kau dipertemukan
dengan gadis yang lebih baik dariku. Zuleika bermonolog sendirian.
“Eika, Jehan nak
masuk ni,” panggilan emaknya menyedarkan Zuleika dari lamunan. Dia tersenyum
melihat Jehan yang begitu segak dengan baju Melayunya. Air matanya semakin
galak membasahi pipi apabila Jehan mengucup dahi. Dia berdoa semoga hari-hari
mendatang adalah hari yang bahagia untuk mereka berdua. Sesungguhnya dia telah
berjanji pada dirinya untuk membahagiakan Jehan dan keluarganya.
Perlahan-lahan
Hakim melangkah pulang ke rumah. Mendongak ke langit melihat bintang yang
hilang di sebalik gumpalan awan. Kamu seperti bintang itu, Zuleika. Tidak mampu
mengerdipkan cahaya indah kamu untuk seorang bergelar aku. Fikirannya terus
melayang.
Tiga tahun
berlalu. Pagi itu ceria walaupun renyai hujan galak menitis ke bumi. Angin
menderu segar dan dingin. Seperti hari-hari biasa, Hakim gagah melangkah dan
mencorak lembaran baru dalam hidupnya. Buku lama sudah lama ditutup.
Tersenyum-senyum Hakim di sepanjang jalan menuju ke pejabat. Alam dirasakan
turut tersenyum bagai memahami hakikat kebahagiaan sebenar yang dikecapinya
kini.
“Ops...minta maaf,” gadis bertudung
labuh yang melanggar tersenyum kesal. “Tak sengaja. Saya cari papan tanda tadi.
Tak jumpa pula.”
“Tak apa,” Hakim tersenyum.
“Di sini Fatha Arkitek ke ?” soal gadis itu
mendapatkan kepastian.
“Ya, di sini. Cik ada temu janji ?”
“Oh ya, saya mahu berjumpa Encik Fatullah,”
dia masih tersenyum.
“Hmm..kamu siapa ya ?” soal Hakim ramah.
“Saya Fariza,” jawabnya pantas.
“Kalau macam tu masuklah. Saya perlu ke
pejabat dulu. I’ll be right back,” ujar
Hakim bersahaja.
Fariza bingung. Berkerut dahinya. Hakim yang amat memahami tingkah Fariza tika
itu lantas menunjukkan tag namanya kepada gadis tersebut. FATULLAH HAKIM.
Terpisat-pisat biji mata Fariza melihat nama yang
tertera pada tag tersebut. Dia tidak menyangka sama sekali yang jejaka itu
adalah pemilik Fatha Arkitek, yang dicarinya pada hari itu. Wajahnya merona
merah. Malu. Hakim tersenyum di dalam hati. Hendak tergelak pun ada.
Sewaktu meninggalkan ruang menunggu menuju ke
pejabatnya, Hakim sempat melirik pada gadis bertudung hijau muda itu. Fariza
kelihatan tidak keruan, mengeleng-geleng kepalanya mengenangkan ketidak
matangan dirinya. Leluconnya di hadapan Hakim sebentar tadi membuahkan tawa,
menyebabkan lesung pipit di pipinya nampak lebih jelas. Barisan giginya yang
putih dan teratur memaniskan wajahnya yang cantik.
Tiba-tiba jantung
Hakim berdebar-debar. Mercup satu perasaan aneh di dalam hatinya. Serasa ada
sejalur bianglala indah menjengul di celah-celah gumpalan awan putih. Hujan
pagi itu telah memercupkan kelopak bunga-bunga di taman tepian bangunan itu. Harumnya
mencecah bianglala yang melengkung di kaki langit. Barangkali akhir rasa ini....