.:Followers:.

Thursday, January 29, 2015

Kita Malas Membaca (?)


“Rakyat Malaysia malas membaca.”

Demikianlah kenyataan umum yang pernah sering didendangkan di telinga kita. Dan saya, sama sekali tidak menyangkalnya. Kerana semasa di sekolah dulu, saya lihat diri dan kawan-kawan saya tidak ramai yang membudayakan amalan membaca ini. Jika ada sekalipun, kebanyakannya dilihat hanya aktif melunyaikan novel-novel picisan ataupun majalah-majalah remaja/ gosip artis yang selalu di’update’ di satu sudut dalam pusat sumber sekolah.

Namun saya bersyukur, kerana ada pihak-pihak yang memainkan peranan mereka memberi dan menyediakan ruang untuk kami menjadikan membaca sebahagian dari rutin hidup. Sambil berjalan ke asrama atau blok sekolah, kami dapat melihat papan-papan kenyataan di sepanjang laluan; penuh dengan kata-kata hikmah. Begitu juga dengan 'perdebatan' dan diskusi dalam apa jua isu yang sentiasa menjadi tampalan di dinding surau atau edaran risalah-risalah mingguan/ bulanan. Pada saya, biarpun kecil, itu juga dikira usaha untuk pupuk budaya MEMBACA kan? :)

Sejak tamat persekolahan sehingga kini menuntut di IPBA, saya berkenalan dengan beberapa orang sahabat yang ‘terlibat’ secara aktif dalam dunia pembacaan ini. Mereka masih muda dan banyak membaca, juga menulis. Ada yang hanya membaca post-post Facebook, Twitter, Instagram (dll) serta nota-nota kuliah (itupun apabila ingin menyiapkan tugasan tutorial. Takpun apabila peperiksaan hampir menjelang) dan ada pula yang gemar membaca kisah-kisah kehidupan, bahan ilmiah yang ringan dan mudah dihadam minda. Namun yang lebih mengagumkan, ada yang sudah tahap menyertai konvensyen di luar negara dan sering menghadiri perjumpaan dan seminar berkisar pembacaan. Dengan adanya rakan-rakan ini, saya berpendapat bahawa rakyat Malaysia sebenarnya rajin membaca.

Sehinggalah saya menghadiri beberapa program berkenaan isu-isu semasa dalam bidang agama, dunia pendidikan, politik juga ekonomi, saya dipertemukan dengan rakan-rakan yang lebih kurang sebaya yang membaca. Mereka mempunyai pengetahuan asas yang jelas tentang sesuatu isu. Hal ini memperlihatkan kepada saya tanggapan dan persepsi budaya pembacaan yang benar-benar berbeza. Melalui sesi-sesi perbualan dan muhasabah diri, saya kira tidak hairanlah wujudnya kenyataan yang disebutkan awal tadi - KITA MALAS MEMBACA!


Malas membaca walaupun banyak membaca. Ironi sekali.

“Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Al-Alaq: 1).

Membaca ini tentu sesuatu yang membawa sejuta, malah, infiniti kebaikan sehinggakan menjadi wahyu pertama buat Muhammad SAW. Namun jika difikirkan semula, di mana letaknya nilai kebaikan lewat amalan pembacaan jika tiada saringan terhadap apa yang dibaca?


Persoalannya bukan “Adakah kamu membaca?” tapi “Apa yang kamu baca?”

“If we encounter a man of rare intellect, we should ask him what books he reads” - Ralph Waldo Emerson


Trend pembaca warga Malaysia (terutamanya kebanyakan pembaca dalam kalangan umat Islam) ini menunjukkan bahawa kiblat pembacaan kita lebih terarah kepada karya-karya berjalur picisan. Karya picisan ini termasuklah novel-novel cinta, komik/ manga, majalah hiburan, gosip dan ‘bacaan’ di laman-laman social seperti yang ada disebutkan tadi.

Kemunculan novel-novel fantasi yang bagaikan jamur selepas hujan hari ini banyak yang sarat dengan mesej cinta tak bertujuan, isu keterlanjuran, pergaulan bebas dan banyak lagi, bahkan adakala disulami unsur erotisme yang melampau! Kekadang saya hairan, bagaimana orang boleh membaca bahkan menerima rencam novel dengan jalan cerita klise yang tidak membangun minda dan masih boleh terus mengikuti karya-karya sebegitu lagi?

Saya kira tabiat membaca yang satu ini sememangnya sukar untuk terus dibuang kerana ia telah lama diterima oleh sebahagian besar masyarakat lalu langsung menjadi satu budaya. Lebih tragis lagi apabila budaya pembacaan sebegini diterjemahkan pula dalam kehidupan seharian. Hasilnya, budaya membaca bahan bacaan picisan inilah yang melahirkan masyarakat dengan budaya picisan.


Jadi pembaca yang seimbang, berintegriti dan selektif

Jika kita tahu bahawa kita sudah terlalu terbiasa bahan bacaan yang tidak bermutu dan sukar untuk meninggalkannya, itu bukan satu kesalahan besar yang perlu disesali. Kita cuma perlu peruntukkan masa untuk membaca bahan bacaan lain juga, yang lebih bermutu. Kerana pada hemat saya, keseimbangan dalam menentukan kiblat pembacaan begini akan melahirkan pembaca yang lebih rasional.

Janganlah hanya membaca buku-buku agama, kitab-kitab berkulit tebal atau menelaah tulisan hikmah As-Shahid Hassan Banna sahaja. Sesekali, luaskan sedikit capah pembacaan kepada isu-isu semasa, perkembangan ekonomi, penemuan baru dunia sains atau sebagainya.

Saya tidak menafikan kekadang kita (termasuk saya lah) lebih mudah terikat dengan novel dari Barat. Novel-novel sebegini hampir kebanyakkannya menampakkan kepada kita corak budaya mereka yang begitu terbuka dalam segala segi. Seandainya ‘penerimaan’ kita terhadap gaya hidup mereka tidak dikawal, mungkin boleh membuka ruang kekeliruan terhadap identiti kita sendiri– antara mana yang betul dan tidak.

Akibatnya, kebarangkalian untuk kita menterjemah apa yang dibaca kepada perlakuan/ perbuatan itu cukup tinggi! Namun perkara ini tidak lagi begitu mengejutkan kerana unsur ini sebenarnya tidak sekadar wujud di Barat, bahkan sudah mulai muncul dalam bentuk karya penulisan tempatan; barangkali terletak di sudut rumah kita…

Kendatipun, tidak salah untuk membacanya. Setidak-tidaknya, kita boleh memahami kelompok pembaca yang meminati genre buku yang berbeza. Bersikap terbuka terhadap keterbukaan tidak bermakna kita harus membuka seluasnya pintu fikiran dan membiarkan tetamu batil duduk menetap dan beraja di ruang minda, bukan?

Keseimbangan pola pembacaan ini tidak lain hanya untuk mempupuk jati diri pembaca yang berprinsip serta tidak terburu menterjemah kebobrokan dari yang dibaca ke dalam kehidupan kerana punyai bekalan bahan bacaan lain yang turut menjelaskan baik dan buruk sesuatu perkara.  Ini salah satu langkah untuk tidak berterusan menggauli bahan bacaan yang kurang elok atau tidak baik dalam kehidupan harian.


“Serulah ke jalan Pemelihara kamu dengan kebijaksanaan dan teguran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Pemelihara kamu, Dia sangat mengetahui orang-orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dia sangat mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk” (16:125)


Mengikut pemerhatian saya, tidak sedikit dari kalangan kita yang telah menggugah ketenangan dan kedamaian dunia pembacaan yang sentiasa dalam kesediaan untuk menerima sebarang bentuk ilmu. Mereka, (maaf saya katakan) begitu responsif bila mendapati kefahaman dan kepercayaan mereka menurut apa yang dibaca disangkal atau diperdebat. Saya kira sikap begini mencerminkan pembaca yang tidak berintegriti.

Lihatlah ayat Allah - perkataan 'berdebat' di situ bererti percanggahan idea itu sememangnya wujud dan sentiasa ada. Malah, Dia mengizinkannya. Namun, ia harus berlangsung dengan cara yang baik. Buku-buku, di dalamnya juga terselit fikrah yang pelbagai. Justeru sebagai pembaca yang berintegriti, janganlah kita lekas beremosi dan tergugat. Sebaliknya, duduk, dengar dan nilailah pandangan pembaca yang mempunyai fikrah yang berbeza.

Namun, tidak perlulah sehingga berdebat dengan yang ahli. Pun begitu, jangan pula cepat melabel orang lain sebagai jumud andai kata mereka punya cara intipati fikrah yang berbeza. Jadilah pembaca yang lebih berintegriti :-)


“We are what we read”- Unknown

Jika banyak membaca tentang cinta itu, cinta ini, cinta nafsu saja, (nauzubillah) kita sedang mendidik diri untuk menjadi pencinta dunia/ manusia yang tahunya tunduk kepada nafsu semata. Jika banyakkan pembacaan tentang maksiat hati, maksiat mata, maksiat lidah pula, (nauzubillah) kita sedang melatih jiwa untuk mendekati jalan ke sana.

Saya yakin, sahsiah diri dibentuk melalui penterjemahan dari apa yang kita baca. Barangkali kerana itu jugalah sejak awal lagi Allah suruh kita membaca (?). Supaya kita menjadi selektif dalam memilih bahan bacaan berkualiti.  Supaya kita membaca yang baik-baik sahaja.

Bagi yang malas membaca pula, saya tetap mahu mencadangkan supaya MEMBACA. Cuma cadangan saya, banyakkan membaca bahan bacaan bermutu; sebaik-baiknya yang dapat memperbaiki diri. Tidak kiralah buku, weblog, risalah mahupun nota-nota peringatan yang tertampal di papan kenyataan sepanjang lorong yang ada di kampus IPBA! Hidupkan suasana membaca.

Hasilnya nanti, kita dapat membina suasana sekeliling yang positif. Bertemanlah dengan sesiapa pun, apa yang lebih mendekatkan sesama kita ialah apa yang kita baca – umpama bersahabat baik dengan buku yang baik.

Pesan Saidina Ali r.a,


"Jika berharta, kita yang perlu menjaganya. Jika berilmu, ilmu yang akan menjaga kita."



No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]