.:Followers:.

Tuesday, September 4, 2012

Merdekakan Jiwa


Syukur pada Allah yang tidak jemu-jemu mengurniakan rahmat dan nikmatNya. Alhamdulillah dengan izinNya, setelah lama, barulah saya berpeluang turun ke teratak penulisan kesayangan saya ini.

Semester tiga ini, saya rasa sangat sibuk sampai rasa seluruh masa tertumpu hanya untuk belajar, membuat tugasan, mengatur dan menyertai program itu ini.

Baru-baru ini, kami semua dikerahkan lagi tenaganya untuk latihan persembahan LED Grafik Manusia sempena Sambutan Kemerdekaan ke 55 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Demi Negara tercinta ku korbankan jiwa.
Demi bangsa dan Negara, ku korbankan raga.
I am for you.. I am for you.."

Argh. Terlalu banyak untuk disifatkan dengan acara kali ini, namun cukuplah jika saya katakan pengalaman tahun lalu jauh lebih menyeronokkan.

Transisi emosi. Tamat.

Inilah 'kerja' kami di sana =)

Semasa berada dalam perut bas melihat ke luar stadium yang sudahpun dibanjiri rakyat Malaysia pada hari kemuncak sambutan kemerdekaan tempoh hari, saya hanya membisikkan pada diri,

“Ini adalah kemerdekaan yang aku bangga dan pertahankan atas jasa siapa sebenarnya ya? Aku sendiri lupa dan culas menghargai makna merdeka ini rupanya.”

Begitulah. Begitulah saya dan introspeksi yang selama ini belum pernah menyedari betapa mahalnya harga sebuah kemerdekaan.

Dan pada saat “Merdeka!” dilaungkan hampir 100 000 umat manusia yang membanjiri stadium malam itu, saya juga spontan menyahut ‘merdeka!’ kurang bersemangat.

Entah kenapa semasa latihan lagi saya berasa persembahan kemerdekaan kali ini tiada maknanya langsung. Saya berasa tidak merdeka juga. Saya dijajah dengan pelbagai kerenah manusia yang menyebalkan. Didera dengan pelbagai watak manusia yang begitu menguji fikiran dan semangat.

Mereka semakin sinis dan kritis terhadap diri saya yang (pada persangkaan terhad mereka) bertanggungjawab membawa imej agama. Bagi mereka, seorang pembawa imej daie tidak mungkin berlaku silap, membuat dosa dalam hidupnya. Mereka silap, hakikat yang bernama manusia itu, TIDAK BOLEH tidak sama melakukan dosa. Sayalah juga manusia itu.

Meski ya, mengenakan tudung, hijab, niqab, etc itu bersamaan tepat dengan mengenakan akhlak-akhlak baik dan peribadi mulia anjuran Rasulullah SAW pada diri dan hati. Manusia, kekadang terlupa. Sayalah juga manusia itu, yang telah terlupa.

Lantas, saya gubalkan peraturan baru ini dalam hidup. Khas untuk diri sendiri. Demi kemaslahatan Muslimah Bertudung Labuh sedunia.


“Bilamana kau melihat keburukan manusia di depan matamu, doakan si pelakunya. Bencikan hanya tindakan mereka, bukan batang tubuhnya. Dan jika kau sibuk membicarakan perbuatan itu di belakang mereka, maka kau juga sebahagian daripada mereka.

Setelah ditemukan ALLAH dengan artikel ini semalam, wallah, saya lega. Malahan lebih tenang. Buat insan-insan terluka sedunia, hadamilah coretan ikhlas dari sahabat kita ini; Lepaskan Luka-luka Kehidupan.

Di dalam dan sekitar kawasan stadium itu saya melihat gelagat anak-anak pasca merdeka (bukan semua) yang banyak meredam jelu dalam kalbu.

Ada yang mengusik anak dara (kerana ada segelintir yang kelihatannya juga seperti datang untuk memperagakan diri (?)). Ada yang membuang masa dengan bersidai sepanjang masa. Aduhai, inikah makna merdeka bagi mereka?

Cis, saya di situ pula hanya mampu mengetap gigi, mengempang geram di hati sendiri. Saya hanya salah seorang warga jagat yang tidak punya kuasa ke atas lapangan himpunan ratusan ribu manusia itu. Jika saya mati waktu itu pun kerana menjulang patriotisme, saya hanya akan dikenang sebagai rakyat biasa yang besar jiwanya.

Haih.. ye lah kot. Entahlah.

Apa yang penting, saya dapat belajar untuk menyesuaikan diri dalam apa jua bentuk keadaan dan cabaran. Meski ia adalah sesuatu yang agak sukar pada mulanya, tapi, perbanyakkanlah doa kepada ALLAH. Apabila sudah dapat mengikut ‘rentak’nya, insya Allah, segalanya menjadi lebih mudah.

Dan percayalah, ALLAH itu Maha Pengatur yang Bijaksana. Dia takkan meletakkan saya di sana sia-sia, tanpa makna. Dan ya, benar sekali, ada lagi perkara lain yang perlu diambil cakna.

Berlari beberapa meter mengejar bas dengan memikul beban LED Board di tangan dan beg tripod stand di belakang. Mengharung ribuan bakal guru yang lain, di tengah panas, dan kekadang meredah hujan. Semuanya menuntut semangat merdeka yang begitu mencabar.

Terbayang para pejuang terdahulu yang barangkali sama memikul beban beg dibelakang dengan membawa senjata mengharungi hutan, sungai, gunung dan lembah. Allah. Rupanya kemerdekaan bukan sesuatu yang begitu mudah seperti menyanyi lagu-lagu patriotik di atas pentas atau bersorak-sorakkan di stadium.

Sehinggalah tamat latihan dan persembahan, saya adalah warga merdeka yang mungkin telah melangkah sedikit ke hadapan, tetapi masih terluka dalam kehidupan.  

Dengan membaca cebisan ini, atau merasakan sendiri pengalaman berdiri di atas kaki saya ini, barangkalilah akan ada yang mahu mengatakan bahawa saya adalah warga Negara Malaysia ala primitif yang kecil fikirannya.

Ahh, persetankan. Jika benar ada pandangan sebegitu, maka tak salahlah tafsiran dangkal saya; Kita ini masih lagi terjajah fikirannya.

Apakah erti merdeka?

Merdekakah kita, sebenarnya?

Heh.

Biarpun penjajah sudah lama berangkat pergi, mereka sebenarnya diam-diam telah hadir kembali, dalam bentuk globalisasi. 

Dan kita semua sedang hanyut di dalamnya.

Ohhoh. 

Akhirul kalam, semoga berjaya merdekakan jiwa!


No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]