.:Followers:.

Wednesday, February 8, 2012

Aduhai Dinda..


Pagi itu, memang selalu ja sebenarnya, saya terpaksa menahan ‘singa’ di dalam hati. Singa amarah yang kalau tidak ditahan, buaslah sikapnya pada tuan yang seorang ini.

Isya. Dia membuat onar kecil – seperti selalu. Bingung kami melihat. Geram juga saya dibuatnya.

Tiba-tiba, dengan muka merah, Isya menangis. Ohh, pasti kerana sebab yang sama lagi. Dikesat air mata dengan lengan tidak beralasnya. Melimpah kasihan pula saya melihat.

Nurisya – atau dipanggil Isya atau Shasya – itu adinda bongsu saya. Acapkali letih kami melayaninya namun hatinya jauh sungguh murni, meski agak rapuh.
 
Waktu ini, saya terkenang kisah hari-hari lepas.

"Dinda, cinta dan kasih itu Allah yang beri. Carilah DIA bila kau mahukannya.."


Satu waktu saya mengemas rumah, saya terjumpa cebisan kertas. Isya meluahkan isi hatinya atas kertas itu, tulisan dari jiwanya, fikir saya.

Dan saat saya membacanya, saya hampir menitiskan air mata. ‘Singa’ dalam hati juga terus tumbang!

Tulis Isya di situ, “Tiada siapa dalam rumah ni yang sayang dan pedulikan aku lagi.”

Satu masa dulu, kuat juga Isya anti abang dan kakak-kakaknya, lebih-lebih lagi pada Leha, sebab kerap diketepikan dan di‘pilihkasih’kan (pada pandangannya yang penuh cemburu melulu saja). Mungkin hatinya saja yang cepat sensitif. Sehinggakan dia tidak mahu beradik-beradikkan kami semua – tak pasal-pasal (namun, kami, manusia berenam ini menyambut selamba sahaja gertakan budak kecil itu).

Isya pun terus membentak sahaja seperti selalu, dan apa-apa dia akan menjerit memanggil Mama untuk menyelesaikan, sampai satu masa dia sedar, tiada siapa lagi yang ada untuk membela rusuh jiwanya. Kerana dia sudah remaja, yang lagak anak manjanya tidak perlu dipeduli lagi.

Pernah satu malam, saya, berbaring dengannya dan bercerita.

“Isya kalau boleh nak lari saja dari rumah. Mama Papa pun tak sayang Isya lagi. Semuanya Leha!”

“Siapa kata? Mama Papa yang kata?”

Isya menggeleng, dalam gelap. “Tapi memang jelas pun mereka lebih sayangkan Leha. Apa-apa yang diminta pasti terus sampai ke lutut. Bila Isya yang minta, tak dapat pun, macam-macam alasan pula yang diberi.”

“Tapi Isya pun salah juga. Sikit-sikit minta itu ini. Tapi bila Mama minta tolong, ada Isya buat? Mama risau tau nak jaga Isya. Isya dah besar, kan? Boleh fikir sendiri, kan?”

Isya diam.

Saya semasa itu, hanya mahu Isya menjadi dewasa sedikit. Mama dan Papa sendiri pun, bukan semakin muda untuk menjaga Isya dan saya juga bukan selalu ada di rumah untuk memantaunya. 

Memang benar Leha lebih mudah mendapatkan apa yang dia pinta, sebab memang dia memerlukannya, tetapi Isya pula, pantang dijentik rasa tercabarnya, pasti melenting! – konon sebagai tanda memperjuangkan ‘hak kesamarataan’.

Diam Isya lama. Dia masih tidak bersetuju.

“Isya tahu pahala kan?”

Kelam kamar itu membuatkan pandangan saya terbatas. Namun diamnya Isya itu tahulah saya dia mengiyakan.

“Kita buat baik dahulu, Allah beri pahala kemudian, betul? Jadi begitulah, Isya buat baik pada Mama, Papa.. Insya Allah, bukan mereka saja membalasnya, Allah juga akan makbulkan segala yang Isya mahukan!”

Dia diam sebentar.

“Apa gunanya Isya berbuat baik kepada orang yang tiada memberi apa yang Isya mahukan setelah Isya lakukan apa yang mereka inginkan?”

Giliran saya pula mendiam – berfikir.

“Bagaimana kita dapat menjadi orang yang dihormati jika kita dahulu tidak menghormati? Samalah halnya dengan sekarang. Kita memberi untuk menerima. What you give you’ll get back. Isya dah besar, mustahil Isya tak faham apa akak cakap ni..”

Dia menekap bibirnya.

“Seperkara lagi, kita ini hidup bertuhan. Apa-apa pun, di mana-mana pun, tanggungjawab terhadap Al-Khaleq itu amat, amatlah perlu diberatkan. Dan adik, bila kita dekatkan diri dengan Allah, Allah dekatkan pula isi dunia ini kepada kita, tanpa perlu kita kepenatan mengejarnya.”

Saya meneruskan kata. “Isya benar-benar faham tak kata-kata akak ni?”

Hanya sebak dadanya yang menjawab, mungkin juga setitis air matanya.

ALLAH.

Melihatkan Isya sekarang, saya jadi tahu kata-kata saya malam itu tidak terhadam sepenuhnya di dalam sistem pencernaan mindanya. Saya tahu, benar!

Dan, saya tertidur bersama linangan air mata malam itu. Entah kenapa..

Allah, dia benar-benar memerlukanMu. 
Datanglah Engkau dekat padanya, 
meski tiada dia mencariMu, 
malah tidak pula mengingatiMu.
Aku telah buntu. Sungguh.
Maafkan aku.

Saya berharap dan memohon agar Allah akan mengumpulkan kami semula di Firdaus bersama adik-beradik saya yang lain.  Sangatlah bimbang jika saya terlepas tidak dapat menarik atau ditarik bersama mereka.


Demi ALLAH, 
saya melihat Isya bukan selaku seorang kakak semata-mata. 
Tetapi seorang manusia.

Kerana, fitrah manusia : Mahu menyayangi dan disayangi. 
Jika kita tidak memberi, jika kita tidak menyayangi, apakah mampu kita disayangi dan diberi?

 

No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]