.:Followers:.

Sunday, September 18, 2011

MERDEKA lah insan..

Sungguhlah dunia ini sekadar tempat persinggahan. Singkat. Ketika lahir kita diazan dan ketika pergi kita disolatkan, begitu singkatnya hidup. Antara azan dan solat !

*mutiara hikmah pertama yang bergentayangan di layar minda selepas sepuluh hari berkampung di Putrajaya demi menjayakan sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia di Dataran Merdeka.

Sebabnya; tempoh itu saya rasakan bagai hanya semalaman, terlalu pantas masa berlalu.*


.::Ini luahan hati dan pemikiran::.

Kita tak boleh menjangkakan kehidupan.

Ada ramai manusia yang cuba senyum dan mempamerkan riak gembira, sedang hatinya berduka. *teringat Cikgu Azad (kedengaran nama itulah yang disebut-sebut semua, tetapi saya tak pasti siapa nama sebenar beliau. Maaf ya cikgu?). Cikgu yang lagi satu tu juga. (Maaf lagi. Saya tak tahu namanya =.=")

Kesabaran dan ketenangan yang beliau tunjukkan semasa memimpin latihan persembahan kami ketika itu benar-benar membuatkan saya terpukul dengan sikap diri yang pada mulanya asyik mengeluh tentang penatlah, sakitlah, tidur tak cukuplah, itulah, inilah.

Marah, resah, gelisah semua menjadi satu.

Bukan saya sahaja, kedengaran banyak lagi suara-suara sumbang yang merungut-rungut tanpa berfikir apatahlagi cuba meletakkan diri mereka di tempat guru-guru yang tanpa lelah memimpin lebih kurang 2300 orang pelatih guru yang setiap seorangnya punya kerenah masing-masing.

Malah para guru dan mereka yang berkenaan barangkali tidak tidur semalaman menguruskan sistem atau apa-apa penambahbaikan untuk formasi latar manusia waktu itu.

Maaf, cikgu semua !

Hanya sedikit manusia bersyukur. - Surah Al mulk

Kata-kata Cikgu Azad;

"Semua ni bakal cikgu kan ? Tahanlah sikit. Cikgu kena sabar. Kamu ada di sini berapa hari saja. Ada 4 tahun lagi yang bakal kamu tempuh dengan bermacam-macam lagi dugaan yang pastinya lebih teruk dari ini."

"Sama-sama susah, sama-sama senanglah.."

"Kalau nak orang kesiankan kita, kesiankan dulu orang lain.."

"Dah. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.."

Ada banyak lagi. Terima kasih, cikgu.

*kata-kata di atas diutarakan pada masa yang berbeza-beza. Bahasanya saya kemaskan dan tempelkan di sini. Saya tak ingat kronologinya, tapi memahami setiap intipati yang dilafazkan.*

Ini permulaan, bukan? Sekarang saya sedar bahawa kesakitan adalah nikmat. Betullah kata Cikgu Azad, kami akan menempuh kesakitan lagi selepas ini. Fizikal dan mental. Maka, saya perlu bersedia.

Perjalanan jauh lagi. Dan, ini satu lagi permulaan yang tulen.


Sampai di bahagian terakhir, ramai-ramai ikut menjerit "BOLEH !.." usai laungan "IPG BOLEH.?!!" dilontarkan Cikgu Azad dari atas pentas instructor di dataran hari itu. Suara paling kuat mengapung di udara. Ouh..

Sampai ketika menulis inipun, saya masih dapat merasakan gamatnya suasana di sana. Suara habis keluar dari kerongkong yang sakit. Dan saya akan selalu teringatkan hari yang bersemangat itu.

Lantas terdengar bayu membawa kata :


Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah

pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;

dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,

tenang dalam segala uji cabar dan debar.

Kita mencari hanya yang tulen dan jati,

sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak

yang jauh. Dalam gelora dan taufan

tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan

mengasuh kita bersuara dalam sopan,

yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,

inti tunggak dan menara kebahagiaan.

Ya, inilah karyanya A Samad Said, Hidup Bersama..


Jadi, fikir saya, dicampak ke mana-mana pun, asal sahaja kita sedar dan tahu bahawa kita sebenarnya sedang dalam medan perjuangan menundukkan nafsu, bermujahadah berhadapan dengan mehnah di samping tidak mengenepikan kehendak-kehendak duniawi yang halal, maka kita akan menjaga diri dan iman.

Semoga doa sentiasa tertitip supaya perjuangan ini buat menegak Ad Din, dan iman serta taqwa semakin padu supaya nanti kita tetap bakal bertemu di syurga. Insya Allah.

Terima kasih, Tuhan.. atas peluang dan ruang ini. Syukur.




No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]