.:Followers:.

Sunday, October 23, 2011

Untuk Cikgu

Tak mahu dah guna ayat-ayat klise seperti blog bersawang dan sebagainya. Malas dan buang masa.

Kali pertama saya bertentang mata dengannya ketika pertengahan tingkatan satu. Waktu itu surat tawaran menjadi PRS masih panas dan baru sampai ke tangan, dan ujibakat pemilihan nasyid amal islami yang diatur di Bilik HEP menjadi 'warm up' yang ditunggu-tunggu. *entah apa-apa lah.

Cikgu Ahmad Saiful Anwar Arrifin.

Cikgu tersilap memanggil saya Liyana (saya datang bersama Liyana waktu itu). Dan saya menjawab panggilannya dengan tawa. Ya, saya tahu nama 'Liyana' lebih sesuai kerana 'Putri' memang terlalu cantik untuk saya --> begitu sekali saya membuat tanggapan terhadap beliau atas ke'silap'annya itu. *first impression~ (bukankah ia selalu salah..? :))

I

"Kau memang berbakat. Teruskan berkarya. Tapi ingat, menulis kerana apa? Hak tu harus jelas."

*Saya akan selalu ingat suatu petang yang indah itu. Cakap-cakap yang singkat, tapi bermakna.

Saya selalu menunggu-nunggu kelas sejarahnya kerana menanti cerita yang datang dari merata sudut dunia. Di mata saya Cikgu sememangnya guru yang tidak pernah kering hikmah. Malah, ada kata-katanya yang saya catit di celah-celah buku nota dan juga dalam kalbu.

Dan maaflah, ternyata saya lebih berminat dengan kisah-kisah perkongsian beliau berbanding menelaah kandungan sebenar mengikut sukatan pelajaran tersebut. --> Cikgu faham mengapa saya kata begini. :P

Cikgu kadangkala melihat dan menilai rakan-rakan atau anak-anak didiknya melalui teori Behaviorisme yang entah apa-apa (sukar ditakrifkan. Ini hanya andaian saya.). Saya fikir Cikgu begitu optimis meniti kehidupan.

Terlampau optimis dan idealis. Lebih-lebih lagi dalam mendidik. Apa indikasi ilmu ? Peperiksaan ? (Saya rasa bukan ini, lebih dari itu yang diharapkan daripada setiap hasil pengajarannya.)

Dan saya bakal menjadi seorang guru. Sungguh, saya mahu jadi sepertinya !

Cikgu ada pelan kehidupan yang telah siap dirangka dan dihafal luar kepala. Cikgu mahu, sebagai lelaki, menjadi yang boleh pemimpin wanita. Perlu lengkapkan diri dengan sikap kepimpinan, ilmu pengetahuan yang luas misalnya agama, politik (?) atau apa-apa sajalah. Tapi harus lebih baik ilmunya dari golongan hawa.

II

Semua tahu Tuhan tidak akan membiarkan manusia tanpa ujian. Dan cikgu terpilih untuk diuji keimanannya antara jutaan manusia yang terbiar dilalaikan.

Cikgu terjatuh di tengah jalan kehidupan dan kegetaran menghadapi realiti kehidupan yang tak tersangkakan. Dan setelah itu, Cikgu mula belajar menerima dan menghadami erti manusia dalam erti yang sebenarnya. Cikgu mula belajar memahami hikmah, kekurangan dan takdir.

Saya beritahu Mama, saya sangat mengagumi Cikgu. Begitu penyabar dan entahlah. Cikgu sentiasa menjadi yang idealis dan realis sekali. Oklah, barangkali ingin melepaskan diri dari ‘ism’ yang begitu kompleks definisinya dan mahu memaknai hidup.

Saya tahu Cikgu cuba menjadi yang kuat. Seolahnya Cikgu cuba memberitahu dunia bahawa dugaan pada Nabi dan para wali itu lebih-lebihlah besar dan apa sangatlah dugaan untuk manusia rapuh iman sepertinya, seperti kita. Cikgu berusaha untuk kekal positif dan meneruskan kehidupan macam biasa dengan syukur, gembira dan penuh bertenaga.

“Tuhan takkan biarkan manusia yang mengakui bahawa ‘Aku Beriman’ begitu sahaja. Allah akan mengujinya”, saya sentiasa ulang ayat 142 Surah Ali Imran ini sebagai pendidik jiwa saya. Semoga Cikgu pun sama.

Dia menyibukkan diri untuk melupakan masalah sedia ada. Dia penat, saya rasa dia selalu penat, tapi itulah Cikgu yang saya kenal- kadangkala workaholic tapi adakalanya malas dan hanya habiskan sehari untuk bermain game atau menonton anime kegemarannya (agaknya..?)

Saya pernah anggap Cikgu waktu itu seorang yang dingin. Janganlah dia mula memarahi atau terasa hati kerana sukar sekali dia mahu memaafkan, bukan, melupakan barangkali. Cikgu beritahu saya yang dia fikir dia sudah cukup hadam tentang emosi dan nilai hidup, tapi nyata, Tuhan menunjukkan bahawa masih banyak ruang yang perlu dia perbaiki.

Tuhan telah mengajar Cikgu mengenai banyak perkara ; tentang pengorbanan dan kasih sayang, kesetiaan dan persahabatan. Ketika itulah juga mungkin beliau menjadi sedar. Berapa ramai yang sayangkan dirinya, walau yang ada cuma air mata yang murah dan ketawa yang ramah- yang lain tidak ramai yang mengerti.

Sesekali bila saya cuba meredakan hatinya, pasti hati saya juga terubat sama.

"Kita ialah manusia biasa, kita bukan maksum. Apa yang boleh kita buat ialah menjaga hati, belajar untuk mengenal pasti persoalan asas. Belai hati kita untuk melihat kebaikkan dalam kegelapan."

Iya, saya rasa Cikgu benar seorang yang melihat dunia dengan cara yang berbeza dari kebanyakan manusia.

Dan nyata Cikgu betul dalam kebanyakan perkara.

III

Betapa manusia tidak pernah dan tidak akan pernah lepas dari melakukan kesilapan. Yang membezakan adalah sama ada manusia itu menyedari atau tidak, cuba untuk melepaskan diri dari melakukan kesilapan itu atau masih melakukannya.

"Ingat ALLAH maha mengetahui. Bagaimana hebat kita sebagai manusia, dengan falsafah dan kefahaman, tak ada yang dapat merungkai rahsia ALLAH."

"Eika, Allah mahu aku banyak berdoa, maka untuk apakah merungut. Bukankah segalanya ada hikmah?". Saya bagai ternampak wajahnya yang ceria dan bahagia.

Di sisinya, kata Cikgu dia punya begitu ramai sahabat fillah yang mahu menemani dan memahami. Dan dia berdoa pada Allah supaya sahabat-sahabat ini akan kekal menjadi teman di syurga nanti kerana dia begitu sayangkan sahabat-sahabatnya.

“Teman-teman karib pada hari itu (hari kiamat) akan bermusuhan satu sama lain, kecuali mereka yang bertakwa.” - Az-Zukhruf 67.



Cikgu, sahabat, dan bagaikan abang saya yang tua beberapa tahun ini benar-benar telah beri pengaruh besar dalam hidup saya. Kami berkenalan (dalam erti kata KENAL yang sebenar) setelah saya berpindah dari Unwanus Saadah ke Salak Tinggi.

Saya lantas meminta kebenaran Cikgu untuk menulis tentangnya dalam versi kias-kiasan di BeYOUTHeFull_Soul. Cikgu kata apa salahnya.

Cikgu, mungkin ketika cikgu membaca ini, cikgu berada dalam keadaan yang telah sihat kembali, bangkit dan kemudian melangkah laju tapi ingatlah kisah itu - yang pernah diceritakan padaku dalam esak tangis dan sendu.

Kami, anak -anak didikmu mendoakan iman dan taqwamu. Hanya orang besar yang akan memeluk cinta yang besar. Dugaan dan rintangan akan menjadikanmu orang besar yang mendakap erat kesabaran. *Tidakkah kau mahu menjadi pemilik cinta-cinta yang besar?

Dan, selamat berjuang di medan perang kehidupan sebagai seorang Mukmin yang Soleh.

Ikhlas,



No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]