.:Followers:.

Wednesday, October 12, 2011

Sambutan - Kejutan.

Semalam, saya dan rakan sekelas dipanggil menghadiri mesyuarat pengurusan Minggu Kesenian Islam. Atas kehendak Allah, kami mendapat tugasan yang pada kiraan saya agak berat, memandangkan masih banyak lagi kerja-kerja kursus yang harus diselesaikan. Dua hari lagi kami akan bertolak ke Pulau Pangkor pula, untuk tugasan rasmi di bawah komponen Recreational Sports.

Sungguh, tiada apa yang benar-benar saya harapkan waktu itu selain daripada kekuatan dan kesabaran. Mahu semahu-mahunya masa yang tersisa ini diberkati olehNya.

Sepanjang perjalanan pulang ke bilik fikiran saya ligat mengatur tugasan mana yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Ketiadaan broadband agak melambatkan kerja kami, sehingga memaksa saya untuk meminjam daripada sesiapa; perkara yang paling saya tak gemar! Dan kali ini, Hamimi lah yang menjadi mangsanya, selalunya Ramiza. Aduh maaflah~

Perlahan-lahan saya dan dia memulakan kerja. Beberapa minit kemudian, Hamimi mengadu kelaparan lantas mengajak saya, Ramiza dan Hazlinda untuk turun sama ke cafeteria. Saya menolak pelawaan itu selembutnya, namun tetap terlaku kasar di hujung bicara kerana Hazlinda kelihatannya agak memaksa.

Air muka Hazlinda mulai berubah, barangkali kerana tingkah kasar saya itu. Saya berpura-pura tidak melihat sedang pada hakikatnya, Tuhan sajalah yang tahu betapa rasa bersalahnya saya terhadapnya. Masing-masing membisu seribu bahasa. Janggal.

Satu pesanan ringkas diterima Hazlinda seketika kemudian, iaitu pemberitahuan tentang hasrat warden blok 5 untuk berjumpa kesemua kami sekelas di common room blok 4. Saya memandang sekilas ke arah jam. Beberapa minit lagi pukul 12 tengah malam. Perjumpaan apa malam-malam buta begini ? *Eika dan rungutannya.

Drama malam itu tersangatlah menjengkelkan bagi saya, dengan tambahan bunyi-bunyi aneh bagai orang bertukang di tingkat atas rumah dan keluh kesah rakan-rakan serumah yang jelas tidak kuat semangatnya (kerana rumah kami di tingkat teratas, tiada rumah lagi selepasnya bahkan ia merupakan kawasan larangan!).

Rakan-rakan dari tingkat bawah juga bagai ‘memeriahkan suasana’ dengan bertandang ke tingkat rumah kami untuk menyiasat tentang misteri bunyi-bunyian tersebut. Dalam diam Aisyah pula sudah berlinang air mata. Tak mengapalah, sebagai ketua rumah saya harus bertindak lebih optimis sedikit daripada yang lain walaupun sebenarnya seram juga keadaan malam itu. Pesan saya kepada rakan-rakan, “Jangan takut, berpegang teguhlah pada kalimah toyyibah (Laailaahaillah..)”

Saya dan rakan sekelas yang lain berkumpul di hadapan cafeteria, di antara blok 4 dan blok 5. Lama menunggu. Saya keresahan mengenang kerja-kerja yang terbengkalai di atas. Telefon berdering. ‘Selamat Hari Lahir!’ tertera pada skrin. Saya tersenyum seketika. Entah bilalah saya memasang reminder itu pun saya tak ingat. Lucu. Keanak-anakan.

Semasa menunggu, Hamimi bertanyakan soalan-soalan remeh yang menurut hati saya ia langsung tidak rasional dan relevan pada masa dan keadaan waktu itu. Barangkali untuk menyenangkan hati saya yang kelihatan tidak keruan. Saya menjawabnya acuh tak acuh. Sesekali saya menoleh ke common room yang sudah gelap gelita. Betulkah ada perjumpaan?

Tidak lama kemudian Nganes datang ke arah kami yang sedang berkumpul sambil membawa sekotak kek dari dalam kafe. Kosong setakuk lagi dada melihatkan kejutan yang SEPATUTNYA boleh dijangka itu. Nyanyian dan tepukan semua memecah kesunyian malam. Saya merapati mereka apabila diminta untuk sesi memotong kek. Saya dan Maleni, berkongsi tarikh lahir.

Dan, empingan salji turut ‘membasahi’ seluruh tubuh, bukan, empingan tepung, realitinya! Olesan krim kek juga menjadi solekan larut malam. Itulah cara sambutan ini bagi mereka. Saya menangis. Ya, menangis. Antara suka atau sebaliknya, masih tidak dapat saya pastikan. Namun, saya amat menghargai. Teramat.


Moga sambutan dan ingatan ini bukan yang terakhir. Biar caranya sahaja tiada yang kedua.

18tahun. Tahap pertama menginjak kedewasaan.. atau kematian ?~



No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]