Aku mengeluh berat.
“Apa lagi yang kamu keluhkan?”
“Entahlah! Errr... aku rasa seolah-olah belum bersedia..,” ujarku sambil melemparkan pandangan yang dibatasi blok pengajian. Kelihatan di tepi bangunan blok pengajian itu daun-daun kelapa melambai-lambai seolah-olah tarian kipas tatkala disapa wayu.
“Belum bersedia? Maksud kamu?” Natasya kehairanan.
“Bukan belum bersedia untuk berpisah dengan kamu! Tapi aku rasa macam belum bersedia untuk berdepan dengan para pelajar...”
Natasya ketawa kecil. “Selama kita di institut perguruan ni... kita dah diasuh, dididik, diberi tunjuk ajar, diberi ilmu dan diberi segala kaedah untuk mengajar, mendepani ragam dan gelagat murid dan juga diberi segala perisai untuk menangkis apa juga halangan yang bakal kita tempuhi. Apa lagi yang kamu nak bimbangkan?”
Aku mengeluh lagi, lebih panjang dan dalam. Rengsa.
“Aku dah lama kenal kamu! Pelajar bijak Bahasa Melayu yang bercita-cita luhur nak memartabatkan Bahasa Melayu di kalangan generasi remaja. Aku masih ingat, beberapa bulan selepas kamu belajar di sini, Tuhan telah menghadiahimu dengan piala jaya, cemerlang sebagai pelajar yang paling hebat dalam Bahasa Melayu mengatasi pelajar-pelajar yang lain. Kamu mendapat pujian dari semua pensyarah. Kamu beritahu aku pada mulanya kamu gembira, kemudian jiwa kamu mendadak resah selepas itu. Kata kamu, kamu masih gagal bawa imej Melayu, bangsa yang menjaga pekerti dan budi. Kamu kata, kamu sebenarnya gagal dan benci menjadi gagal, sedang orang lain fikir kamu berjaya... Betul kan?”
Aku sekadar mengangguk. Helaan rengsa nafasku jelas kedengaran.
“Kamu kemudiannya merapati beberapa orang rakan seperjuangan. Rakan yang pada mulanya, fikrah mereka kamu anggap hanya milik mereka yang gagal membolosi hujahmu. Kamu mula menutup mulut dan belajar menjadi pendengar. Aku ingat lagi ketika kamu terperangkap dalam perpustakaan kerana asyik membaca buku tentang Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridhwan dan tentang bahasa dan sastera, kesusasteraan Melayu, kan!”
Aku ketawa sekadarnya. Lucu. Benar, sepanjang di kampus, ada beberapa kali aku terkunci keseorangan dalam perpustakaan kerana terlampau khusyuk membaca sembari bersandar di dinding, di celah gobok buku sambil menatap iya, terutama buku karya-karya Datuk Anwar Ridhwan! Kakak yang menjaga perpustakaan akan kembali sejam selepasnya; melepaskan aku keluar dalam keadaan berpeluh dengan bau harum buku.
“Aku harap kamu telah bersedia untuk terjun ke lapangan. Praktikkan semua ilmu yang ada dalam dada kamu. Hidup kamu sebagai seorang pendidik, ingatlah bahawa setiap tingkah laku kamu untuk anak bangsa, negara dan agama kita...”
Aku hanya mengangguk.
“Dan tentunya kamu belum lupa, sembang-sembang kamu dengan rakan-rakan usai forum bahasa di dewan besar, bukan?”
Aku menghirup jus limau kasturi yang semakin tawar rasanya. Mengangguk sambil kepala mengikut rentak kenangan yang mengimbau. Petang itu, sambil menulis entri di layar maya yang sudah agak lama tidak terisi dengan input-input baru, beberapa orang rakan membuka halaqah, bercerita seperti biasa.
Waktu itu, mereka bercakap tentang perkara yang besar, pun pada fikiran kebanyakan, mahu mentakrifkannya sebagai “ketinggalan zaman”? Aku gusar dalam kalangan rakan dan kenalan kami dari kawasan sekitar dan di serata negara yang melampau perlakuan. Tidak terjaga perkataannya. Bahasa-bahasa asing yang tidak lagi picisan, tetapi sudah keruh lagi mengeruhkan pula yang dijadikan ikutan. Dan, asakan ini semakin hari semakin dirasai kami yang cuba menaungi tanah tumpah darah dengan roh kebangsaan yang tekal! Akhirnya, halaqah bubar dengan kesimpulan-kesimpulan yang tidak akan aku lupakan sampai bila-bila.
“Teman, aku mahu rasa pahit maungnya kehidupan dalam segelas kesejukan, boleh kan?” tanya Natasya memecah lamunanku.
Aku tersenyum dan menghulurkan gelas minumanku padanya.
Hujan semakin nipis. Awan makin cerah.
“Biarlah bahasa itu di hatiku, sahabat! Kerana sudah tidak ada yang setandingnya untuk dibenamkan ke perdu sukma...”
“Begitulah seorang kamu, teman!”
Kami berpelukan. Ketenangan yang jarang sekali dapat aku rasai begitu mengharukan. Indahnya!
“Kali ini, jadilah bakal pendidik yang sudah bersedia ya!”
Aku mengangguk.
“Main masak-masak,
Dari pagi hinggalah ke petang,
Perangai budak-budak,
Entah bilalah dapat kamu buang?”
Aku ketawa dan mengangkat kedua-dua belah tangan. “Yang itu, aku terpaksa fikirkan semula!”
“Selamat tinggal, sahabat. Selepas ini, kamu perlu membawa khabar gembira yang lebih membanggakan kepadaku. Ingat, kata Pak Hamka, hanya orang yang berjiwa besar yang mampu memeluk cita-cita yang besar...”
Selepas itu aku sedar, fikrah aku terlampau banyak berhijrah. Aku diserang rasa rendah diri yang cagun mendadak. Hijrah fikrah tidak akan terlihat dengan sekilas pandang. Mujur ia berlaku ketika usiaku masih muda belia. Usia pertama kedewasaan; seperti yang selalu aku takrifkan.
*Petikan cerpen Menjelang Perpisahan, karya terbaru. Alhamdulillah atas kemenangan itu.
Karya yang kalau mahu diberikan markah sepuluh, satu pun tak layak! Saya tidak membawa pengisian yang dipenuhi fakta kesusasteraan atau seumpamanya, tetapi saya menyimpulkan ‘‘keengganan’ pembangunan minda manusia untuk menjalankan tugas mereka dengan melihatkan kepada keengganan bangsa dominan kita yang ketegar sungguh mahu mendaulatkan wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia, iaitu bahasa kebangsaan.'
“Tidak semestinya apabila sudah belajar Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu tidak perlu digunakan lagi. Dan dengar sini, membudayakan bahasa kebangsaan bukan hanya untuk para penuntut kursus Bahasa Melayu, cendekiawan dan sasterawan sahaja!”
Ahh aku yang tipikal.
Yang tipikal.