.:Followers:.

Sunday, March 27, 2011

Tak Semudah Bicara.


gambar hiasan .


Tanggal 23 Mac , sesuatu telah termaktub menjadi sejarah yang takkan terpadam . Umum sedia mengetahuinya . Ini tak lain dan tak bukan , tentu saya juga bakal perkatakan hal yang senada . Tetapi mungkin dari skop yang berbeza . Alhamdulillah . Itulah ketentuanNya . Ada sinar hikmah dan limpah rahmah yang menanti di pertengahan perjalanan yang baru bermula ini , barangkali . Saya redha . Mula membenamkan rasa syukur itu sedalam-dalamnya ke perdu sukma .


Masih bersedih . Wajarkah ? Itulah , rasa itu masih bersisa kerna belum bisa dilebur sepenuhnya . Biarlah masa memainkan peranan lazimnya . Kalam yang satu ini usah dialunkan dengan nada syahdu penuh kekecewaan , kerna bukan itu yang sebenar-benarnya dirasakan waktu ini . Apa lagi yang cuba disampaikan ni agaknya , ya ? Tentang ujian dunia itulah . Istilah itu kedengaran sumbangkah ? Sepatutnya tidak . Benarlah semua ujian itu wujudnya hanya di dunia , di akhirat nanti hanya hasil yang akan dituai . Faham ? Jadi , biarkanlah saya dengan rentak sebegini .

Hari itu , sebaik saja keputusan itu sampai ke pengetahuan saya , saya terduduk . Kesal , kecewa , terkilan atau apa saya sendiri pun tak pasti . Syukur sajalah yang pasti . Hanya Mama dan Papa yang ligat difikirkan .

“Mama Papa Happy ke dengan result Eika tu ?”

“Ok la .. Dah usaha , kan ? Lagipun banyak subjek penting dapat A tu ..”

Saya hanya melegakan hati sendiri dengan ucapan daripada insan-insan rabbani itu . Namun apa yang tersirat dalam kalbu mereka sebenarnya , hanya Tuhan saja yang tahu . Maaf dan terima kasih , Mama dan Papa !


Saya bahkan telah bertekad untuk menyimpan perkara ini pada diri sendiri . Terlalu nekad . Saya seganlah , dan amat mengharapkan kesefahaman daripada mereka yang bertanya . Namun ada beberapa sahabat Berjaya menembusi perjanjian peribadi saya itu . Tepuklah tangan untuk mereka . Hehe. Lama saya berfikir , bermuhasabah . Teringat kata-kata Adi , belajar bukan untuk mendapat A semata-mata , tetapi untuk ilmu dan manfaat yang dapat diperoleh daripadanya . Ya ! Saya sama sekali tidak menyangkalnya - [untuk melegakan hati lagi].

Kenapa perlu berahsia pula ? Demi menjaga hati sendiri dan orang lainlah ~ Baiklah , izinkan saya luahkan semuanya . Andainya saya mengetahui pencapaian rakan yang lebih tinggi berbanding saya , barangkali diri ni akan terus-terusan merendah diri bahkan mungkin akan berputus asa daripada rahmatNya . Jika sebaliknya pencapaian sahabat lain lebih rendah , barangkali saya akan mula berasa puas pada kedudukan ini sehingga timbul penyakit riak dalam hati kerana telah mengatasi orang lain . Saya tak pinta perasaan sebegini akan muncul , tapi saya mungkin tidak kuat untuk menolak jauh bisikan sang durjana yang nyata itu . Jadi ini sajalah cara terbaik yang mercup di benak - untuk saya mencegah penyakit-penyakit begitu daripada menghinggapi hati kita . Harap sahabat-sahabat tidak tersinggung dengan pendekatan saya ini .

Perlukah kita memahatkan di hati bahawa keputusan ujian dunia [SPM] ini adalah satu kemenangan besar yang perlu menjadi sebutan sepanjang riwayat ? Atau satu nostalgia hitam yang terpaksa berlayar di lautan memori selama hayat dikandung badan ? Tiada perlunya . Semua tahu . Jadi , mengapa perlu berbangga bila Berjaya sedangkan kejayaan hakiki masih belum tersaji di hadapan mata ? Mengapa pula perlu meratapi kegagalan yang sememangnya bakal menjadi anak tangga pertama untuk menaiki puncak kemenangan itu ? Tiada perlunya , kan ? Beginilah cara saya menahan diri agar tidak terus tenggelam ke dalam jerlus kekesalan di tengah padang perjuangan ini .

Berkali-kali saya berpesan pada diri sendiri , “Keputusan SPM bukan penamat bagi segala-galanya . Bahkan , perjalanan ini baru sahaja bermula . Rezeki ada di mana-mana . Berapa pun A yang tercetak pada slip keputusan itu , sikit pun tidak menggambarkan siapa diri kita yang sebenar . Ia hanya simbolik bagi usaha gigih selama beberapa tahun pengajian itu . Itu jualah yang terbaik untuk kita kenang , baik kini mahupun pada hayat akan datang .”

Setulusnya kini saya mudah mulai bertapak teguh pada kedudukan ini , tanpa sebarang penyesalan yang bersarang lagi .

Saya pasti inilah yang terbaik buat saya .

Saya yakin ada hikmah yang menanti di hadapan sana , insya Allah .

Alhamdulillah .

Alhamdulillah .

Alhamdulillah .


p/s : ‘Di mana kita bermula tidak penting . Yang penting , di mana kita pada akhirnya.’ - Terima kasih kepada semua yang pernah berjasa . Jazakumullahu Khairan Katsiraa .


kini ikhlas ,



Friday, March 18, 2011

Manusia , Malaikat dan Syaitan .

Manusia : Eh, dah subuh dah ?

Malaikat : Bangunlah wahai Anak Adam , tunaikan Solat Subuhmu .

Syaitan : Alah , kejaplah , mengantuk lagi ni . Awal lagi la.. [zzzzzzzz]


Manusia : Nak makan , laparlah ..

Malaikat : Wahai Anak Adam , mulakanlah dengan Bismillah .

Syaitan : Ah , tak payahlah . Dah lapar ni .. Makan jelah cepat-cepat..


Manusia : Hari ni nak pakai apa ye ?

Malaikat : Wahai anak Adam , pakailah pakaian yang menutup aurat .

Syaitan : Eh, panaslah.. tak ada style langsung , nampak kekampungan !!


Manusia : Alamak, dah lewat !

Malaikat : Bersegeralah wahai manusia , nanti terlewat ke pejabat .

Syaitan : Ah..awal lagi . Suruh si X punchkanlah ?


Manusia : Azan sudah kedengaran

Malaikat : Wahai anak Adam , bersegeralah menunaikan kewajipanmu..

Syaitan : Baru pukul berapa .. rilexlah dulu ,awal lagi ni .


Manusia : Eh, astaghfirullah.. Tak boleh tengok ini , berdosa ..

Malaikat : Wahai anak Adam , alihkanlah pandanganmu . Sesungguhnya Allah Maha Melihat dan mengetahui !

Syaitan : Perggghh... best tu . Rugi kalau tak tengok ni..


Manusia : Saudaraku sedang melakukan dosa ..

Malaikat : Wahai anak Adam , cegahla ia..

Syaitan : Apa kau sibuk ? Jangan jaga tepi kain orang.. Lantaklah , dosa mereka yang tanggung .


Manusia : Elok kalau aku sampaikan nasihat ini kepada orang lain ..

Malaikat : Wahai anak Adam , nasihat-menasihatilah sesama kamu ..

Syaitan : Sendiri fikirlah , semua dah besar , buat apa susah-susah... Pandai-pandai merekalah


Manusia : Aku telah berdosa..

Malaikat : Wahai anak Adam , bertaubatlah kamu . Sesungguhnya Allah Maha Pengampun .

Syaitan : Tangguhlah dulu , lain kali boleh bertaubat.. Lagipun muda hanya sekali .. Rugilah..


Manusia : Kalau pergi, mesti seronok !

Malaikat : Wahai anak Adam , kakimu ingin melangkah ke jalan yang dimurkai Allah , berpalinglah dari jalan itu .

Syaitan : Jangan bimbang , tiada sesiapa yang tahu . Jomlah..


Manusia : Letihnya hari ni.. Eh , tak solat lagi la..

Malaikat : Wahai anak Adam , taatilah Allah dan RasulNYA . Kebahagiaan di dunia dan akhirat untukmu . Solat itu wajib bagimu .

Syaitan : Hey anak Adam , ikutilah aku.. Kebahagiaan di dunia (sahaja) dan kebahagiaan diakhirat (jangan mimpilah!) untukmu ..




Sekarang anda mempunyai 3 pilihan :


[1] Anda : Patutkah saya biarkan Kisah ini tetap di dalam blog ini..

[2] Malaikat : Ingatkan juga pada kawan yang anda kenal (kongsikan entry ini)

[3] Syaitan : Tak payahlah sibuk-sibuk..


Wallahu’alam bissowab..


p/s : Buatlah apa-apa yang patut.. Tiada sebarang paksaan . Wassalam .




Sunday, March 6, 2011

Kisah Kasih Kekasih .

Rasanya sudah lama saya tidak berkongsi entri yang lebih bermanfaat dengan pembaca . Entah , asyik merapu saja~ Memanglah , Encik Idea bukannya datang setiap masa . Selepas saya membuat pembedahan ke atas pendrive saya yang sedang dijangkiti virus H1N1 tu (agaknya), saya terjumpa satu kisah . Sudah lama ia terbiar . Mungkin inilah masanya untuk saya titipkan kisah itu di sini , sebelum virus-virus benci (daripada laptop durjana bekas-milik kakak saya ) itu menular dan menghapuskannya dari situ .


:: Kisah ini saya dapatkan daripada seseorang , tetapi saya benar-benar lupa siapakah orangnya kerana sudah terlalu lama . * Maaf ya orang itu ~* ::


Pada suatu malam di hadapan panggung wayang …


gambar hiasan : jelas-jelaslah gambar ni waktu siang ~ :P


Sizuka : Best tengok wayang dengan awak tadi . Cerita tu tak membosankan , kan?

Nobita : A’ah tak bosan . Best !

Sizuka : Kalau best , kenapa awak letakkan kepala awak kat bahu saya dan kata yang awak mengantuk ?

Nobita : Errr~ hehe..


Sizuka : Nasib baik kita pakai sweater kan ? Kalau tak , mesti sejuk kat dalam tu .

Nobita : A’ah . Betul ! Taklah sejuk sangat tadi bila dah pakai sweater ni .

Sizuka : Kalau tak sejuk , kenapa awak pegang tangan saya dan kata yang awak sejuk ?

Nobita : Errr~ hehe..


Mereka pun menuju ke i-City ..


Sizuka : Saya cantik tak ?

Nobita : Mestilah cantik . Sebab tu saya sayang ~

Sizuka : Kalau saya ni betul cantik bagi awak , kenapa bila saya pakai baju-baju tertentu saja baru awak akan puji saya . Kalau saya pakai baju longgar , awak diam . Kadang-kadang awak akan tanya saya kenapa pakai baju besar . Kalau saya pakai baju ketat, baru awak puji saya cantik . Kenapa ya ?

Nobita : Errr~ hehe..


Mereka pun tiba di i-City ..


Sizuka : Jom snap gambar . Saya nak tangkap gambar awak bawah lampu tu .

Nobita : Kita tangkap gambar berdua la sayang . Meh duduk sebelah saya ni . Rapat sikit , nanti tak masuk pulak gambar awak .

Sizuka : Boleh ke rapat-rapat ni ? umph~

Nobita : Takpa . Awak kan awek saya .

Sizuka : Awek je , bukannya isteri yang sah .

Nobita : Errr~ huhu..


Sizuka : Nanti saya simpan gambar kita ni dalam laptop saya ye ?

Nobita : Alaa..upload lah terus dalam FB .

Sizuka : Eh , boleh ke ? Tak eloklah . Gambar tu dah lah awak dengan saya je , yang ke-3 syaitan , lepas tu nak pergi heboh 1 dunia tentang dosa yang kita buat . Tak malu ke ? umph~

Nobita : Errr~ huhu..


Mereka pun pulang .


Sizuka : Awak sayang saya tak ?

Nobita : Mestilah sayang . Sayang sangat-sangat tau . Haha .

Sizuka : Buktinya ??

Nobita : Eh..macam ajak bergurau je . Nak saya kiss pipi awak tu pulak ke ? Hehe .

Sizuka : Ish..apa ni ? Teruknya pemikiran awak . Huh .

Nobita : Eh..errr~ huhu


Sizuka : Mak saya kata , kalau kita sayang sesuatu , kita akan jaga sebaik mungkin .

Nobita : Eh..mestilah ! Hehe

Sizuka : Tapi awak tipu !

Nobita : Eh..kenapa pulak saya tipu awak ??

Sizuka : Kalau awak sayang saya , mestilah awak jaga saya sebaik mungkin tapi awak tak jaga saya dengan baik pun . Awak sentuh-sentuh saya , pegang tangan saya , cuba nak kiss saya , ajar saya buat benda bukan-bukan yang saya tak pernah buat sebelum ni , selalu ajak saya keluar malam-malam .

Nobita : Owh..sekarang awak nak salahkan saya la sebab ajak awak keluar malam ? Mak ayah awak yang bagi izin tau !

Sizuka : Memang diorang yang bagi izin tapi awak tahu tak yang diorang jugak yang akan tanggung dosa saya dengan awak malam-malam macam ni sebab diorang bagi izin pada saya , anak perempuan diorang untuk keluar dengan lelaki bukan mahram tanpa adik atau abang saya sebagai peneman . Lepas tu buat benda-benda tak senonoh ! Pegang sana pegang sini . Awak tahu tak panggung wayang tu mungkin sejuk bagi awak sampai terpegang tangan saya dengan sengaja , tapi neraka tu teramat panas dan tangan yang memegang tangan saya tu akan dibakar dalam api neraka berulang kali . Awak sedar tak semua tu ?? Tangkap gambar nak kepit-kepit , padahal boleh je tangkap gambar sorang-sorang kan ? Then , nak heboh kat 1 dunia . Lepas tu nanti orang ‘like’ awak pun suka sebab orang tau siapa awek awak dan hubungan awak dengan saya kononnya bahagia tapi awak sedar tak yang malaikat sentiasa mencatat segala apa yang kita buat . Awak ada ilmu agama . Kalau tak ada ilmu agama pun , awak tahu benda tu salah . Tapi kenapa masih buat ? Awak sedar tak ? Ingat Allah tak waktu awak buat semua tu ? Awak belum tentu jodoh saya , nak sentuh-sentuh saya . Kalau awak dah sentuh-sentuh saya , apa je yang suami saya boleh dapat special dari saya sebagai isterinya yang sah nanti ? Awak nak ke isteri awak dah macam sisa orang ? Awak mesti akan cakap awak akan pastikan yang awak akan nikah dengan saya sebab tu awak boleh sentuh-sentuh saya . Tapi awak sedar tak yang awak tu siapa ? Hanya hamba Allah . Awak bukan Tuhan untuk tahu siapa jodoh saya dan jodoh awak . Awak sedar tak ? Kalau betul awak sayang saya , awak jagalah saya baik-baik , beri sokongan saya jadi muslimah solehah . Dekatkan diri kepada Allah , mohon padaNya supaya izinkan kita dijodohkan bersama kerana saya milik Allah . Ibu bapa hanya penjaga saya , mereka menjaga saya sepenuh kasih sayang dan didikan yang baik sehingga sanggup memberi kepercayaan pada awak untuk menjaga saya , tapi awak jaga saya tak ? Tak , kan ? Awak bawa saya kearah keburukan . Awak sedar tak ? Banyak lagi yang awak buat , saya pun terlalu kurang pandai ikutkan je kemahuan awak . Nanti kat neraka bila Allah soal saya dengan dosa-dosa maksiat yang kita buat , bukannya awak dapat backup saya depan Allah , kan ? Tolonglah tahan diri tu sehingga kita dah sah dinikahkan . [menahan sebak]


Suasana bertukar menjadi suram sehinggalah Nobita mula meluah perasaan ...


Nobita : Kenapa dari dulu awak tak cakap semua benda ni ? Kenapa bila kita dah lalui macam-macam baru awak nak luahkan semua ni ?

Sizuka : Sebab sebelum awak nak couple dengan saya , awak janji yang awak akan jaga saya baik-baik . Awak suka dengan saya pun sebab bagi awak saya baik tapi semakin lama awak makin berubah . Perubahan awak turut merubah diri saya . Baru sekarang saya luahkan semua benda ni sebab selama ni saya sentiasa menanti agar Nobita yang dulu kembali . Nobita yang menjaga saya dengan baik . Saya tunggu Nobita tu. Tunggu dan terus menunggu kerana saya sayangkan dia . Tapi semakin lama saya tunggu , semakin menjadi-jadi . Awak fikirlah baik-baik apa yang saya sampaikan . Kalau awak masih tak berubah , lepaskan saya kerana Allah .

Nobita : ......


Pesanan Ikhlas ::



kepada pasangan yang sedang hangat menyulam cinta dan kasih sayang , jagalah batas andaa! Ingat larangan Allah . Cinta itu indah kerana Allah yang menciptakannya tapi jangan sampai cinta untuk Allah itu dinodai oleh cinta manusia . Menjadi kebiasaan , dalam berkasih ada kesalahan yang akan dilakukan . Jadi seringlah bermuhasabah dan beranikan diri untuk mula buat perubahan . Beranikan diri menegur pasangan sebelum Allah menegur dengan pembalasan dan azab kelak . Wallahu’alam~


**Peringatan untuk semua , beribu kali peringatan untuk diri yang teramat hina ini~**


p/s : Laptop durjana tu pun sebenarnya bakal menjadi milik saya juga . Aduhai..



Friday, March 4, 2011

Jatuh Hati ~!

Assalamualaikum . Salam memulakan kalam yang bakal berbunyi suram di celah-celah kekelaman malam ini . Runsing . Tidak tahu harus berbuat apa lagi , lalu tercetuslah titipan rasa hati si perindu yang sedang didakap sunyi dan gelemat malapnya lampu dari segenap ruang kamar ini , sendiri . Ahh.. cukuplah berbasa-basi . Saya tahu benar fikiran pembaca . Maaf . Beginilah Eika Fereizya . Dia dan kata-katanya , sedunia .

Apabila muqaddimah berbunyi muram , jelaslah , keadaan yang memaksa lagunya begitu . Saya harus membiasakan diri . Mujurlah Encik Blogger bersama teman-teman pembaca sentiasa ada mendengar luahan rasa meskipun kalian sering saja diabaikan sejak akhir-akhir ini . Maaflah , bukan saya sengaja . Aduh , celoteh lagi . Hentikan ~!

Sudah . Saya mulakan . Ini bukan masalah keluarga . Bukan pula masalah Negara . Apalagi masalah dunia . Ini masalah saya . Aduh , tumpahan tinta di layar maya ini sudah kedengaran sedih pula . Saya ingin berkongsi berita gembira sebenarnya (baiklah , saya sudahpun memberitahunya secara tidak langsung menerusi tajuk di atas tu~ hehe ). Benarlah tu , saya memang sudah jatuh hati ! Lagi . Akhirnya~ J Pada siapa ? Bagaimana ? Sejak bila ?



Sejak akhir-akhir ni saya rasakan diri begitu sensitif pada sesuatu perkara . Jatuhnya hati saya kali ini adalah pada mereka (amboi , boleh pula pada ramai orang sekaligus) :

1) Hafiz

2) Ana Raffali

3) Danny Phantom

4) AnwarHadi

5) Matluthfi90


wajah-wajah JUARA di hati saya ~!


Bukanlah exactly pada Hafiz , tetapi pada lagu terbarunya [Awan Nano] yang amat puitis dan bermakna pada saya . Baru kali ini saya dapat mendengar sebuah lagu yang benar-benar telah menawan kalbu sehingga terinspirasi menjadi mimpi yang sempurna sejak belakangan ini . Lihat sajalah lirik lagunya . Indah .


Akulah awanmu yang sedia
Melindungi dirimu tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu

Akulah awanmu yang sering kau rindu
Dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai jejarimu

Kasihku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Saya sukakan cara penulis lirik itu [tak tahulah siapa . Saya agak malas untuk mencari tentangnya . Maaf.] menyusun gaya bahasanya – mengumpamakan diri sebagai awan yang selalu ada , bersiapa siaga melindungi diri orang kesayangannya daripada panahan terik mentari . Yang lebih mengujakan adalah dedikasi lagu itu sendiri . Ia seolah-olah bersifat global (lucu pula bunyinya..). Maksud saya , lagu sebegini bukan hanya dikhususkan untuk pasangan/kekasih . Jika dilihat daripada klip videonya , jelaslah lagu ini juga ditujukan buat tatapan para ibu/bapa . Kan lebih manis dan bermakna jika begitu ?

Begitu juga pada Ana Raffali . Lagu Ketika Aku Kecil pun telah menambat hati saya yang sekian lama agak tandus dengan kehalusan seni yang sedia mengalir dalam darah keluarga ini . Haha . Agak sadis , ya bunyinya ~ Kebanyakan lagu beliau yang dapat kita dengar hari ini berasal daripada penulisan sajak [koleksi peribadinya] . Itulah yang menariknya , pada saya . Mungkin kerana itu jualah saya meminatinya – di saat ramai orang tidak menyenangi beliau sejak berjaya merangkul gelaran Juara AJL25 tidak lama dahulu .


Ketika aku kecil aku pernah percaya
ramlee puteh hidup di dunia hitam putih
purnama sengaja mengekoriku
kemana ku pergi
hujan adalah waktu keluar bermain
tapi bila ku dewasa sukar untuk ku percaya
apa yang ada di depan mata
bila dia membisikkan
aku adalah pilihan hatinya yang pertama dan terakhir

Dalam lagu ini Ana Raffali dilihat jujur dan bijak mengolah setiap bait kata , menjadikan SITUASI BIASA dirasakan lebih indah ceritanya apabila dihayati menerusi lagunya itu . Ini hanyalah pandangan peribadi saya ~

kacak kan ?


Ouh , Danny Phantom . Saya memang sudah lama memendam rasa pada si dia ni . Waktu itu kami sebaya . Tapi sekarang saya sudah meningkat 18 tahun manakala dia masih pada umur 14 . Dan , tak segan jika saya katakan bahawasanya ia adalah cinta pandang pertama ~! Menarik , bukan ? (err..nobody thinks so , okay~)

AnwarHadi dan Matluthfi90 . Saya tidak begitu mengenali mereka . Tapi saya kagum . Sungguh ! Mengapa ? Sukar untuk diperjelas . Saya kagum pada cara mereka berkongsi pandangan tentang sesuatu perkara melalui V-Log masing-masing . Optimis . Realistik . Kreatif . Saya sangat teruja ! Antara video yang menjadi kegemaran saya adalah tentang ‘penggunaan bahasa rosak’ oleh AnwarHadi dan ‘siri drama-drama stereotaip di televisyen’ oleh Matluthfi90 . Di sini saya kepilkan link saluran mereka berdua untuk tatapan pembaca yang masih belum berkenal-kenalan dengan ‘entri’ V-Log mereka . Nilailah sendiri nanti . J

-IniAnwarHadi-

-Matluthfi90-


Oh ya , hampir terlupa pula . Saya juga telah terjatuh hati pada drama Singapura terbaru di NTV7 , Together . Drama yang ala-ala 60-an , macam Drama Gemilang arahan Kabir Bhatia yang sedang ditayangkan di TV3 tu .. Lagi satu , filem The pursuit of Happiness (berdasarkan kisah benar) . Untuk yang ini , saya tak dapatlah menerangkan lebih lanjut . Pembaca kenalah tonton sendiri bila-bila masa nanti .


p/s : Harap-harap 'kejatuhan' hati ini tidak membawa kepada sebarang kemudaratan kepada diri saya . Amin ~




[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]