.:Followers:.

Saturday, November 14, 2015

Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin


Dalam banyak-banyak gambar, gambar candid lah yang selalunya aku suka. Candid yang betul-betul, bukan yang dibuat-buat. Aku kurang gemar bergambar kerana pada aku gambar selalunya menipu. *Lebih-lebih lagi dengan kemudahan/ aplikasi suntingan dsb.

Aku perasan, semua benda akan kelihatan lebih cantik dan indah dalam gambar. Kulit wajah, tempat (latar belakang) suasana, mood, uh hampir semuanyalah.

Sedang hakikatnya, kita sahaja yang lebih mengetahui sama ada kecantikan dan keindahan itu hanya pada sekeping gambar *yang kita mahu tunjukkan pada dunia* atau benar-benar cantik terakam dalam hati dan memori untuk kita kenang sampai mati (meski indahnya gambar itu secara zahir atau batin, kita jua lah yang memaknakannya. Heh).

Dan kekadang, melihat diri sendiri dalam satu-satu gambar adalah antara perkara yang boleh membuatkan aku rasa teruk sekali. Kerana aku akan mencari-cari kesempurnaan diri padanya - Biar bagaimanapun gambar tersebut, aku harus kelihatan cantik di dalamnya, senyumanku harus kelihatan jujur, aku perlu menunjukkan kegembiraan, aku harus begitu, aku mesti begini dan sebagainya.

Aku jadi melihat gambar sebagai ego yang berbicara, bukan sebagai cermin yang menilai. Ego yang hanya mahu mendengar dan melihat yang baik-baik tentang diri sendiri sedang buruk-buruk yang dah meninggi, mahu didiam sepi.

Kerana aku cukup tahu pada takat mana saja kebaikan aku berbanding keburukan, jadi cukuplah aku saja yang tahu. Cukup aku melihatnya lewat cermin kamar setiap hari. Tak perlu (baca: takut, bimbang) dunia turut melihatnya.

Heh.

P/s: 'Aku' boleh jadi sesiapa saja.
Ini, aku di antara lensa ego dan kaca cermin tatapan setiap hari.

No comments:

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]