Aku tak pasti apa yang aku dah buat seumur hidup ini; yang boleh melayakkan aku dikurniakan sahabat sehebat almarhum Loqman. Samada sebagai satu rahmat, ataupun ujian, mengenalinya membuatkan aku sedar bahawa betapalah kita boleh menyusun berjuta aksara membentuk kata, namun jika tidak benar-benar cinta, kata-kata tinggal sia-sia.
Cinta Loqman pada ilmu pengetahuan, pada bidang pendidikan, pada gelandangan, pada anak-anak yang memerlukan, pada kemanusiaan menjangkau kata-kata dan tulisannya yang kita sedang baca sekarang. Ini semua adalah perjuangannya. Kerana dulu aku juga pernah diajukan soalan yang 'berat', membuatkan aku terdiam dan buntu beberapa malam memikirkan jawapannya. Soalan Loqman,
Cinta Loqman pada ilmu pengetahuan, pada bidang pendidikan, pada gelandangan, pada anak-anak yang memerlukan, pada kemanusiaan menjangkau kata-kata dan tulisannya yang kita sedang baca sekarang. Ini semua adalah perjuangannya. Kerana dulu aku juga pernah diajukan soalan yang 'berat', membuatkan aku terdiam dan buntu beberapa malam memikirkan jawapannya. Soalan Loqman,
"Apa yang kau nak perjuangkan dalam hidup ni?"
Aku tidak sematang dan sekental dia biarpun kami dalam usia yang sama. Cara dia mengasihi dengan terus dan terus memberi adalah begitu menakjubkan. Cara dia menguruskan setiap detik dalam hidupnya dengan menjadi manfaat kepada banyak manusia adalah sesuatu yang amat membanggakan. Pernah dia katakan pada aku,
"Busy is good. Buat apa yang kau plan tu. Those activities to keep u occupied. Masa kalau tak guna, rugi."
Kekadang aku berharap agar masa boleh berhenti seketika dan kita semua diberi lebih masa untuk mengenali susuk figura dan menelusuri pemikiran seorang Loqman dengan mendalam lagi. *Meski aku sedar siapalah kita untuk menafikan qada' dan qadar Tuhan. Kerana pemergian Loqman ini menyebabkan satu kelompongan yang besar dalam hidup aku sebagai pelatih guru kerana Loqmanlah satu-satunya sahabat di IPBA;
Yang dapat memahami kucar-kacir pemikiran aku tentang ideologi-ideologi yang rencam dan pelbagai,
Yang boleh duduk bersembang 2-3 jam dengan aku tentang buku-buku, isu politik dan hal luar-dalam gerakan,
Yang tak pernah jemu menghamparkan ruang dan peluang untuk sama-sama aktif beraktivisme membuat kebajikan,
Yang sedia berkongsi luahan dan pemikiran tentang kebobrokan sistem pendidikan *tak kurang juga sistem pentadbiran..
Haihh. Takpalah. Ada hikmah. Mungkin mulai detik ini, Allah pertemukan aku dengan ramai lagi teman yang lebih baik *jika tidak setandingnya. Aamiinn.
Terima kasih, Loqman. Sebab percayakan aku selama kita berkawan.
***
*Gambar adalah sambungan perbualan kami via Watsapp (26 Mei). Demi Tuhan, sampai bila-bilapun jika dia masih bertanyakan soalan yang sama, aku tetap tiada jawapan untuk itu. Loqman sahabat yang tak pernah melukakan. :)
Orang kata.. manusia, jika tidak terdidik hasil dari pengalaman, akan belajar dari contoh tauladan. Dengan siapapun Loqman 'mendapat dan menyerap dan mencontohi' citra tersebut sehingga menjadi siapa dirinya selama ini, semoga Tuhan juga merahmati mereka.
Ikhlas,
Miss Moving On.
Yang hang panggil 'Eika' @ 'Ustazah'.
Khamis 11 Jun
11.28am