.:Followers:.

Tuesday, December 24, 2013

CSI: Citra Sastera Ilahi

*Cerpen ini adalah adaptasi kisah realiti pemilik hati dan fantasi pencintanya.*


Hari yang indah. Mana terbanding dengan berjuta diskripsi yang direka manusia. Sendirian di dalam surau pada hari yang indah itu, Shah bertemankan halwa kedinginan yang mendamaikan. Apa terganti dengan udara dingin dari segenap ruang pintu dan jendela yang terkuak? Ianya seolah bernyawa dengan abstrak bergeraknya. Dan Shah seorang pengkagumNya – Sang Pencipta yang memberi nyawa.

Hari itu seperti selalu, imbasan matanya masih kuat dan jelas untuk melihat sekeliling. Menangkap titik-titik kekuasaan Tuhan di alam buana yang penuh kefanaan. Menuntut sedikit kefahaman untuk menterjemah abstrak lukisanNya.

Ah, sebenarnya tidaklah abstrak, cuma mata manusia ini rabunnya yang banyak! Fikir Shah sendiri. Duduk-duduk di kubik hamparan solat, Shah enak memerhati seluas apa dia mampu.

“Assalamualaikum, sir. Boleh saya tanya sikit?” sapa seorang pelajar.

Terbebar lamunannya. “Waalaikumussalam. Boleh.. Apa dia?”

“Hmm. Sir rasa.. kenapa Tuhan kekadang tidak adil pada kita, ya?” Adam yang dari tadinya memerhatikan tingkah laku guru juga warden asramanya, tiba-tiba saja bertanyakan hal itu.

“Kenapa kamu kata begitu?” spontan Shah bertanya. Terkejut, namun cuba dibendung agar tidak kelihatan.

“Kalau Tuhan itu adil, mengapa saya tidak dijadikan sama seperti teman-teman lain?” jawab Adam. Jiwanya jelas dirundung resah. Shah diam membiarkan Adam berjenak-jenak dengan fikirannya.

Adam menyambung bicara, “Saya pelajar bodoh, sir. Belajar macam mana kuat sekalipun, saya tetap tak capai cemerlang.”

“Saya.. sudahlah cemerkap, kurang pintar, slow learner, takda keberanian pula, langsung tak seperti yang lain. Saya.. saya ni dengan teman perempuan pun saya tidak berani berdepan. Dikatakan lelaki, begini?” Sambung Adam, menahan sebak.

Shah menyimpulkan senyuman. Dilontarkan pandangannya ke luar, di sebalik kekisi besi putih yang sudah mula dihinggap karat. Terlihat sebatang pokok durian nan sebatang, tegak di atas bukit menghijau.

“Jadi?” hanya sepatah kata diungkapkan.

Jeda.

 “Saya sudah kehilangan, sir. Hilang punca. Doa saya tidak pun diterima. Saya.. saya tidak pernah dapat apa yang saya doakan!”

“Adam..” Shah memanggilnya lembut. Diusap perlahan bahu anak muda itu apabila disedarinya Adam tertunduk sayu.

“Allah tidak pernah menjadikan manusia ini bodoh. Dia hanya mengurniakan setiap orang dengan kepandaian yang berlainan. Kita semua mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, kan? Jadi, tiadalah manusia yang bodoh, yang ada hanya manusia dengan kepandaian yang berbeza. Ingat tu.” Shah cuba meyakinkan.

Adam yang hanya mendengar tidak terkata apa. Diusap-usapnya tikar yang memenuhi segenap ruang surau itu, tanpa cinta.

 “Lagi pula, jika semua manusia terlahir pandai, maka  takkan ada istilah ‘pandai’ dalam dunia ini. Jika sempurna segala kejadian di muka bumi, maka bukan di dunialah kita ni, tapi Syurga!” sambungnya lagi separuh berseloroh.

Adam tersenyum tawar sebelum Shah meneruskan kata, “Jadi Adam, begitulah, kelahiran insan seperti kamu dan kesemua subjek perbandingan kamu itu merupakan salah satu bukti keadilan Tuhan sebenarnya - buat pengamatan kita.”

Adam mengangguk faham. Dia terkelu. Lama.

“Tapi sir.. saya tak terdaya menahan hati daripada berperasaan sebegini tidak puas hati dengan takdir hidup ini! Bahkan.. ibu bapa saya juga merasakan yang sama tentang saya. Sir tahu rasanya? Sebenarnya lebih sakit lagi, kerana penghinaan itu datang berterusan daripada orang tua kita sendiri. Lebih terluka lagi rasanya kerana keluarga sendiri yang memandang rendah diri kita ini.”

“Kekadang, saya sepenuh hati mahu menjadi seperti Zairul. Saya tidak tahu bagaimana, tapi setiap hari apabila saya terlihat dirinya, saya akan terus membayangkan di dalam hati – menjadi dia setiap hari.” Sambungnya tanpa dipinta.

“Eh. Kenapa begitu?” Tanya Shah, menjangkakan penjelasan meski dia sendiri dapat menebak fikiran pelajar di hadapannya itu.

“Dia pelajar cemerlang, sering disenarai hebat dalam kalangan 5 yang teratas. Keramahan dan kepandaian dia lebih menyerlahkan lagi rupa parasnya yang kacak itu. Dengan itu saja dia boleh menjadi popular di sekolah kita. Kebanyakan pelajar perempuan juga menyenanginya.”

“Hanya kerana itu?”

Adam mengangguk perlahan.

“Sejujurnya, saya benar bersetuju dengan pandangan kamu. Saya juga memuji kelebihan yang dia punya.” Balas Shah. Sekadar menduga. Adam mengetap bibir, seolah sedang menahan seribu satu rasa.

“Tapi Adam, adillah dengan diri kamu juga. Bagusnya dia di mata kamu tidak harus membuatkan kamu memandang sepi kekurangan dirinya. Saya yakin kamu tentu masih belum lupa dengan laptop kamu yang dicurinya dulu, kan? Dia mungkin sebegitu hebat dalam pelajarannya, tapi apalah maknanya andai ilmu yang dia ada itu tidak dijadikan hikmah buat dirinya sendiri. Dia tidak sepatutnya bermasalah begitu. Kes kecurian motorsikal cikgu dan perbuatan-perbuatan khianatnya yang lain? Kamu lupa?” jelas Shah. Bertubi-tubi ‘tembakan’ dilepaskan bagi membuka mata fikiran Adam.

Adam menggeleng sekadarnya. Tidak dapat tidak dia menafikan perkara itu.

Shah berfikir sejenak. Dengan senyuman paling manis terukir, dia kembali menyelami lubuk kalbu terdalam pemuda itu. “Adilnya Tuhan itu harus kita cari citranya pada diri kita terlebih dahulu. Mungkin kamu belum terlihat citra itu pada diri kamu. Tak mengapa, saya dulu juga begitu.” Mereka tertawa kecil.

“Barangkali Zairul juga sama, jadi doakanlah dia.” Bisik Shah, membuatkan Adam menebar senyuman.

“Allah sentiasa adil. Bahkan pada setiap permohonan hamba-hamba kepadaNya. Saya kira Allah memang sedang berlaku seadil-adilnya pada diri kamu. Saya dapat lihat, kamu tahu dan sepenuh sedar akan diri kamu. Tapi kamu juga harus tahu, Adam, itu bukanlah satu dosa, tapi juga kurnia. Segala kekurangan yang kamu anggap paling besar pada diri kamu itu telah Dia saksamakan, dengan melindungi kamu daripada noda dunia. Kamu tak pernah membuat onar di sekolah. bahkan rajin pula ke surau. Faham kan maksud saya?”

“Faham. Mungkin.. entahlah sir, saya terlalu mengharap kesempurnaan dari Dia. Terlalu menuntut keadilanNya. Dalam setiap doa dan harapan saya.” Adam membalas. Kedengaran defensif.

“Tak salah, Adam. Cuma jangan pernah lupa hakikat ini: Mungkin Dia lambat mengabulkan hasrat hati hambaNya, Adam ini kerana Dia Maha Tahu ada satu waktu nanti yang paling sesuai bagi kamu untuk itu – Iaitu bukan sekarang. Mungkin juga Dia takkan langsung memakbulkan doa kamu, kerana ada sesuatu yang jauh lebih baik untuk kamu nanti daripada apa yang kamu hajatkan waktu ini. Fahami definisi ‘adil’ Sang Maha Rahim, dan kamu akan yakin sepenuh hati, Adam.” Ujar Shah. Padu dan meyakinkan.

“Insya Allah sir. Saya mahu cuba.” Teragak-agak, Adam meluahkan.

“Sabar, ikhlas dan redha sahaja. Dan Allah pelihara segala. Percayalah.” Shah separuh memujuk.
“Ahh. Senang cerita, bila kamu mulai rasa susah hati, cuma ingat yang tiada satu pun kekal dalam hidup ini. Susah, mahupun senang. Hanya dengan cara itu kamu akan lebih tegar untuk meneruskan hidup tanpa memikirkan lagi bahagian diri kamu yang serba kurang itu.” Sekali lagi Shah menabur benih azimat dan semangat baru pada hamparan fikrah pelajarnya itu.

“Ya tak ya. Saya rasa lebih lega dan tenang sekarang. Terima kasih, sir.” Adam seakan terlihat sinar baru yang dibentangkan Shah di hadapannya. 

“Masya Allah. Alhamdulillah. Panjatkan pada Dia. Saya, tiada daya apa.”

“Alhamdulillah. Saya tahu.. saya tetap perlu berterima kasih, sir. Saya tak silap memilih teman bercerita.” Adam mengukir senyum. Ikhlas. Senyumannya sama menjangkiti Shah.

Adam memandang jam yang dipakai kemas di pergelangan tangan kanannya. Kaget kecil.

“Ada hal?” Tanya Shah, memahami riak kaget yang ditunjukkan. Adam sekadar mengangguk sebelum bangun meminta diri dan bersalaman dengan gurunya itu. Shah menggenggam erat tangan pemuda itu lalu ditarik kemas dalam pelukannya. Sempat dia berpesan agar Adam jangan pernah berputus asa dengan Tuhan dan kehidupan.

Selang beberapa ketika selepas Adam keluar meninggalkan ruang itu, Shah terfikirkan dirinya. Dia seolah terlahir baru. Adam dan hidupnya, dia dan nasihatnya. Semuanya adalah dariNya untuknya juga.

“Subhanallah!” tercerlus kalimah agung dari mulutnya seraya bingkas dia bangkit menunaikan Solat Sunat Dhuha. Usai melipat dan menyusun semula sejadah yang digunakan tadi di tempatnya, Shah berjalan tenang menuju ke kamar guru, seperti seharusnya dia.

Other Stories Photograph by Taylan Soyturk - Other Stories Fine Art Prints and Posters for Sale
"Tuhan tak membiarkan kau sendiri. Tak pernah sekali." 

Dilontarkan pandangannya ke sekeliling. Terlihatnya lagi pokok durian nan sebatang, tegak di atas bukit menghijau. Fikirannya mula membuahkan ‘hikmah cinta’.

Pohon itu, kira-kira adakah yang melihatnya?

Kira-kira, akan ternampakkah sebiji durian ranum tergantung sendiri di hujung dahan?

Kira-kira, adakah sepasang mata lain yang terlihat apa dia lihat itu?

Matanya secara zahir, merakam pergerakan awan nan biru; Itupun jika dia memaksa sedikit kepalanya mendongak ke atas. Depan matanya, di sepanjang jalan itu cuma bangunan sekolah dan asrama pelajar yang menyerlah cat pudar entah sejak zaman bila.

Tapi, dia nampak pokok durian nan sebatang itu.

Shah senyum penuh makna, pada hati sendiri. 'Benarlah, tempat terindah itu rupanya pada pandangan mata. Jika hati kita punya taman di dalamnya, tempat terburuk pun boleh jadi yang terindah.

Lumut di sekeliling batu-batuan sungai itu, cantiknya pada kilat hijau yang pekat; Meski kita boleh melihat ia sebagai tanda bahawa sudah tidak terjaga lagi keadaan di situ.

Dedaun kering - yang membahagiakan tentangnya adalah warna kuning yang meneman hijau terang; Meski kita sepenuh sedar yang ia sudah layak dipijak keras.’

Sebaik sahaja tiba di ‘pejabat’ kecilnya, Shah melabuhkan punggung di atas kerusi empuk kepunyaannya. Dia mencapai sebatang pen hitam dan buku jurnal kulit keras berwarna merah hati dari sudut yang digelarnya ‘koleksi sentimental’ lalu dicatatkan ‘hikmah cinta’ dapatannya hari itu. Tulisan itu dari hati, untuk hatinya dan hati-hati kesayangannya di kemudian hari.

Kita ini manusia. Selalu sahaja berasa kecewa. Senang sahaja untuk mengeluh.
Tiada salahnya. Sesekali kita perlu juga melihat kejelekan hidup ini.
Tapi, mengapa harus kecewa itu menyirnakan warna-warna ria dalam hidup kita?

Aku terlihat pokok durian nan sebatang tadi.
Di bawahnya rerumput menghijau.
Aku terlihat diriku.

Pada indahnya sebatang pokok itulah rerumput kecil riang bertunas.
Mereka mengitari kehidupan pohon yang bersendirian.
Berbakti kepada manusia, untuk udara yang kita hembuskan.

Demi Allah.
Shah dan cinta, jangan berhenti bahagia.

-Shah Z-

12102013

Wednesday, August 28, 2013

Dari Anon


Engkau..

Tersanjungkah engkau yang pandai bercakap tentang keheningan
Sunyi ditingkah rintih instighfar,
Kecupak air wudhu’ disapa angin malam,
Lapar perut kerana siam,
Atau kedalaman munajat dalam rakaat nan panjang?

Tersanjungkah engkau yang licin lidahmu bertutur,
Sementara dalam hatimu
Tiada apa-apa.

Kau kunyah mitos pemberian masyarakat
Dan sangka baik orang-orang berhati jernih,
Bahawa engkau adalah seorang yang saleh,
Alim, abid lagi mujahid,
Lalu puas meyakini itu tanpa rasa ngeri..

Saidina Abu Bakar selalu gementar 
saat dipuji orang
"Ya Allah, jadikan diriku
lebih baik daripada sangkaan mereka.
Janganlah Engkau hukum aku
kerana ucapan mereka,
dan ampunilah daku lantaran ketidaktahuan mereka,"
ucapnya lirih.


Sunday, June 16, 2013

Tale #6

"Do not worry about the future. Live this day completely!", Said a friend today.

At the end of the chat, tears are welling up.. Then gracefully flowing down like Kuala Lumpur breeze in a sunny day. I don’t know, somehow my soul is rather quick at being offended for uncertain things.

"That's right"

I think the waves in my soul are restless, are not known.

"Seek the God"

I feel like sobbing, crying remembered another friend said.

She then claimed that ‘God does not exist ‘above’..’

"Thus, where is God?"

With a smile, she replied, "In the heart."

"Far is it, the journey..?"

"How far, though nearer.."



Friday, May 31, 2013

Dari Kerana Nama..

Dulu, sewaktu masih di bangku sekolah, saya cukup membenci nama sendiri. Dan saya teramatlah cemburu melihat teman-teman lain yang punya nama yang tidak aneh - cantik dan baik.

Sedang nama saya, kedengaran pelik – anggapan dan ‘pemberitahuan’ yang paling teguh dipasakkan ke dalam sukma selepas satu saat diri dihambat kekeluan dan malu yang teramat apabila seorang ustazah menegur tentang nama saya yang jelasnya ‘tiada makna’.


Large
"Ya. Aku masih tertanya-tanya.."


Dan sedang masa mendewasakan, saya mulai mengerti dan terus-terusan membilang pada diri  Apalah yang pada sebuah nama..?

Allah.

Fikir saya, nama ini sendiri adalah sebuah harapan. Harapan besar yang dibina oleh Mama Papa; yang barangkali telah (dengan teruja) membinanya sebelum roh ini ditiupkan ke rahim bonda. Mereka, tentu sepenuh mahunya untuk saya tekal mendewasa seiring harapan tersebut.

Bahkan saya percaya lagi yakin bahawa mana-mana orang tua pun tanpa kita sedar sebenarnya telah bersastera melalui nama anak-anak mereka. Ya, makna di sebalik nama itulah yang saya katakan sebagai sastera – narasi hidup yang bergerak nyata tanpa hujungnya.

Kitalah, pembawa nama ini yang bakal ‘memaknakan’ sastera itu walau ke mana saja kaki melangkah di atas bumi ini. Sekalipun langkah tersebut telah terhenti kerana kematian, tetapi akan tetap saja nama itu dikenang.


Meskipun orang tua yang memberikan nama buat kita, hakikatnya, tanpa izin-Nya juga  ia takkan menjadi sebuah kenyataan bukan ?

Ya, kerana pada asalnya Tuhanlah yang telah lebih awal menamakan kita sebenarnya. Maka dengan itu, bersaksilah harapan di atas harapan.

Maha Suci Allah, atas keindahan yang tercalit pada sebuah nama. Senyum. :)


Putri Zuleika FEREIZYA.

Mungkin tiada maknanya nama ini menurut mana-mana bahasa di dunia, tapi biarlah saya sendiri yang akan memberi makna pada nama ini. *Dengan menjadi insan yang istimewa, se-unik nama ini. Jika Allah mengizinkanku.. ;)


p/s: Siapa tahu barangkali kerana nama inilah saya sering dibaluti kekuatan yang serba aneh untuk bangun semula dari rusuh dan resah jiwa kan? :’)



Thursday, May 16, 2013

Ber Guru


Dah lama saya mahu menulis. Tapi setiap kali jari-jemari ini menekan papan kekunci, setiap kali itulah semakin banyak yang seolah-oleh hilang. Jadinya, banyak entri yang tak dapat dihabiskan, lalu tersimpan di dalam draft. Mungkin kerana mengenangkan peperiksaan akhir. Heh. 

Tapi, selalunya, bila sibuk bersedia untuk peperiksaan, saya akan lebih banyak menulis. Ataupun saya sudah berubah? Tapi, kalau menurut logik, bila kurang menulis, saya akan lebih banyak study. Tapi tak juga. Hehe. 

Perubahan hormon mungkin. 

Hmm. 

Hari Ahad lalu, semasa dalam perjalanan ke Masjid Jamek, sambil memerhati keadaan sekeliling, saya cuba juga nukilkan bait-bait satu puisi.

Mula-mula tentang makcik tua yang berdiri di hadapan saya, yang tekal berpaut pada tiang tanpa harapan di benaknya yang seorang anak muda pun akan mempelawanya duduk. Urat tangannya dah terkeluar, kelihatan dia sangat penat dan agak buntu.

Dalam tren yang bergerak, dari stesen KL Sentral.. Berjalan seharian menuju ke *Gombak, entah untuk apa pun saya kurang pasti. (*Konklusi saya bilamana dia asyik bertanyakan kepada saya setiap kali tren berhenti di setiap stesen, 'Mana ni nak, Gombak ke?) 

Saya membayangkan dia ibu saya. Dan saya bayangkan dia ada anak.
Tapi waktu dia keluar itu anak-anaknya semuanya sedang berbaring-baring di rumah sambil menonton televisyen. Oh ya, atau pun bermain Facebook macam sampah.

*aduh terasa!*

Kemudian saya tidak jadi menulis puisi. Ini kisah sedih yang saya tak mahu kenang. (??) *Maaf, cerita separuh jalan pulaknya..

Allahu rabbi~

***

Selamat Hari Guru buat Mama saya - guru pertama sejak terlahirnya diri ni.
Juga untuk semua dalam hidup ini.

Untuk makcik itu..
Selamat Hari Buruh, haritu. Mungkin makcik juga bekerja.
Dan, selamat Hari Guru untuk pelajaran buat saya haritu.

315472_4487558186358_400576153_n_large
"Watch and learn.."

Selamat Hari Guru untuk semua!!

- - -

Aku sedang maju, tetapi bukan dengan kamu.
Aku kini melangkah, jauh sekali bersama mereka.
Aku akan berjalan lagi. Untuk kejaranmu kian mendekat.

Biar sahaja aku hilang dari peta dunia,
Andai bisa kulakukan begitu.
Kerana hadir aku bukan untuk aku, tetapi mereka.
Kalau suaraku tidak mahu didengar, tulikanlah telinga.

Cuma, biarkan jasa mengalir demi hari depan.

Bukan nama, bukan harta. 
Bukan pandang sanjung yang kuperlu.
Cuma doa.

Aku cuma milik Dia.
Biar lara hiba suka ria aku, Dia yang tahu.
Tetapi untuk kalian, ingin ku sembah segala bahagia.

Kerana, bahagia kalian adalah sinar untuk aku.
Meski mungkin, aku bukan bahagia kalian.

Cukuplah dalam harapan,
 jalan ini penuh dengan suasana indah nantinya.
Itu doaku.
Meski hari itu, aku tiada lagi bersama untuk mengecapnya.

Bisik hati pendidik muda.
Mungkin nanti. Mulanya kini.

Lembah Pantai, KL.
Taipan baru. 11.40 pm.
Dengan capaian tanpa jalurlebar.


p/s:
Kata orang semua manusia adalah guru kepada dirinya sendiri.
Maka, berikan saya hadiah, orang muda! HA-ha


Thursday, May 2, 2013

In case.. Kau, aku, kita terlupa..

Kita di sini, di sekolah, panggilnya - cikgu. Walaupun pada hakikat, belum rasmi lagi jubah dan topi graduasi dipakai.

Jangan nafi setiap kali lalu lalang di koridor maupun bersesak di tangga, mereka ramai-ramai beri laluan, beri salam, beri tunduk hormat pada kita.

Padahal kita cuma orang yang sedikit ilmu.
Sedikit tahu.
Sedikit fasih.
Dan banyak salahnya.

Ibubapa, masyarakat di luar. Mata-mata mereka penuh harap.
Dari jauh sudah melolong, bagai minta ditolong anak bangsa, saudara mara yang sedang merintih nyeri melihat kebobrokan generasi kini.

Bila ditanya, masalah apa - katanya anak beranak bertelagah, rusuh resah segala apa. Kita tepuk, usap-usapkan bahunya. Usianya barangkali setua ibu kita di rumah. Tapi wajahnya lebih muram durja. Matanya basah. Anaknya tak bisa diselamatkan lagi. Setelah diselidik itu ini, ketahuan sudah ada ‘isi’.

Belum kira yang terdampar di jalanan, beralas tikar plastik. Berbaur rata bau najis dan kencing – kerana dadah, entah segala apa. Sampai terkadang jijik kita lebih dari simpati. Yang ya, realitinya terjadi.


"Kalau sudah ter-masuk dalam bidang ni, perbetulkan niat tu. Niat kita harusnya satu saja, yang terutama, iaitu untuk MENDIDIK ANAK BANGSA."

-Encik Misrosman, PK Pentadbiran SK Pendidikan Khas Kg. Baharu


Large
"..bukan yang biasa-biasa.."

ALLAH.

Semoga diberi empati.
biar jangan kita jadinya 'cikgu asal ada'.

Semoga diberi faham,
nilai manusia bukan percuma.

Dan semoga diberi insaf,
kita bukan siapa-siapa.. berbanding Dia!


Thursday, April 18, 2013

Bukan Delusi


"Macam mana nak selesaikan masalah, kalau kau pun tak tahu apa masalah kau". Dia mengomel-ngomel sendiri.

Saya masih termenung kosong di hadapan kaca skrin laptop, sambil bertongkat dagu.

"Orang lain semua tahu keperluan untuk berubah. Tapi kau, masih dengan cara ni? Kau ni buta lah. Buta dengan emosi sendiri".  Kali ini nadanya berbaur kesal dan marah.

Saya menyelit rambut yang jatuh terjuntai ke belakang telinga. Rimas. Bertambah rimas dengan bebelannya yang sedari tadi tidak berhenti-henti.

"Tak boleh ke kau jadi keras hati sikit? Ni tidak, lembik sangat. Mudah sangat terima, sebab tu mudah kena pijak. Kau ingat, apa kau buat tu semua betul ? Asal cakap saja memang lah senang.. Hati pun terjaga.. Padahal, sakit dalam kepala, dalam badan kau tu siapa yang tahu? Kau jugak yang tanggung sendiri..."

Saya meraup muka, tidak tahan. Sebelum sempat dia habiskan bebelannya, saya bangkit dan lontarkan suara bersama sebal yang tidak bisa ditahan lagi,

"Dah tu, kau nak aku buat apa??!"

Dia terdiam, sedikit terkejut dengan reaksi saya yang sebegitu.
Saya palingkan muka,  lempar tubuh ke atas katil dan sorok kepala bawah bantal.

Perlahan-lahan dia mampir, "Aku bising-bising pun sebab aku care. Nanti apa-apa jadi, bukan ada orang boleh tolong kau pun. Kita dua je yang kena hadap sakit tu semua.."

Jeda. Diam-diam saya mengakui kebenaran kata-katanya itu.

"Kau lebih tahu apa yang kau kena buat. Cuma kau tak berani je kan? Sudah lah. Embrace it. Make a move. Sebelum terlambat.."

Saya mengangguk kecil. Dia pun diam, hilang dan kembali dorman dalam pemikiran saya sendiri.

……

Alarm fon mengejutkan. Tersentak dari pembaringan dengan jantung yang dipompa kencang.

Malas-malas saya bangkit, masih terseret dengan skrip fikiran yang bukan-bukan sebentar tadinya. Sekilas terpandang refleksi wajah sendiri di kaca kecil, masih ada sisa calitan bedak di wajah - yang sepatutnya menampakkan seri. Namun kala ini, pudar sekali.

Fc68187ff1f7a705fc9baedb473fa9a0_large
Kerana kau penting, bukan hanya pada diri kau.

Azan Asar menyusul. 

Nafas dihela pendek. Wajah diraup dengan kedua telapak tangan. Melekit, dengan peluh sendiri. Geli.

Resah, gelisah, gusar, takut, sedih, bimbang, kelu, kesal, buntu dan hampa berlari-lari di setiap selang urat nadi.

Allah. 
Ini bukan hidup yang saya mahu.

Huh.

Aku perlu Tuhan, segera!


[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]