“Rakyat
Malaysia malas membaca.”
Demikianlah kenyataan umum yang pernah sering
didendangkan di telinga kita. Dan saya, sama sekali tidak menyangkalnya. Kerana
semasa di sekolah dulu, saya lihat diri dan kawan-kawan saya tidak ramai yang
membudayakan amalan membaca ini. Jika ada sekalipun, kebanyakannya dilihat
hanya aktif melunyaikan novel-novel picisan ataupun majalah-majalah remaja/
gosip artis yang selalu di’update’ di satu sudut dalam pusat sumber sekolah.
Namun saya bersyukur, kerana ada pihak-pihak yang
memainkan peranan mereka memberi dan menyediakan ruang untuk kami menjadikan
membaca sebahagian dari rutin hidup. Sambil berjalan ke asrama atau blok
sekolah, kami dapat melihat papan-papan kenyataan di sepanjang laluan; penuh
dengan kata-kata hikmah. Begitu juga dengan 'perdebatan' dan diskusi dalam apa
jua isu yang sentiasa menjadi tampalan di dinding surau atau edaran
risalah-risalah mingguan/ bulanan. Pada saya, biarpun kecil, itu juga dikira usaha
untuk pupuk budaya MEMBACA kan? :)
Sejak tamat persekolahan sehingga kini menuntut di
IPBA, saya berkenalan dengan beberapa orang sahabat yang ‘terlibat’ secara
aktif dalam dunia pembacaan ini. Mereka masih muda dan banyak membaca, juga
menulis. Ada yang hanya membaca post-post Facebook, Twitter, Instagram (dll)
serta nota-nota kuliah (itupun apabila ingin menyiapkan tugasan tutorial.
Takpun apabila peperiksaan hampir menjelang) dan ada pula yang gemar membaca
kisah-kisah kehidupan, bahan ilmiah yang ringan dan mudah dihadam minda. Namun
yang lebih mengagumkan, ada yang sudah tahap menyertai konvensyen di luar
negara dan sering menghadiri perjumpaan dan seminar berkisar pembacaan. Dengan adanya
rakan-rakan ini, saya berpendapat bahawa rakyat Malaysia sebenarnya rajin membaca.
Sehinggalah saya menghadiri beberapa program
berkenaan isu-isu semasa dalam bidang agama, dunia pendidikan, politik juga
ekonomi, saya dipertemukan dengan rakan-rakan yang lebih kurang sebaya yang
membaca. Mereka mempunyai pengetahuan asas yang jelas tentang sesuatu isu. Hal
ini memperlihatkan kepada saya tanggapan dan persepsi budaya pembacaan yang
benar-benar berbeza. Melalui sesi-sesi perbualan dan muhasabah diri, saya kira
tidak hairanlah wujudnya kenyataan yang disebutkan awal tadi - KITA MALAS
MEMBACA!
Malas membaca walaupun banyak membaca. Ironi
sekali.
“Bacalah,
dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Al-Alaq: 1).
Membaca ini tentu sesuatu yang membawa sejuta,
malah, infiniti kebaikan sehinggakan menjadi wahyu pertama buat Muhammad SAW. Namun
jika difikirkan semula, di mana letaknya nilai kebaikan lewat amalan pembacaan
jika tiada saringan terhadap apa yang dibaca?
Persoalannya
bukan “Adakah kamu membaca?” tapi “Apa yang kamu baca?”
“If
we encounter a man of rare intellect, we should ask him what books he reads” - Ralph Waldo Emerson
Trend pembaca warga Malaysia (terutamanya
kebanyakan pembaca dalam kalangan umat Islam) ini menunjukkan bahawa kiblat
pembacaan kita lebih terarah kepada karya-karya berjalur picisan. Karya picisan
ini termasuklah novel-novel cinta, komik/ manga, majalah hiburan, gosip dan
‘bacaan’ di laman-laman social seperti yang ada disebutkan tadi.
Kemunculan novel-novel fantasi yang bagaikan jamur
selepas hujan hari ini banyak yang sarat dengan mesej cinta tak bertujuan, isu
keterlanjuran, pergaulan bebas dan banyak lagi, bahkan adakala disulami unsur
erotisme yang melampau! Kekadang saya hairan, bagaimana orang boleh membaca
bahkan menerima rencam novel dengan jalan cerita klise yang tidak membangun
minda dan masih boleh terus mengikuti karya-karya sebegitu lagi?
Saya kira tabiat membaca yang satu ini sememangnya
sukar untuk terus dibuang kerana ia telah lama diterima oleh sebahagian besar
masyarakat lalu langsung menjadi satu budaya. Lebih tragis lagi apabila budaya
pembacaan sebegini diterjemahkan pula dalam kehidupan seharian. Hasilnya,
budaya membaca bahan bacaan picisan inilah yang melahirkan masyarakat dengan
budaya picisan.
Jadi
pembaca yang seimbang, berintegriti dan selektif
Jika kita tahu bahawa kita sudah terlalu terbiasa bahan
bacaan yang tidak bermutu dan sukar untuk meninggalkannya, itu bukan satu
kesalahan besar yang perlu disesali. Kita cuma perlu peruntukkan masa untuk
membaca bahan bacaan lain juga, yang lebih bermutu. Kerana pada hemat saya,
keseimbangan dalam menentukan kiblat pembacaan begini akan melahirkan pembaca
yang lebih rasional.
Janganlah hanya membaca buku-buku agama,
kitab-kitab berkulit tebal atau menelaah tulisan hikmah As-Shahid Hassan Banna
sahaja. Sesekali, luaskan sedikit capah pembacaan kepada isu-isu semasa,
perkembangan ekonomi, penemuan baru dunia sains atau sebagainya.
Saya tidak menafikan kekadang kita (termasuk saya
lah) lebih mudah terikat dengan novel dari Barat. Novel-novel sebegini hampir kebanyakkannya
menampakkan kepada kita corak budaya mereka yang begitu terbuka dalam segala
segi. Seandainya ‘penerimaan’ kita terhadap gaya hidup mereka tidak dikawal,
mungkin boleh membuka ruang kekeliruan terhadap identiti kita sendiri– antara
mana yang betul dan tidak.
Akibatnya, kebarangkalian untuk kita menterjemah
apa yang dibaca kepada perlakuan/ perbuatan itu cukup tinggi! Namun perkara ini
tidak lagi begitu mengejutkan kerana unsur ini sebenarnya tidak sekadar wujud
di Barat, bahkan sudah mulai muncul dalam bentuk karya penulisan tempatan;
barangkali terletak di sudut rumah kita…
Kendatipun, tidak salah untuk membacanya.
Setidak-tidaknya, kita boleh memahami kelompok pembaca yang meminati genre buku
yang berbeza. Bersikap terbuka terhadap keterbukaan tidak bermakna kita harus
membuka seluasnya pintu fikiran dan membiarkan tetamu batil duduk menetap dan
beraja di ruang minda, bukan?
Keseimbangan pola pembacaan ini tidak lain hanya
untuk mempupuk jati diri pembaca yang berprinsip serta tidak terburu
menterjemah kebobrokan dari yang dibaca ke dalam kehidupan kerana punyai
bekalan bahan bacaan lain yang turut menjelaskan baik dan buruk sesuatu
perkara. Ini salah satu langkah untuk tidak
berterusan menggauli bahan bacaan yang kurang elok atau tidak baik dalam
kehidupan harian.
“Serulah
ke jalan Pemelihara kamu dengan kebijaksanaan dan teguran yang baik, dan
berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Pemelihara
kamu, Dia sangat mengetahui orang-orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dia
sangat mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk” (16:125)
Mengikut pemerhatian saya, tidak sedikit dari kalangan kita yang telah
menggugah ketenangan dan kedamaian dunia pembacaan yang sentiasa dalam kesediaan
untuk menerima sebarang bentuk ilmu. Mereka, (maaf saya katakan) begitu
responsif bila mendapati kefahaman dan kepercayaan mereka menurut apa yang dibaca
disangkal atau diperdebat. Saya kira sikap begini mencerminkan pembaca yang
tidak berintegriti.
Lihatlah ayat Allah - perkataan 'berdebat' di situ
bererti percanggahan idea itu sememangnya wujud dan sentiasa ada. Malah, Dia
mengizinkannya. Namun, ia harus berlangsung dengan cara yang baik. Buku-buku,
di dalamnya juga terselit fikrah yang pelbagai. Justeru sebagai pembaca yang
berintegriti, janganlah kita lekas beremosi dan tergugat. Sebaliknya, duduk, dengar
dan nilailah pandangan pembaca yang mempunyai fikrah yang berbeza.
Namun, tidak perlulah sehingga berdebat dengan yang
ahli. Pun begitu, jangan pula cepat melabel orang lain sebagai jumud andai kata
mereka punya cara intipati fikrah yang berbeza. Jadilah pembaca yang lebih
berintegriti :-)
“We
are what we read”- Unknown
Jika banyak membaca tentang cinta itu, cinta ini,
cinta nafsu saja, (nauzubillah) kita sedang mendidik diri untuk menjadi
pencinta dunia/ manusia yang tahunya tunduk kepada nafsu semata. Jika banyakkan
pembacaan tentang maksiat hati, maksiat mata, maksiat lidah pula, (nauzubillah)
kita sedang melatih jiwa untuk mendekati jalan ke sana.
Saya yakin, sahsiah diri dibentuk melalui
penterjemahan dari apa yang kita baca. Barangkali kerana itu jugalah sejak awal
lagi Allah suruh kita membaca (?). Supaya kita menjadi selektif dalam memilih
bahan bacaan berkualiti. Supaya kita
membaca yang baik-baik sahaja.
Bagi yang malas membaca pula, saya tetap mahu
mencadangkan supaya MEMBACA. Cuma cadangan saya, banyakkan membaca bahan bacaan
bermutu; sebaik-baiknya yang dapat memperbaiki diri. Tidak kiralah buku,
weblog, risalah mahupun nota-nota peringatan yang tertampal di papan kenyataan
sepanjang lorong yang ada di kampus IPBA! Hidupkan suasana membaca.
Hasilnya nanti, kita dapat membina suasana
sekeliling yang positif. Bertemanlah dengan sesiapa pun, apa yang lebih mendekatkan
sesama kita ialah apa yang kita baca – umpama bersahabat baik dengan buku yang
baik.
Pesan Saidina Ali r.a,
"Jika
berharta, kita yang perlu menjaganya. Jika berilmu, ilmu yang akan menjaga kita."