.:Followers:.

Sunday, December 21, 2014

Tentang Eleanor


"Eleanor ini, aku lihat tindak-tanduknya.. entah mengapa seolah pinta difahami. Dia, semacam aku, Nisa, kadang-kadang. Aku merasakan ketakutannya - adakah manusia bakal menerima dirinya yang sebenar-benarnya? Maksud aku..jika gelap sejarah lalu yang dipunya, masih bisakah mereka tersenyum juga selepas mengetahuinya? Entahlah, ini aku mengagak saja." Ujarku untuk memecah kesunyian antara kami sebaik saja aku menghabiskan pembacaan novel Eleanor and Park, hadiah dari teman jauhku itu.

An-Nisa’ yang dari tadi asyik menelaah tafsir Al-Furqan langsung merenungku. "Jadi mengapa? Apa yang kau harapkan?"

Separuh berleter. "Aku sebenarnya tak mahu faham lebih dalam, Nisa’. Aku takut, sememangnya fikiranku tentang dia ini sentiasa bergema dalam minda. Semuanya terlantun semula pada pandanganku, seperti cermin yang memantulkan imej kita. Aku jadi semacam lupa yang dia yang namanya Eleanor itu bukannya aku.

Dan aku sesungguhnya faham, manusia, secara umum selalu tidak sedar betapa dalam kita membahagi suka dan mencetus tawa untuk manusia, sebenarnya jauh di dasar sukma, kekadang kita juga mengharapkan pengertian mereka terhadap kesunyian yang menggelodar jiwa. Kerana seringkali juga kita pendamkan duka sendiri, meyakinkan hati bahawasanya bahagia tetap akan ada bilamana tawa manusia lain terlihat di mata. Tetapi akhirnya kita ini disangka sedang bahagia. Lalu manusia-manusia itu tidaklah pernah perasan luka yang didiamkan, sehingga lama, dan ya, hingga terbiasa."

An-nisa’ berjenak-jenak dengan fikirannya seketika sebelum memandangku yang diam menunggu. Diukirkan satu senyuman manis buatku. "Tapi, sekurangnya, aku bersyukur kau begitu faham tentang itu. Kau masih yakin akan kataku..? Tentang bahagia yang akan menjemputmu jika dibuang apa yang menghalang itu?" 

Aku hanya mampu tergelak. Entah bila kali terakhir aku terasa yang segar amat dengan soalan-soalan yang begitu. Tetapi, syukur, Tuhanlah yang meredakan ribut, kalut dalam jiwa. Dan aku percaya, setiap pertanyaan dan interaksi, adakalanya juga satu cara mencari pantulan diri sendiri di dalam diri mereka. 

An-Nisa’ pamit dahulu. Seperti selalu, dengan caranya yang unik bagiku. Tanpa khabar. Sepintas lalu.

* * * 

Kalau ada lagi jiwa yang bisa aku tumpahkan resah sebegitu, aku mohon agar Tuhan mudahkan jalan pertemuan dengannya. Dan aku doa agar dengan diriku yang seperti ini takkan pernah lelah dalam cubaan untuk bahagia dan membahagiakan. Walaupun seperti kita maklum, kelompongan dan kekecewaan yang kita mungkin depani ketika memberi itu nantinya Tuhan sahajalah yang bisa memenuhkan dengan rahmat dan hikmahNya.

Dan pada watak fiktif, Eleanor yang menjadi pantulan diri sendiri itu, aku harusnya berterima kasih padanya (pada penulisnya, sebetulnya). Ya lah, bukan senang manusia dapat melihat apa yang ada di sebalik ketawa, lelucon dan ungkapan "Ya, saya baik-baik saja" itu. 

ValentinaVázquez
"Kau bisa lihat semua. Tapi siapa saja yang bisa melihatmu?"

Kata Paulo Coelho, menerusi watak Esther dalam novel The Zahir:

Esther, however, was the only woman who understood one very simple thing: in order to be able to find her, I first had to find myself.”


Friday, December 12, 2014

Gambar


Saya sejak kebelakangan semakin tandus kata-kata untuk dinukilkan. Tak tahu kenapa. Saya tiba-tiba lebih suka bercerita dengan gambar. Gambar boleh mentafsir seribu satu makna. Gambar selalunya membantu saya membawa pembaca melihat dunia dari persepsi yang berbeza. Atau kadangkala, luar dari nyata.

Kerana bukankah kenyataan itu kadangkala sifatnya menyakitkan?

Barangkali itulah sebabnya.
Sebab saya merasakah bahawa kata-kata saja takkan pernah mampu untuk bercerita tentang berjuta citra yang ada pada sekeping gambar. Bahkan juga tidak mampu menggambarkan hakikat kehidupan yang terselindung di sebalik lensa kamera.

Dan saya.. 
Terlalu banyak yang mahu disembunyikan. Terlalu banyak yang dirasakan tidak perlu untuk diceritakan. Atau sebenarnya – tak mampu (?) 

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]