Selamat
ulangtahun kelahiran, Putri Zuleika Fereizya!
Tahun
ini ulangtahun kelahiran aku adalah yang paling basah sekali. Penuh air mata.
Air mata yang deras alirnya kerana sebab yang aku sendiri tidak pasti mengapa.
Yang kutahu, semalaman aku bertemankan air mata. Aku seolah kehilangan makna
diri, bagai terlontar jauh dalam mimpi sendiri.
Lantas
aku putuskan untuk menulis begini setelah lama mendiam diri. Lalu tulisan ini barangkali
tidak kunukilkan untuk/ tentang ulangtahun kelahiran gadis yang disebutkan awal
tadi (akulah tu), tapi untuk mengangkat bahagia seorang wanita istimewa di
sebalik kelahiran gadis yang bukanlah apa-apa ini tanpanya. Mungkin dengan
menulis tentang ini, aku akan lebih bahagia. Dan agar air mata yang galak
jatuhnya itu tidak terbuang sia-sia.
Aku
taktahu dari mana harus aku mulakan, bila mahu berbicara tentang wanita itu -
yang kupanggil Mama. Yang aku tahu, yang aku sedar, aku selalu terlihat diriku
bila melihat Mama. Kerana aku fikir (intuisi aku kata) Mama banyak memendam.
Terlalu banyak. Seperti aku, dalam kebanyakan perkara. Cuma bezanya Mama jauh
lebih baik dalam menguruskan/ menyembunyikannya – bahkan hampir sempurna di
mataku. Tentulah kann.
Mama
tak seperti Papa, yang petah dan fasih menghampar hujjah, berkata-kata. Tapi
Mama bijak mengatur bicara. Mama tahu bila masa yang sesuai atau tidak untuk
melancarkan roket azimat dari bibirnya. Mama cakna akan perihal luar dan dalam,
ruh dan jasad keluarganya.
Walaupun
Mama tidak berpelajaran tinggi, namun setiap nasihat dan kata-kata hikmah yang
dilafazkannya adalah lahir dari pengalaman Mama yang rencam, yang mendidik. *namun
terlalu melankolik bagi aku, untuk diceritakan pada sesiapa.
Mama
pendengar yang setia (aku tahu, sebab aku jualah yang selalu banyak menumpahkan
cerita dan rasa). Hanya dengan berkongsi dengan Mama saja aku lekas berasa
lega. Mama seolah faham semua, jika tidak sekalipun, nasihat-nasihatnya tidak
pernah gagal memujuk jiwa.
Mama memang tidak
begitu ‘sweet’ seperti Papa dalam menzahirkan kasih sayang. Papa lebih
ekspresif, lebih mudah mengucapkan sayang kepada ahli keluarganya, berbanding
Mama. Namun bagi kami, itu bukanlah satu masalah yang besar. Kerana di sebalik
limitasi ekspresinya itu, kami dapat lihat tindak cintanya yang tiada terhad.
Allah. Subhanallah, kasih ibu!
|
"Kau umpama air itu. Aku memerlukanmu." |
Waktu
aku menelefon Mama tempoh hari pun, ada Mama bertanyakan kalau-kalau aku mahu
pulang ke rumah pada hujung minggu. Aku mahu pulang, sebenarnya. Tapi aku lebih
tidak mahu menyusahkan Mama Papa untuk datang menjemputku minggu ini kerana
kami bakal bercuti lagi minggu hadapan. Mama meredhakan, meski aku tahu, jauh
di dasar hatinya, dia mahu aku pulang juga. *mungkin kerana ini jugalah aku
kebasahan air mata sepanjang hujung minggu – mengenangkan ulangtahunku yang
hambar – keseorangan, kerinduan. Heh. Sendiri cari pasal.
Ahh.
Terlalu banyak lagi sebenarnya yang mahu aku ceritakan tentang Mama. Kerana hari
ini kan ulangtahun kelahiran aku.. Maknanya hari ini hari istimewa Mama juga!
Dan
sebenarnya, dalam kesedihan dan kelompongan ini, aku dikejutkan dengan
hadiah-hadiah yang tak terjangkakan daripada Ena kakakku, teman-teman sebilik, serumah
dan juga teman sehati sejiwa nun di sana. Aku semacam menyesal kerana bersedih
sakan sebelumnya. Haihh. Apalah. Namun semakin kulihat hadiah-hadiah itu, semakin
aku terkenangkan Mama.
Allah.
Siapalah aku, untuk dihulurkan pemberian sebegitu. Siapalah aku, untuk diraikan
semanis itu. Aku terfikir, bukankah Mama yang seharusnya merasakan kebahagiaan
sebegini? Siapalah aku? Mama lah yang sepatutnya dirai!
Lewat
malam semalam, aku hantar mesej ini pada Mama.
Mama, terima kasih
lahirkan owang (orang) harini, 21 tahun lepas. Lepas tu besarkan serba cukup
semua sampai lani. Owang minta maaf salah silap yang menimbun-nimbun selama ni.
Doakan Eika jadi anak yang baik untuk Mama Papa, selamat dunia akhirat. May
Allah bless you and Papa. Amin.. Love you.
Lalu aku tidur,
bersama air mata yang galak berjujuran sebelumnya. Mendadak rasa rindu
menyerbu. Apabila terjaga, aku bingkas mencapai fon di atas meja, untuk kulihat
jam, namun turut mendapati balasan mesej dari Mama.
Amin.. semoga jadi anak
solehah. 20 ke 21 ni haa? Lupalah pulak. Happy birthday..
Aku hampir tersedak,
mahu tergelak membacanya. Mama. Begitulalah Mama adakalanya, lucu!
*****
Allah.
Terima kasih, Allah. Kerana sekali lagi membuat aku percaya pada hikmah – bila
pada ulangtahun kelahiran ke 21 ini baru diri dihinggapi ‘hidayah’ tentang
makna dan memaknakan setiap ulangtahun kelahiran.
Terima
kasih, Aisyah. Kerana pertama kali menampar aku dengan hakikat kelahiran
seorang ibu, di sebalik setiap kali ulangtahun kelahiran seseorang insan (anak)
– bila kau memberitahuku satu perkara wajib yang kau akan lakukan setiap kali
hari jadimu, iaitu menonton video proses kelahiran seorang bayi; agar kau
sentiasa ingat akan kesakitan ibu saat beliau melahirkanmu.
Terima
kasih, Sharazi. Kerana membuatkan aku tersedar semula hingga gagal mengempang
tangis bila kau ‘mencadangkan’ untuk menyambut ulangtahunku kali ini dan
seterusnya dengan cara yang berbeza – iaitu dengan meraikan Mama, berada dekat
di sampingnya, memeluknya, menyatakan penghargaan dan menzahirkan kesyukuran
yang teramat kepadanya atas kelahiranku yang pastinya teramat bermakna buat
seorang bernama bonda itu.
Terima
kasih.
Selamat ulangtahun kelahiran (seorang ibu) yang ke 5, Mama! :-*