.:Followers:.

Sunday, January 5, 2014

Musim Sendu

Pretty
"Kau, bungaku, jangan selamanya layu!"

Hari yang paling panjang. Jam menunjukkan waktu itu baru pukul 10.30 pagi. Setiap nafas yang dihela seakan mencengkam rengkung. Berderu sebu perasaan memenuhi dada.

“Hei. Berangan?”, dia membisik perlahan tepi telinga kiri aku yang sedang menongkat dagu, di atas meja yang menghadap ke luar tingkap.

Terkejut. Lekas-lekas aku menyeka air mata yang galak berjujuran sebelumnya. Suasana hampir canggung, sehinggalah dia meletus tawa. Mengenangkan riak kaget aku tadi agaknya. Oh, syukur dia tidak melihat.

Aku memalingkan tubuhku menghadapnya pula. Pandangan mataku tertancap pada setiap perbuatan gadis sunti kerinduan aku itu. Dengan selamba, kulihat dia terus merebahkan tubuh di atas katilku seraya mencapai majalah fesyen dari atas meja lampu berdekatan dengannya. Waktu itu barulah kusedar, majalah itu tidak pernah sekali pun mendapat perhatianku selama ia berada di situ. Sekejap. Sejak bila dia terletak di situ?

“Hei. Mengelamun pulak?” sergah dia, separuh berseloroh. Aku spontan menggaru kepala yang tidak gatal.

Suasana senyap seketika.

“Ermm. Weh. Have you ever felt sweet pain in your heart?” tanyaku, lambat-lambat.

Dia yang sedang asyik membelek helaian-helaian majalah itu berhenti. Pandangannya mati. Berfikir, barangkali.

Dia kemudian memandangku, namun hanya mengangkat kedua–dua keningnya seraya mengerutkan dahi. Tanda hairan. Ataupun berasa aneh dengan soalan aku yang rawak begitu.

“Dia..” sambungku, “rasa dalam dada ni sakit sangat. Jantung ni macam nak meletup pun ada. Rasa macam.. ahh taktahu macam mana nak kata. Pokoknya, hati kau sakit. Bukan sakit hati, tapi hati ni, dada ni.. sakit..seba.. ”

“Kerana sayang yang terlalu?” Dia memintas percakapanku dengan soalan itu. Jelas. Seolah dapat membaca sesuatu.

Aku menghela nafas berat. “As a matter of fact, yes.” Jawabku perlahan, meski aku tahu dia sudah mengagaknya.

“Sakit rindu memang begitu.” Dia kemudian tersengih.

Perlahan-lahan dia meletakkan semula majalah tadi di tempatnya lalu duduk bersila di atas katil itu menghadapku. Gayanya seperti anak kecil yang setia menanti sesen dua daripada si ibu yang sedang berdiri mencari-cari duit untuk dihulurkan kepadanya. Cuma, dia bukan mengharap apa-apa dariku, tetapi hanya menuntut sebuah cerita.

Aku hanya mampu menangis semahu hati ini. Jika setiap titis tangis dan sendu itu mampu meluahkan segala rasa dan cerita, aku pasti aku selesai menjelaskan semuanya. Tetapi tidak. Mustahillah.

Dia yang setia mendengar esak tangisku sedari tadi akhirnya mampir dan memelukku erat seolah-olah benar-benar faham dan turut merasakan rasa hatiku. Aku merangkul lengannya. Entah aura apa yang dibawanya. Aku langsung berasa lega, kemudian reda dari tangis yang menggila. Namun masih kehilangan kata-kata. Dia memahami aku, aku tahu dari setiap tingkahnya itu.

“Nisa. Salahkah aku?” hanya itu yang terpacul. Musim ini.. Betapalah aku rasa bersalah dengan apa yang aku sedang rasakan. Aku rasa cukup berdosa atas perasaan yang kupendam lama. Aku tidak mahu perasaan itu, tetapi tidak pula mampu menghindarkannya dari menyelubungi malam-malamku.

“Tak, sayang,” ujarnya lembut sambil menyapu perlahan bahuku. “Kau hanya salah, jika kau lemah!”

Aku sedar mengapa dia katakan begitu. Aku yang menanam keyakinan terlalu dalam. Aku yang memasakkan harapan terlalu tinggi. Aku yang membebar angan terlalu jauh. Aku jualah yang menghampar segala kenangan terlalu luas. Kemudian aku berharap aku mampu lewati ruang masa ini dengan kuat dan tenang? Memang TAK lah!!

Sudah. Aku sudah cukup lama berkompromi dengan diri sendiri. Aku mengaku salah.

“Tapi jangan mengaku kalah,” katanya, bersahaja. Dia memang selalu begitu, sama ada membaca atau menebak fikiran aku ini, pun aku tidak pasti. Sudah kemahirannya, mungkin.

“Aku ni lemah sungguh, kan?”

Kedengaran dia menghela nafas panjang sebelum membalasku. “Kau berani. Terlalu berani mempertaruhkan jiwa nubari sedang kau tahu kau tiada apa-apa jaminan pun untuk tekal ‘hidup’ dalam jalan juang ini.”

“Tapi bukan juga bermakna aku ini kuat kan?” Ahh. Aku dan provokasi terhadap diri sendiri.

“Kita akan lemah selagi kita tak bergantung pada Yang Tidak Mati.” jawabnya tenang. Aku diam memandangnya.

Kami bersatu mata. Lama.

Dengan senyuman paling manis pernah kulihat, dia kemudian mencapai tanganku, erat genggamannya, sebelum bangkit mengatur langkah ke luar. Aku terbata melihat dia berjalan menghampiri muka pintu namun jelas terdengar kata-kata akhirnya yang separuh menjerit itu;

“Dan kau hanya salah jika kau lemah!”

Erk. Tersentak di pembaringan.

Mimpi (atau angan??) yang panjang. Bila aku tersedar, aku lekas mencapai fon tanganku di atas rak buku untuk melihat waktu. Bimbang-bimbang kalau aku terlepas waktu solat atau apa. "Eh? Pukul 10.30?". Musykil.

Mimpi itu macam sebuah perjalanan yang panjang. Aku rasa lebih setengah jam jugalah di alam mimpi tadi. Allahu Rabbi. Tenang-tenang aku mengenang momen di alam mimpi tadi, kononnya. Lantas mengukir senyum.

Musim ini, musim lalu.. Hadirnya pasti untuk membawa kata-kata yang akan menguatkan aku.

An-nisa’. Kau memang kutunggu!

[Apabila terkuaknya pintu kejahilan, mencurah-curah hidayah masuk melaluinya..]